Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Adakah Kita Telah Berbakti Kepada Kedua Ibubapa?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 5:27 PTG 0 komen


Oleh A.Humaizi

Berbuat baik kepada ibu bapa merupakan satu amalan yang besar di dalam Islam. Allah swt telah meletakkan amalan berbakti kepada ibubapa sebagai amalan yang kedua tertinggi selepas mentauhidkan Allah. Ini disebutkan di dalam banyak ayat-ayat Quran, salah satunya adalah yang bermaksud:

"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan HENDAKLAH BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBUBAPA. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (Surah al-Isra': 23-24)

Malah, amalan berbakti kepada kedua ibubapa lebih tinggi darjatnya daripada amalan sunnah yang lain serta berjihad dijalan Allah jika sekiranya jihad tersebut adalah jihad yang bukan fardhu ain, hal ini disebutkan di dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:

"Seseorang datang kepada Nabi sallallahua'alaihiwassalam meminta izin untuk berjihad. Lalu beliau sallallahua'laihiwassalam bertanya: 'Apakah kedua orang tuamu masih hidup?', Orang itu menjawab: "Ya". Maka beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda, "Hendaklah kamu berbakti kepada keduanya" (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'ei)

Dan di dalam hadis lain diceritakan oleh Muawiyyah bin Jahimah r.a:

Bahawasanya Jahimah r.a. datang kepada Rasulullah sallallahua'laihiwassalam dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang kepadamu untuk bermusyawarah'. Maka Beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda: "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" Ia menjawab, "Ya." Beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda: "Hendaklah engkau tetap berbakti kepada ibumu kerana sesungguhnya syurga berada di bawah telapak kaki ibu" (Hadis Riwayat An-Nasae'i dengan sanad yang hasan)

Kata Ibnu Qudamah r.h di dalam kitabnya Al-Mughni membawakan alasan Nabi sallallahua'laihiwassalam menyuruh pemuda itu supaya meminta izin kepada kedua orang tua untuk ikut bersama beliau dalam berjihad, Beliau (Ibnu Qudamah) mengatakan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah fardhu ain, sedangkan jihad adalah fardhu kifayah, dan sedangkan fardhu ain lebih utama berbanding fardhu kifayah.

Sayang sekali pada zaman ini, para pemuda tidak mengetahui darjat amalan berbakti kepada orang tua, lalu mereka lebih suka mengikuti teman-teman mereka kononnya atas alasan berdakwah dan jihad, sedangkan terkadang, pemergian mereka itu tidaklah bersama keredhaan ibubapa mereka. Malah ada di antara mereka yang lebih sanggup berbohong dengan pelbagai helah di hadapan ibubapa semata-mata mengutamakan amalan yang dikatakan jihad itu, walhal, jika mereka membuka hati dan pemikiran, mereka akan ketahui, jihad yang disebutkan oleh Nabi itu adalah jihad perang! dan ianya sudah tentu lebih utama berbanding jihad-jihad yang diqiaskan sekarang ini! Oleh itu, mohonlah ampun kepada Allah atas kesilapan kita, semoga Allah menetapkan kita menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa, dan menjadi muslim yang benar-benar mengikuti petunjuk dan sunnah Rasulullah sallallahhuaálaihiwassalam.

Imam Az-Zahabi r.h di dalam kitabnya al-Kabaair telah menulis sebuah puisi tentang pengorbanan seorang ibu kepada anaknya;

Ibumu telah mengandungmu di dalam perutnya selama sembilan bulan seolah-olah sembilan tahun,
Dia bersusah payah ketika melahirkanmu yang hampir sahaja menghilangkan nyawanya,
Dia telah menyusuimu dari putingnya, dan dia hilangkan rasa mengantuknya kerana menjagamu,
Dia cuci kotoranmu dengan tangan kirinya, dia utamakan dirimu ke atas dirinya serta atas makanannya,
Dia jadikan pangkuannya sebagai ayunan bagimu,
Dia telah memberimu semua kebaikan dan apabila kamu sakit atau mengeluh tampak darinya kesusahan yang luar biasa dan panjang sekali kesedihannya dan dia keluarkan harta untuk membayar doktor yang mengubatimu,
Seandainya dipilih antara kehidupanmu dengan kematiannya dia akan meminta supaya kamu hidup! dengan suaranya yang paling keras.
Betapa banyak kebaikan ibu, sedangkan engkau balas dengan akhlak yang tidak baik,
Dia selalu mendoakanmu dengan taufik, baik secara sembunyi mahupun terang-terangan,
Tatkala ibumu memerlukanmu disaat dia sudah tua renta, engkau jadikan dia sebagai barang yang tidak berharga disisimu,
Engkau kenyang dalam keadaan dia lapar,
Engkau puas dalam keadaan dia haus,
Engkau mendahulukan berbuat baik kepada isteri dan anakmu daripada ibumu,
Engkau lupakan semua kebaikan yang pernah dia perbuat,
Berat rasanya atasmu memeliharanya padahal itu adalah urusan yang mudah,
Engkau kira ibumu ada disisimu umurnya panjang, padahal umurnya pendek.
Engkau tinggalkan padahal dia tidak punya penolong selainmu,
Padahal Allah telah melarangmu berkata "Ah!" dan Allah telah mencelamu dengan celaan yang lembut,
Engkau akan disiksa di dunia dengan durhakanya anak-anakmu kepadamu,
Allah akan membalas di akhirat dengan dijauhkanmu dari Allah Rabbul Álamin.
(Akan dikatakan kepadanya)
"Yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan yang dikerjakan oleh kedua tanganmu dahulu, dan sesungguhnya Allah sekali-kali tidak pernah berbuat zalim kepada hamba-hambaNya"- Surah Al-Hajj: 10)


Saudara-saudaraku seagama yang hatinya tetap menginginkan kasih sayang Allah, adakah kita telah benar-benar menggembirakan ibubapa kita? Atau kita lebih banyak mendukacitakan mereka?

Adakah kita lebih banyak bertanya khabar kepada mereka, atau kita lebih banyak bertanya khabar rakan-rakan kita?

Adakah kita lebih banyak menelefon mereka, atau mereka lebih banyak menelefon kita?

Adakah kita lebih gembira bersama ibubapa atau kita lebih gembira dengan rakan-rakan kita?

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, keredhaan Allah itu letaknya pada keredhaan ibubapa, ianya disebutkan didalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Redha Allah tergantung kepada keredhaan ibubapa dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan ibubapa" (HR Bukhari di dalam Adabul Mufrad -Sahih)


Semoga kita menjadi anak yang soleh, dan mendapat keredhaan ibubapa kita, dan seterusnya mendapat keredhaan Allah swt. Apakah yang lebih menggembirakan bagi seorang mukmin melainkan dia redha kepada Allah, dan Allah redha kepadanya, lalu dia dimasukkan ke dalam SyurgaNya di akhirat kelak, seperti firmanNya yang bermaksud,

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaKu" (Surah Al-Fajr: 27-30)

Semoga tulisan ini bermanfaat untuk kita semua. Wallahua'lam.





Sumber:
1. Birrul Walidain, Berbakti kepada Kedua Orang Tua, Ust Yazid Abdul Kadir Jawas

Gambar Cinta... Dari saya, untuk anda..

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 1:25 PTG 0 komen








Gambar alternatif untuk anda.
Sebelum ini saya pernah mendapat tahu bahawa gambar yang bertema seperti ini berlatar belakangkan kitab bible.
Oleh kerana itu, saya mengambil inisiatif mengambil gambar dengan tema yang sama tetapi dengan berlatar belakangkan hadis-hadis Rasululullah sallahua'laihiwassalam.
Semoga bermanfaat.