Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Muhammad s.a.w. itu hamba dan pesuruh Allah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 3:02 PTG 2 komen



بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ با لله من شرور اًنفسنا وسيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له، واشهد ان لا إله إلاالله واشهد ان محمدا عبده و رسوله، الصلاة والسلام عليه وآله وصحبه


Sesungguhnya segala puji hanyalah milik Allah, kami memohon pertolongan, ampunan dan bertaubat kepadaNya. Kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan amal perbuatan kami. Siapa saja yang Allah beri hidayah nescaya tiada seorangpun yang dapat menyesatkannya. Dan siapa yang Allah sesatkannya, nescaya tiada seorangpun yang dapat memberinya hidayah. Aku bersaksi bahawa tiada ilah yang berhak diibadahi selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Selawat dan salam yang tiada terhingga semoga terlimpah atas beliau, keluarga dan sahabat-sahabat beliau.


InsyaAllah, tulisan pada kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca sekalian berkaitan dengan perihal keimanan kepada Rasulullah sallahua’laihi wasallam.


Hendaklah kalian ketahui bahawa, Muhammad sallahua’laihiwasallam merupakan hamba Allah yang terpilih menjadi Rasul.


Muhammad, itulah nama beliau sallahua’laihiwassalam yang terkenal. Ianya disebut di dalam al-Quran:

مَا كَانَ مُحَمّدٌ أَبَآ أَحَدٍ مِّنْ رِجَا لِكُمْ وَلَكِن رَّسُولَ اللهِ
“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah” (Al-Ahzab: 40)

Namanya juga disebut sebagai “Ahmad” sebagaimana firman Allah tentang Nabi Isa ‘alaihiwassallam (Ketika Isa berkata:)

“Ketika Isa anak Maryam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah utusan Allah ke atas kalian, membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, yaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan (kedatangan) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang bernama Ahmad” (Surah As-Saff: 6)
Setelah itu, ketahuilah juga bahawa Rasulullah itu merupakan hamba Allah swt. Tidak sedikit pun ada padanya sifat Uluhiyyah (sifat-sifat yang layak disembah), dan tiada sedikit pun memiliki sifat Rububiyyah (yang dapat mencipta, memberi rezeki, dan mengatur alam semesta).

Beliau hanyalah seorang hamba Allah dan RasulNya, yang juga menjalankan perintah-perintah dan menjauhi larang-larangan, dan yang menyampaikan risalah dari Allah swt.

Di dalam hal ini, terdapat bantahan terhadap individu yang bersikap melampau (ghuluw) terhadap diri beliau sallahua’laihi wassalam di mana, ada di kalangan kaum muslimin yang meletakkan beliau sallahua’laihiwassalam sebagai individu yang memiliki sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah. Kemudian mereka berdoa kepada beliau bersama (berdoa kepada) Allah. Ini adalah satu perbuatan yang mensyirikkan Allah dalam soal pengibadatan kepadaNya.

Ketahuilah! Hanya milik Allahlah segala doa dipohon, tidak ada seorang pun yang layak diminta darinya melainkan Allah semata-mata.

Ketahuilah, permintaan itu terbahagi pula menjadi dua.

  1. Permintaan yang hanya Allah sahaja boleh mengabulkan seperti menyembuhkan penyakit, memberi keselamatan di dunia dan akhirat, mengampun dosa, memberi rezeki dan lain-lain.

  2. Permintaan yang makhluk boleh melakukannya seperti meminta tolong supaya membasuh, memasak, meminjamkan wang dan lain-lain.

Ketahuilah, permintaan yang jenis pertama itu hanya milik Allah swtNumbered List. Sesiapa yang meminta daripada makhluk terhadap permintaan jenis tersebut (iaitu jenis pertama), maka ia telah menyekutukan Allah dalam pengibadatan, dan ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampunkan oleh Allah swt seperti firmannya yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik. Dan Dia mengampuni segala dosa selain yang selain dari itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendakiNya” (An-Nisa: 48)

Bagi permintaan jenis kedua, ini adalah lumrah kehidupan manusia yang hidup sesama manusia lainnya. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, permintaan jenis ini dibenarkan di dalam Islam, malah digalakkan bagi seorang Muslim untuk membantu manusia lainnya terutama saudara-saudaranya yang seagama di dalam hal-hal kebaikan kerana ia termasuk di dalam amalan soleh.

Oleh kerana itu, janganlah kita menjadi seperti orang-orang Kristian (Nasrani) yang telah bersikap melampau (ghuluw) terhadap Nabi Isa ‘alaihissalam. Mereka mengatakan, Isa putra Maryam adalah anak Allah dan Allah adalah salah satu dari tiga Tuhan!

Nah! Itulah kesesatan kaum Nasrani terhadap keimanan mereka terhadap Nabi Isa, mereka telah melampaui batas-batas ajaran Nabi Isa ‘alaihisalam sedangkan, tiada satu dalil pun dari Allah tentang hal tersebut. Oleh itu, hendaklah kaum Muslimin sekalian beriman kepada Rasulullah sallahua’laihiwassalam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt. Kita hanya meletakkan beliau sallahua’laihiwassalam selayaknya beliau sebagai seorang hamba Allah dan sebagai seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah dari kalangan hamba-hambaNya. Demikian juga keimanan kita kepada Rasul dan Nabi-nabi yang lainnya. Semuanya adalah hamba! Dan mereka itu telah dipilih oleh Allah swt!

Ketahuilah, segala apa yang ada di alam ini adalah hamba Allah swt, seperti di dalam firmannya yang bermaksud;

‘Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Rabb Yang Maha Pemurah sebagai seorang hamba’’ (Surah Maryam: 93)

Penduduk langit dan bumi itu termasuklah sekalian malaikat, jin, manusia, haiwan dan sebagainya.

Oleh itu, sewajibnya, bagi setiap Muslim yang beriktiqad dengan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah memahami benar-benar hakikat keimanan kepada Rasulullah sallahua’laihiwassallam. Semoga perkongsian yang sedikit ini membantu kalian dalam memahami akidah Islam berteraskan dalil yang sahih.

Sekian, terima kasih.

Semoga bermanfaat



_
Abu Bakr Al-Humaidi
Masjid An-Nur, Universiti Teknologi PETRONAS
23 Februari 2010, Selasa, 7.00 petang.

Ulasan Ceramah Brother Shah Kirit (Pengubahsuaian di dalam agama)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:42 PTG 3 komen


Oleh A.Humaizi


Selepas maghrib tadi, saya mendengar satu ceramah yang disampaikan oleh Brother Shah Kirit di Masjid UTP. Memang menarik perkongsian beliau. Ternyata, apa yang disampaikan oleh beliau sangat bermanfaat kepada pendengar-pendengar supaya lebih membuka fikiran dalam hal ehwal agama dan tidak hanya bertaqlid buta dalam mempercayai dan mengamalkan agama ini.


Brother Shah Kirit banyak kali menyebutkan tentang penyelewengan agama-agama dari sumber asal mereka iaitu kitab-kitab rujukan mereka. Disebabkan adanya modifikasi (pengubahan) di dalam agama, maka agama-agama yang ada di dunia ini menjadi tidak benar dan terseleweng dari sumber aslinya. Maka disebabkan itu, ajaran asal bagi sesuatu agama itu adalah menyembah Tuhan yang satu, dan disebabkan adanya penambahan dari manusia, maka kita melihat, ada agama-agama yang menyembah patung, pokok, manusia dan sebagainya.


Bila saya mendengar kata-kata Brother Shah Kirit ini, kata-katanya memang tidak lari dari prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang sangat-sangat menentang keras bid'ah di dalam agama. Yang dikatakan bidáh di dalam agama ini adalah sesuatu yang baru di dalam urusan ibadat kepada Allah yang tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi sallahua'laihiwassalm dan dari Quran.


Ya, Nabi sallahua'laihiwassalam selalu memperingatkan tentang bahaya bid'ah sehingga baginda mengatakan setiap bidáh itu sesat, dan setiap yang sesat itu di neraka. Tetapi malangnya ramai yang tidak mengerti erti sebenar bid'ah. Lalu, disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang bid'ah ini, mereka lebih suka menentang orang yang memerangi bidáh walhal mereka bersetuju tentang faktor kesesatan sesuatu agama itu disebabkan adanya pengubahsuaian di dalam agama tersebut. Dan lebih malang lagi, walaupun mereka tahu, kerosakan pada agama-agama lain itu disebabkan pengubahsuaian di dalam agama, sayang sekali, mereka pula secara tidak sedar telah menjadi tekong-tekong dalam melakukan hal-hal yang baru di dalam agama Islam. Rupa-rupanya, mereka juga telah menjadi perubah-perubah agama Islam ini!


Ketahuilah wahai saudaraku, keselamatan itu adalah, apabila kita mengamalkan apa yang ditunjukkan oleh Nabi sallahua'laihiwassalam dan meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh beliau yakni dalam urusan agama. Oleh itu, hendaklah setiap daripada kita ini memeriksa sama ada amalan kita di dalam agama ini benar-benar sesuai dengan petunjuk Nabi sallahua'alaihiwassalam atau tidak.


Di dalam solat misalnya, adakah benar kita merapatkan saf seperti yang Nabi sallahua'laihiwassalam ajarkan kepada para sahabatnya? Cari bertakbir, cara rukuk dan sujud, dan bacaan-bacaannya, pernahkah kita meneliti amalan kita itu sesuai dengan petunjuk Rasul? Di kala berzikir, pernahkah Nabi menjaharkan bacaan zikirnya setiap masa sehingga mengganggu orang lain ingin melakukan ibadat? Di dalam bertauhid, adakah Nabi mentakwil sifat-sifat Allah? Wahai saudaraku, carilah jawapan-jawapan ini!


Jika anda telah mengetahui tunjuk ajar Nabi sallahua'laihiwassalam, mungkinkah ada pilihan lain bagi anda untuk mendapat petunjuk? Jika ada, adakah mereka itu benar-benar mendapat jaminan pembelaan dari Allah di akhirat kelak?
Katakanlah wahai saudaraku,"Cukuplah Allah dan Rasul sebagai petunjuk bagi kami! Apabila datangnya dalil dari Quran dan Sunnah yang sahih, kami akan mendengarnya dengan khusyuk dan merendah diri. Kami tidak akan mendahulukan kata-kata sesiapapun di hadapan kalam Allah dan hadis Rasulullah. Kami menganggap, apabila kami mendengar hadis Rasulullah, kami merasakan kami mendengar secara lansung dari Nabi sallahua'laihiwassalam. Dan tidaklah ketika itu kami berani membantahnya. Kerana hadis-hadis yang sahih dari baginda juga merupakan wahyu dari Allah. Lalu kerana itu, tiadalah perkataan lain bagi kami untuk berkata kecuali, kata-kata "Kami dengar dan kami taat"

Semoga kita membersihkan diri kita dari syirik, khurafat dan bidáh di dalam amalan kita seharian. Kerana dengan terhindarnya seseorang dari penyakit-penyakit tersebut, akan menyelamatkannya di dunia dan di akhirat.


Wallahua'lam.


Semoga bermanfaat.