Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 8:05 PTG 6 komen



Oleh: A.Humaizi

Pada hari ini, Khamis 7 Mei 2009, ada beberapa kali saya membelek dua akhbar online iaitu Harakahdaily dan Utusan Online. Berita yang paling hangat di dalam kedua-dua akhbar tersebut adalah mengenai isu di Perak iaitu negeri tempat saya dibesarkan.

Sebenarnya agak merunsingkan kepala otak saya bila membaca berita-berita mengenai isu di Perak ini. Sejak beberapa bulan lalu lagi saya sudah kepeningan dengan isu politik di Perak, sehingga saya sendiri naik muak dengan politik dan akhirnya saya pernah penulis tentang buruknya perangai orang politik. (Baca : Buruknya Perangai Orang Politik)

Pada awal terjadinya isu di Perak, saya pernah menulis satu artikel ringkas sebagai jalan penyelesaian di Perak dan artikel ini saya pernah siarkan di beberapa lawan web dan saya emailkan kepada sahabat-sahabat lain sebagai satu buah fikiran. Dan sememangnya terdapat komen yang pro dan kontra terhadap artikel saya ini. Walaubagaimana pun, saya tetap juga mempunyai pendirian yang sama seperti dahulu tanpa berubah sedikit pun tentang isu di Perak.

Perlulah para pembaca sekalian ketahui bahawa, saya tidak menyentuh sama sekali hal ehwal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Segala keputusan tentang undang-undang, saya serahkan kepada Mahkamah untuk menentukan keputusannya. Kerana saya tidak pernah sekalipun membaca ataupun melihat isi kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Oleh itu, saya tidak dapat menilai isu ini berdasarkan aspek perundangan, lebih-lebih lagi saya bukanlah ahli dalam bidang tersebut.

Wallahua'lam. Tulisan ini sekadar pendapat saya semata-mata mengikut kadar ilmu yang dikurniakan Allah kepada saya. Jika ada kesilapan dalam menghuraikan dalil-dalil Quran dan Sunnah minta pencerahan dari yang pakar.

Sekian terima kasih, Selamat Membaca.


Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!
Allah Swt memerintahkan kepada kaum muslimin supaya mentaatiNya, Rasulnya dan Pemerintah di kalangan kaum muslimin seperti yang diperintahkan dalam Surah An-Nisa : 49,

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Nabi saw telah menggariskan supaya segala arahan pemerintah wajib ditaati selagi ianya tidak melanggar syariat Islam. Ini disebutkan dalam hadis baginda yang bermaksud,

Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). (Hadis Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469)

Umat Islam juga diperintahkan sentiasa taat kepada pemerintah dan dilarang memeranginya walaupun mereka melakukan perkara yang zalim. Ini disebutkan di dalam hadis yang bermaksud;

Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama'ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849)
Imam Ibnu Abil Izzi rahimahullah berkata:

"Adapun taat kepada penguasa tetap wajib sekalipun mereka zalim, kerana keluar dari ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan keburukkan yang banyak melebihi kezaliman mereka. Bahkan sabar di atas kezaliman penguasa adalah penghapus dosa, melipat gandakan pahala, kerana tidaklah Allah menimpakan hal itu kecuali kerana keburukkan perbuatan kita sendiri. Balasan itu setimpal dengan perbuatan. Wajib bagi kita untuk bersunguh-sungguh meminta ampun kepada Allah, taubat dan memperbaiki diri. Maka apabila rakyat ingin membebaskan diri dari kezaliman penguasa hendaklah mereka mengawali dengan meninggalkan perbuatan zalim pada diri mereka sendiri." (Syarah al-Aqidah at-Thohawiyyah, 2/542)

Alangkah bagusnya ucapan Abdul Malik bin Marwan ketika berkata: "Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian menghendaki dari kami seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar, akan tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi di zaman Abu Bakar dan Umar". (Sirojul Muluk, hal.100))

Sesungguhnya Allah Bersama Orang Yang Bersabar

Walaupun seseorang itu terasa dizalimi oleh pemerintah, maka ketika itu, adalah lebih baik dia bersabar dan tidak melakukan sebarang pemberontakan atau menunjukkan sikap tidak puas hati, kerana pemberontakan terhadap pemerintah akan mengundang kemudharatan yang lebih besar.

Telah disebutkan dalam kisah-kisah para ulama muktabar sepanjang sejarah Islam, mereka dipenjara dan disebat seperti Imam Ahmad, dibuang negeri seperti Imam Nawawi, tetapi mereka tetap bersabar tanpa membawa pengikut-pengikut mereka keluar memerangi atau menjatuhkan pemerintah walaupun ada pemerintah di zaman mereka yang beraqidah dengan aqidah Muktazilah yang sesat.

Demikianlah, contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ulama-ulama silam supaya ianya menjadi pedoman dan ikutan kepada kaum muslimin seluruhnya. Inilah tanda-tanda kekuatan iman yang dibuktikan oleh tokoh-tokoh ulama Islam dalam berhadapan dengan pemerintah yang zalim.

Allah swt berfirman, maksudnya,

"Sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang sabar"

Di antara dua kemudharatan, pilihlah kemudharatan yang kecil

Demikianlah, disebutkan dalam usul fiqh, jika bertembung dua kemudharatan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih kecil.

Islam telah mengajar umatnya supaya berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan. Umat Islam disuruh supaya menilai sesuatu tindakan dan mengkaji kesan yang bakal diperoleh dari tindakan tersebut, lalu Islam menuntut umatnya memilih tindakan yang paling tepat dan tidak merugikan kepentingan kaum muslimin sekalian.

Isu Di Perak

Oleh itu, dalam menilai situasi di Perak, pada pendapat saya, Ir Nizar dan exco-exconya wajib taat kepada ulil amri iaitu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memerintahkan mereka supaya meletakkan jawatan mereka selaku exco kerajaan negeri dan Menteri Besar dengan baik tanpa mengadakan sebarang bantahan di jalanan yang akhirnya bakal membawa kesan buruk kepada masyarakat seperti kacau bilau, tindakan keras pihak berkuasa dan macam-macam lagi perkara yang mungkin kita tidak fikirkan untuk terjadi.

Tindakan meletakkan jawatan sebenarnya akan lebih mententeramkan keadaan yang sedang panas dan pihak Pakatan Rakyat sebenarnya tidak perlu cepat melatah jika mereka yakin mereka di pihak yang benar.

Ingatlah wahai saudara-saudaraku, merundur sedikit ke belakang itu bukan bermakna anda kalah! Tetapi berundurnya anda seketika tanda anda mengumpul kekuatan. Tidak kiralah kekuatan dari segi strategi mahupun kekuatan iman!

Tuntut Keadilan Dengan Bermaruah!

Saya selaku orang awam yang tidak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam isu di Perak hanya dapat membaca akhbar-akhbar seperti Utusan, Harakah dan lain-lain sumber media yang ada. Boleh jadi, setiap media tersebut benar dalam penyampaiannya, boleh jadi tidak. Maka disebabkan itu, saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat tindakan, supaya saya tidak tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan sebagai orang yang menyesal di atas tindakan salahnya, (Rujuk Surah Al-Hujurat).

Disebabkan banyaknya kecelaruan di kalangan rakyat, maka banyaklah rakyat bertindak mengikut batas pengetahuan yang mereka ada, dan yang paling malangnya, mereka bertindak atas dasar emosi yang akhirnya mencemarkan imej "keislaman" mereka. Dan lebih malang lagi, terjadinya permusuhan dan pergaduhan antara pihak yang terlibat.

Maka kerana itu, bila Ir Nizar dan exconya meletak jawatan, dan keadaan kembali tenang, maka ketika itu, tuntutlah keadilan di Mahkamah.

Jika anda yakin anda dipihak yang benar, maka ketahuilah, Jika anda menang, anda menang dengan bermaruah! Tetapi jika anda kalah sekali pun, anda kalah dengan bermaruah jua! Kerana anda tahu, keadilan yang mutlak akan disempurnakan oleh Allah swt di akhirat nanti. Maka bersabarlah dan tenanglah wahai saudaraku, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar!

Kesimpulan

Kita telah menyaksikan betapa, sebenarnya demokrasi ini TIDAK banyak membantu masyarakat kita untuk bersatu, MALAH IANYA BANYAK MENYEBABKAN PERPECAHAN melainkan kita kembali kepada agama Allah iaitu agama Islam. Kerana, terbukti orang-orang yang bersatu atas dasar iman, lebih kuat ukhwahnya berbanding orang-orang yang bersatu kerana keduniaannya.

Oleh kerana itu, tidak perlulah kita berslogan dan berkempen untuk mempertahankan prinsip demokrasi kerana ia sebenarnya punca perpecahan manusia. Kita selaku orang-orang yang percaya bahawa demokrasi hanyalah wadah dan alat semata-mata dan disebabkan jalan dan alat ini banyak kekurangan dan banyak pula bahayanya kepada umat, maka eloklah kita fikirkan kembali betapa perlunya kita berhati-hati dalam melangkah dan menggunakannya supaya parang tak makan tuannya dan duri di jalanan tak tertusuk di kaki.

Sebagai kesimpulan, taatlah kepada ulil amri, wala'lah kepada mereka walaupun tidak memihak kepada anda. Inilah sebenarnya yang dikehendaki dari tarbiyyah kalian! Maka zahirkanlah kesan dari tarbiyyah kalian! Disebabkan itu bersabarlah walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan. Ingatlah! Sesungguhnya setiap kesusahan pasti ada kesenangan.

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. http://an-nawawi.blogspot.com/2007/12/sikap-rakyat-terhadap-pemerintah-yang.html

Categories: , , ,

6 Response for the "Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!"

  1. assalamualaikum

    bagaimana pula dgn hadith nabi yg mafhumnya lebih kurang: "keberanian itu adalah dgn mengatakan sesuatu yg HAQ di hdpn penguasa yg zalim" ?
    dan hadith nabi: "tiada ketaatan kpd makhluk dlm perkara maksiat kpd al-Khaliq" ?

  2. Perkataan "Di Hadapan" tu maksudnya apa ya?

    Di hadapan itu maksudnya kamu bertemu, bersemuka dengan pemerintah. Di dalam hadis nabi saw, baginda menyebutkan adab2 menasihati pemerintah. Antaranya mesti secara sulit tanpa diketahui umum. tetapi malangnya orang zaman sekarang, menghebahkan keburukan pemimpin di merata-rata tempat. semua ini sebenarnya bukan mahukan kebaikan, tetapi lebih mahukan undi pendengar2nya.


    Tiada ketaatan kepada kemaksiatan. Yup mmg benar. Jika pemerintah suruh orang minum arak, berjudi, berzina atau perbuatan dosa lain, ianya tidak wajib ditaati.

    Tetapi dalam permasalahan politik, kebanyakkan tindakan atau keputusan kerajaan/pemerintah berdasarkan ijtihad umum, ianya bergantung kpd kefahaman seseorang pemerintah dlm menafsirkan undang2. Jika berlaku kesilapan dlm hal2 begini, ia tidak lah dinamakan maksiat. Kerana kebanykkan urusan politik merupakan ijtihad umum disebabkan kurangnya dalil2 yang qat'e dlm masalah ini.

    wallahua'lam. Jika ada kesilapan, mohon diperbetulkan.

  3. Tanpa Nama says:

    tak suka "asik2 wat reformasi", asik2 wat perhimpunan.. drpd buat perhimpunan berjam2, baik pikir camne nak bgunkan orang2 kita..

    rimas..

    P/s: tak seblah mane2 pihak, tapi situasi politik sgt mnjengkelkan.

  4. :) ... terima kasih sebab bagi komen

  5. Mudzil says:

    assalamualaikum w.b.t.

    al-Mawardi, Ibnu Khaldun, al-Ghazali dan ulama' yang lain merumuskan dua tanggungjawab induk kerajaan pemerintah:

    "hirasah al-Din siyasah al-Dunia bih" - Penjagaan Agama dan Pentadbiran Dunia menurut Kehendak Agama

    Dalam siasah syar'iyah, menjadi kewajipan bagi pemerintah Islam untuk mempertahankan kepimpinan yang dipertanggungjawabkan kepadanya selagi mana terdaya. Bukankah walau dengan bilangan tentera yang sedikit, Rasulullah S.A.W. tetap mempertahankan negara Islam Madinah dari serangan luar dan dalam musuh-musuh Allah? Mengikut jalan perundangan, selagi mahkamah tidak memutuskan yang haq, maka tiada kebenaran yang terbukti pada dua-dua pihak. Berundur satu strategi, dan terus ke hadapan juga satu strategi. Tetapi alangkah mulianya mereka yang terus ke hadapan mempertahankan hak sebagai exco kerajaan negeri, bukan kerana gila kuasa, tetapi mempertahankan kuasa dari jatuh ke tangan orang yang ... , berbanding kita terus berundur, tanpa menentang. Kita mengambil pendekatan muwajahah silmiyah (berdepan secara aman), kerana walaupun pemerintah berlaku zalim, tetapi mereka masih bersolat, menyempurnakan zakat, haji dan lain-lain kewajipan sebagai seorang Islam. Cuma, kezaliman pemerintah yang terbukti dengan akta-akta penindasan, soal pokok rasuah, pentadbiran tidak telus, makan harta rakyat dsb, menyebabkan kita wajib menegur pemerintah, dan mengikut konteks Malaysia, bukankah menjadi ahli Parlimen mahupun DUN caranya? jika NGO semata-mata, berapa hebat sangatkah peranan yang boleh dimainkan oleh SUHAKAM, PPIM dsb dalam menegur pemerintah, ditambah lagi dengan sekatan akta-akta seperti akta hasutan, akta media cetak, AUKU dsb?

    "sesuatu barang wajib pertama yang tidak sempurna sekiranya tidak disertai barang kedua, maka barang kedua turut menjadi wajib."

    Maka wajib kita menyertai pilihanraya, bukan untuk menegakkan demokrasi semata-mata, tetapi menggunakan wasilah demokrasi yang ada buat masa ini untuk menyempurnakan tuntutan teguran kepada pemerintah. Kurang baik bagi kita sebenarnya, apabila analisis kita terhadap tindakan-tindakan pemerintah hanyalah dikatakan ijtihad umum semata-mata, sedangkan unsur-unsur kezaliman terbukti di depan mata. Dan menjadi kewajipan kita menegur kesilapan pemerintah jika mereka tidak menjalankan hukum berdasarkan syariat dan ketetapan Allah S.W.T.

    Samalah juga dalam analogi kita tidak perlu taat pada pemerintah yang suruh berzina, suruh minum arak dan sebagainya. Tetapi bagaimana pula dengan pemerintah yang menggalakkan konsert2 maksiat, kelab2 malam dsb?

    Merujuk hadith Nabi S.A.W.:
    "Barangsiapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dicegah dengan tangan, jika tidak mampu, hendaklah dengan mulut, jika tidak mampu, hendaklah dengan niat. Maka,itulah selemah-lemah iman." adakah cukup tingkat keimanan kita di peringkat kedua seperti hadith di atas?

    Walau bagaimanapun, tindakan-tindakan atau inisiatif kerajaan dalam isu-isu kesihatan, ekonomi, bencana alam, pendidikan dsb jika dilihat baik untuk negara, mengapa harus ditentang? Inilah seni politik Islam, dan perlu diingat, kedua-dua tokoh Tuan Guru adalah orang yang faqih dalam lapangan siasah syar'iah. Maka, sangat rendah diri bagi ana mengungkapkan pandangan peribadi berkenaan isu politik semasa, bila berhadapan dengan TG2, yang ibaratnya seorang Doktor falsafah dalam bidang siasah syar'iah. Hidup mati mereka 24 jam untuk Islam, kita pula, Allahuakbar, seminggu sehari pun belum tentu kita sanggup.

    Wallahua'lam, sekadar berkongsi pandangan ana yang tidak seberapa. :)

  6. Terima kasih kepada sahabat ana mudzil kerana memberi pendapat yang bernas.

    Benar, memang sebahagian program2 yg diadakan oleh pihak pemerintah menyanggahi syariat islam. Maka kerana itu, dlm hal konsert dan sebagainya tidak patutlah kita meramaikannya.

    Dalam menegurnya, Islam memberikan ruang yg sangat luas dlm hal ini. Tetapi mestilah dibaluti dengan adab2 yang telah digariskan oleh Quran dan Sunnah.

    Kita dilarang memaki hamun org, kita dilarang merendah2kan orang lain sehingga menjatuhkan air muka mereka. Terkadang kita lebih suka menyebarkan berita2 yang belum tentu kesahihannya seperti kes altantunya, rasuah pihak2 tertentu dan sebagainya. Jika hal ini benar2 sahih, mengapakah tidak dibawa sahaja ke mahkamah dan pihak polis utk siasatan.

    kerana itu Allah swt memerintahkan kita utk selidiki berita yg datang kpd kita spt firman Allah yg bermaksud

    "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (al hujurat : 6)

    Jika benar ada rasuah, sila laporkan kpd pihak yg boleh menyiasat. Perbuatan menyebarkan kesalahan individu2 tertentu kpd org awam hanyalah menambah kebencian org awam kepada individu berkenaan. malah lebih parah, berita tersebut belum tentu betul atau salah. maka dlm hal ini lebih baik kita diam.

    Peranan NGO dengan Parti Politik, sbenarnya dua-dua memainkan peranan. Maka tidak perlulah kita men'down' gradekan org dlm NGO yg juga berjuang mendidik msyarakat supaya kembali kpd islam.

    Malah jika dilihat, dakwah yg dilakukan oleh NGO lebih diterima oleh pihak pemerintah berbanding org dlm parti politik kerana NGO tiada kepentingan utk memiliki kuasa. Sedangkan parti politik sering dilihat orang yg inginkan kuasa.. mereka menegur sebenarnya untuk memiliki kuasa. Wallahua'lam, mungkin tidak semua berpandangan begitu.

    Bagi pendapat ana, kepada org yg suka berpolitik, silakan. Tetapi balutilah politik kita dengan adab2 islam. Sila baca artikel saya berkenaan "Bezanya menegur pemimpin dengan rakyat biasa" http://humaixi.blogspot.com/2008/08/adanya-perbezaan-antara-berdakwah.html

    Jika kita semua dpt menghayati adab2 menegur pemerintah, insya-Allah tidak kira dimana kita berada, dlm parti apa kita sertai, dlm platform apa pun. Kita dpt menunaikan matlamat kita. Insya-Allah.

    Wassalam.