Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Penyejuk Mata

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:51 PTG 0 komen

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:57 PTG 2 komen


Oleh: Abu Bakr Al-Humaidi

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?

Pernah sekali di kampus, saya membawa buku Kitab Fikih Mazhab Syafie ke Masjid di kampus saya untuk berbincang dengan Ustaz tentang suatu permasalahan agama kerana saya mempunyai beberapa kekeliruan semasa membaca kitab berkenaan. Semasa sesi perbincangan, ada beberapa orang jemaah masjid yang sama-sama mengikuti sesi perbincangan bersama Ustaz. Di akhir sesi perbincangan tersebut, seorang senior membelek-belek buku berkenaan lalu menasihati saya supaya berguru jika mahu membaca kitab-kitab fikih. Saya hanya tersenyum bila mendengar nasihatnya sambil timbul dalam benak fikiran saya beberapa persoalan untuk menjawab semula nasihatnya seolah-olah tidak boleh membaca kitab fikih secara sendirian.

Saya pernah juga berhujah dengan seorang senior saya di dalam email mengenai hal-hal berkaitan wajibnya mentaati pemerintah walaupun mereka zalim (iaitu dalam hal-hal yang ma’ruf). Dalam perbincangan tersebut banyak juga dalil yang saya kemukakan.Sebenarnya bukan semua dalil saya hafal, saya hanya copy dan paste dari internet dan sempat merujuk buku-buku yang ada di hadapan saya semasa itu sebagai bahan hujah saya. Yang sangat menggelikan hati saya adalah, dalam sesi berhujah itu, senior saya ada mengugut saya dengan perkataan “kuarantin” dari jemaah/organisasi kerana selalu memberi pendapat yang berbeza dengan sebahagian ahli-ahli organisasi. Akhir dari sesi perbincangan tersebut, senior saya memberi amaran kepada saya sekali lagi dengan satu ungkapan yang katanya merupakan hadis Nabi saw (padahal ianya bukan hadis), katanya “Barangsiapa yang berguru dengan buku, ia ibarat berguru dengan syaitan”.

Saya begitu terkejut dengan perkataan beliau yang menyatakan ayat tersebut adalah hadis nabi, lalu saya terus search di internet dan mendapat beberapa artikel berkenaan ungkapan berkenaan. Ternyata, ianya bukanlah perkataan Nabi mahupun perkataan sahabat Nabi saw. Lalu saya pun memberi amaran kepada beliau dengan hadis Nabi saw yang bermaksud “Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka” (HR Bukhari dan Muslim). Selepas dari posting tersebut, senior saya terus tidak membalas email saya. Moga-moga dia mengambil pelajaran betapa bahayanya mencipta hadis palsu dan perlunya berhati-hati menukilkan kata-kata Nabi saw.

Buku Karangan Manusia Vs Quran Al-Karim

Ternyata, jika kita membezakan darjat buku-buku yang dikarang oleh manusia biasa (termasuklah para ulama), maka ianya tidaklah boleh menandingi darjat Kitab Al-Quran yang merupakan perkataan-perkataan Allah. Tetapi, ternyata Nabi saw menyarankan kita supaya membaca Al-Quran seperti sabdanya;

“Dari Abu Umamah r.a dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (HR Muslim).

Malah, Nabi saw menyarankan para sahabatnya supaya membaca al-Quran walaupun masih merangkak-rangkak seperti dalam sabdaannya yang bermaksud;

Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dalam membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia lagi sangat taat. Sedangkan yang membaca al-Quran dengan bertatih-tatih dan bacaan itu terasa sulit baginya mendapat dua pahala” (HR Bukhari dan Muslim)

Sudah pastilah yang mendapatkan kebaikan dari pembacaan Quran itu mestilah memahami isi kandungan Quran dan mengamalkan ajarannya. Dan yang dimaksudkan mendapat dua pahala itu adalah pahala membaca Quran dan satu lagi pahala belajar membaca al-Quran. Wallahua’lam.

Maka di sini jelas, Quran yang sangat tinggi darjatnya pun dituntut untuk dibaca sendiri-sendiri sebagai sumber peringatan, inikan pula buku-buku karangan manusia yang berlambak di atas muka bumi ini. Maka boleh jugalah dibaca untuk mendapatkan peringatan dan ilmu-ilmu yang lain.

Bertanya Kepada Ahli Ilmu Jika Tidak Tahu

Allah swt mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah swt menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;

“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)

Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.

Anjuran Berkata “Allah lebih mengetahui” (Allahu A’lam)

Salah satu dari tuntutan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah mengatakan “Allah lebih mengetahui” dalam perkara-perkara yang tidak jelas kepada kita. Inilah tuntutan disiplin ilmu dalam Islam. Kita hanya boleh berkata dalam ruang lingkup yang kita tahu sahaja, sebaliknya jika kita tidak tahu hendaklah kita mengatakan Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui) dan berdiam diri dari menambah-nambah perkara yang dia tidak tahu.

Pernah sekali Imam Malik r.h didatangi oleh seorang lelaki untuk bertanya kepadanya tentang empat puluh persoalan. Akan tetapi beliau hanya menjawab empat daripada empat puluh persoalan tersebut. Selebihnya beliau menyatakan “Saya tidak tahu”. Sehingga lelaki yang bertanya itu mengatakan, “Saya datang dari negeri yang jauh dengan tungganganku dan anda hanya mengatakan ‘Saya tidak tahu’

Imam Malik lalu berkata “Naikilah tungganganmu, dan kembalilah ke negeri asalmu dan katakanlah “Saya telah bertanya kepada Malik, dan dia hanya mengatakan “Saya tidak tahu”.

Demikian juga Nabi saw, apabila ditanya sesuatu yang belum diturunkan wahyu kepadanya, beliau akan menunggu sehingga ada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepadanya.

Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pedengaran, penglihatan dan hati semua itu akan diminta petanggungajawabannya” (Al-Isra’ :36)

Penutup

Oleh itu, kepada para pembaca. Marilah kita menuntut ilmu terutamanya ilmu berkaitan dengan agama. Yang dikatakan agama itu adalah al-Quran dan As-Sunnah.

Sumber mendapatkan ilmu itu ada pelbagai. Melalui kuliah agama di masjid secara bertalaqi, mendengar mp3 taupun rakaman video, malah melalui pembacaan. Semua memberi manfaat kepada kita semua.

Usah takut untuk membaca, kerana membaca itu adalah kunci ilmu. Kejayaan sesuatu tamadun adalah kerana tingginya budaya membaca dalam masyarakatnya. Yang penting, kita mestilah mengikuti adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.

Usahlah percaya dengan slogan-slogan orang yang lemah fikirannya. Mereka melarang manusia membaca kitab-kitab agama dengan alasan “Berguru dengan buku ibarat berguru dengan syaitan”. Dari perbuatan mereka ini, ternyata mereka mengharamkan apa yang tidak diharamkan oleh Allah. Semoga Allah mengampuni kesilapan kita semua atas kejahilan kita yang terdahulu.

Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Sumber:


1. Penjelasan Ringkas Matan Akidah At-Thahawiyah, Akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Syaikh Salih bin Fauzan, ms 269. Pustaka Asy-Syifa, Indonesia.

2. Riadus Solihin, Imam Nawawi, Bab Keutamaan Membaca Al-Quran, ms 211.

"Sahaja Aku.." Adakah Ianya Niat?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 5:46 PTG 3 komen



Oleh A.Humaizi

Sejak dari kecil, kita telah diajar untuk memulakan sesuatu amalan dengan niat. Dan kita juga ketahui, tidak sah sesuatu amalan tanpa niat. Maka guru-guru kita terdahulu (semoga Allah merahmati mereka) pun menyuruh kita supaya menghafal bait-bait niat seperti niat wuduk, solat, puasa dan sebagainya. Oleh kerana sesuatu amalan itu tidak diterima kerana tiada niat, maka ramailah di kalangan umat Islam ketika ini melafazkan bait-bait niatnya sebelum melakukan ibadah.

Ada juga pandangan yang menyatakan niat itu di dalam hati, maka ada pula guru yang mengajar supaya di susun bait-bait niat tersebut di dalam hati. Maka disebabkan itulah terkadang kita melihat ramai di kalangan umat Islam yang susah mengangkat takbir ketika solat, alasannya niat tidak masuk di dalam hati. Dan lebih kesian lagi kepada orang yang ingin solat jamak Qasar. Niatnya sangat panjang, "Sahaja aku solat Zohor, dihimpunkan kepadanya Asar, dua rakaat, Qasar, tunai, kerana Allah taala". Begitu juga dengan niat solat jenazah, antaranya "Sahaja aku menyembahyangkan jenazah lelaki ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah taala".

Bait-bait niat seperti ini telah menyebabkan seseorang sukar untuk memulakan ibadahnya, kerana mereka salah faham terhadap konsep niat itu sendiri.

Salah Faham Terhadap Perkataan Imam Syafie

Sebahagian pengikut mazhab Syafie menyebutkan salah satu ucapan Imam Syafie, bahawa beliau menyebutkan perbezaan antara solat dan ihram iaitu solat dimulai dengan ucapan. Lalu sebahagian orang keliru dalam memahami apa yang diucapkan oleh Imam tersebut dan menyangka bahawa yang dimaksudkan oleh Iman tersebut adalah melafazkan niat, padahal yang dimaksudkan adalah TAKBIRATUL IHRAM (Tazkiyyatun Nafs, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, Darul Sunnah, Indonesia)

Niat Itu Adalah Kesengajaan

Niat itu mengikuti apa yang telah diketahui. Iaitu jika seseorang telah mengetahui apa yang hendak dilakukan, maka secara automatik ia telah berniat. Sebagai contoh, orang yang menyuapkan makanan ke mulutnya beerti dia mengetahui perilakunya untuk makan, maka dikala itu dia telah berniat untuk makan.

Seperti contoh lain, seseorang yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh, hakim akan menyatakan, "Kamu didapati bersalah kerana membunuh dengan niat". Walhal logiknya, seseorang pembunuh tidak akan melafazkan niatnya untuk membunuh. Mereka tidak akan berkata "Sahaja aku membunuh si fulan kerana aku membencinya" atau pun lafaz-lafaz yang lain. Tetapi perbuatan si pembunuh tersebut merupakan kesengajaannya untuk melakukan pembunuhan mangsa dengan cara-cara yang dia sedar dan tahu.

Seandainya manusia dibebani untuk melaksanakan pekerjaan tanpa niat, beerti mereka telah dibebani dengan sesuatu yang mereka tidak mampu melakukannya. Kerana jika seseorang mengerjakan suatu perbuatan baik atau buruk, maka ia semestinya telah terlebih dahulu mengetahuinya dalam hati, maka itulah niat. Jika seseorang telah mengetahui bahawa ia hendak solat, berpuasa, berwuduk dan sebagainya, maka dia telah berniat di dalam hatinya meskipun tidak mengucapkannya dengan lisan.

Pendapat-pendapat Para Ulama Dalam Hal Melafazkan Niat

Para ulama berbeza pendapat apakah disunnahkan melafazkan niat? Sekelompok pengikut mazhab Abu Hanifah, Asy-Syafie dan Ahmad berkata, "Hal itu disunnahkan agar lebih meyakinkan."

Sementara sekelompok pengikut mazhab Imam Malik dan Ahmad berkata, "Hal itu tidak disunnahkan, bahkan melafazkan niat adalah bid'ah". sebab tidak ada satupun hadis dan perkataan para sahabat dan tabi'en yang menjelaskan tentang keharusan melafazkan , baik dalam solat, bersuci dan puasa. Mereka berkata, "Kerana niat itu sudah ada bersama dengan adanya pengetahuan untuk melakukan hal tersebut. Melafazkannya merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja."

Niat itu terdapat dalam hati manusia, sementara ada orang yang berkeyakinan bahawa niat bukan terdapat di dalam hati, lalu ia hendak menghadirkannya dengan lisannya (dengan mengucapkannya). Sesungguhnya suatu upaya untuk mencapai sesuatu yang telah tercapai merupakan suatu hal yang sia-sia, maka dengan itu banyak manusia yang terjerumus ke dalam pelbagai was-was dan keraguan. (Ibnu Taimiyyah, Tazkiyatun Nafs)



Penutup

Kata Ibnu Qayyim r.h. "Niat ertinya menyengajakan dan bermaksud bersungguh-sungguh untuk melakukakn sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan. Dari itu, tidak pernah diberitakan dari Nabi SAW begitu jua dari para sahabat mengenai lafaz niat ini.

Dan ungkapan-ungkapan yang dibuat-buat dan diucapkan pada permulaan bersuci dan solat ini, telah dijadikan oleh syaitan sebagai arena pertarungan bagi orang-orang yang diliputi was-was, yang menahan mereka untuk menyempurnakannya. Maka, anda melihat masing-masing mereka mengulang-ulanginya dan bersusah-payah untuk melafazkannya pada hal demkian itu sama sekali tidak termasuk dalam upacara solat” (Dipetik dari Kitab Fikih Sunnah)

Maka tidak perlulah kita bersusah-susah untuk memasukkan niat di dalam hati sehingga was-was menyelebungi diri kita. Cukuplah sekadar anda mengetahui apakah yang hendak dilakukan iaitu kesengajaan melakukan amal, dan itulah niat anda.

Semoga bermanfaat.
Wallahua'lam.










"Meneropong"

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 10:25 PG 4 komen

D80 sudah menjadi milikku.. :), jadi lepas ni bolehlah menjadi Part Timer Camera Man.

Weekend lepas, SHAZU ENGINEERING SDN BHD, syarikat tempat saya berpraktikal buat dinner di Restoran Berputar Menara Kuala Lumpur sempena perpisahan dengan Mr Nakato yang telah berkhidmat dengan Shazu sejak sekian lama sebagai Technical Advisor. 1st time makan kat tempat-tempat macam ni. Mahal pulak tu. Satu kepala RM130. Tapi best la jugak. Dapat makan sambil melihat pemandangan Kuala Lumpur di waktu malam dari ketinggian 400 meter.

Ni gambar masa nak turun dari KL Tower. Staff Shazu memang best! Dah macam family. Tapi mat saleh kat belakang tu tak termasuk la. :) Sorry yer mat!

Shazu's Family :)

Bukit Bintang, Lorong Haji Taib dan Seri Hartamas punya Cerita.

Lepas habis dinner di KL Tower, saya dengan beberapa orang staff shazu bersiar-siar di beberapa tempat di KL untuk melihat kehidupan warga KL di malam hari. Mula-mula kami ke Bukit Bintang. Kemudian terjumpa "GOLD MAN". Macam-macam cara orang nak cari duit kat KL ni. Ada yang buat khidmat urut, menyanyi, mintak sedekah, berniaga dan macam-macam lagi. Cumanya, dalam banyak-banyak kerja tu, kena la pandai pilih yang mana satu halal, yang mana satu haram. Bagi saya, daripada orang yang asyik minta sedekah di jalanan, menjual diri untuk kepuasan nafsu, merompak atau mencuri, lebih baik jadi macam atuk ni, jadi GOLD MAN. Setiap kali orang ambil gambar bersamanya, orang akan hulur sedikit wang sebagai upah.
Wallahua'lam. Tapi kalau orang Islam buat benda ni, pastikanlah anda menghilangkan cat-cat tu sebelum ambil wuduk, nanti air wuduk tak sampai ke kulit@anggota wuduk.

Sebelum

Selepas


Masa di Bukit Bintang, kami nampak ada Kuliah Rockers. Tak tahulah apa yang dibicarakan oleh 'Tuan Guru' mereka. :) Nampaknya anak-anak muda tu sangat kagum dengan "Tok Guru" mereka. Aduh!! Risau dibuatnya melihat suasana anak-anak muda di KL ni. Tengok lagak dan rupanya, mereka ni masih budak-budak sekolah. Tapi seperti dibiarkan ibubapa untuk berpeleseran dengan kawan-kawan di waktu malam.

Pesan saya kepada Abg Ari, "Risau tengok budak-budak ni, anak-anak kita nanti bagaimana la. Hmm kalau boleh dipukul masa kecik, eloklah dipukul. Bila dan besar, susah jadinya".
Abg Ari pun mengiyakan kata-kata saya. Memang bahaya kalau suasana ini dibiarkan.

Selepas kami berjalan-jalan di Bukit Bintang, kami pun saja ronda-ronda di kawasan 'hitam' di Kuala Lumpur. Antaranya di Lorong Haji Taib.

Terkejut saya dibuatnya. Rupanya, apa yang diceritakan di dalam drama-drama TV selama ni memang betul. Pondan dan pelacur bersepah-sepah mencari pelanggan. Geleng kepala saya dibuatnya. Betapa barahnya penyakit akhlak orang kita. Kebanyakkannya orang Melayu Islam.

Berbincang juga dengan kawan-kawan, bagaimana nak menghapuskan aktiviti haram dan bodoh ni. Antara idea yang baik adalah, membersihkan kawasan Lorong Haji Taib yang kotor dengan sampah tu dan pasang lampu-lampu supaya lebih cerah. Jika dilihat kawasan tu, memanglah sesuai untuk orang melakukan maksiat. Gelap + kotor + sunyi. Kalau tempat tu meriah, rasanya kurang sedikit orang buat kerja-kerja bodoh ni secara terbuka.

Satu lagi tempat, kami pun bergerak ke Seri Hartamas. Katanya tempat ni tempat orang loaded. Kami pun parking la di depan sebuah pub. Risau dibuatnya. Mana taknya, ramai bonzer-bonzer di depan pub tu. Nak parking kereta pun, kunci kereta akan dipegang oleh penjaga pub. Bonzer-bonzer tu asik tengok pada kami, mungkin curiga dengan kami. Mana la tahu, kami ni polis. :).

Selepas parking, kami pun lepak di sebuah kedai makan dibelakang pub tu. Pelanggan-pelanggan di situ memang bercampur dengan pelbagai bangsa. Tapi yang paling ramai adalah anak-anak Melayu Islam.

Agak terkejut jugak lah. Mereka ni berani minum arak secara terbuka. Yang lebih 'menggelikan' hati, ada seorang minah bertudung ni boleh duduk dengan kawan-kawan yang minum minuman keras. Aduh! Di manakah agama kalian!? Terasa bersalah jugak diri ini sebab tak mampu nak buat sesuatu untuk mengubah keadaan. Ye la. Boleh kata ramai begitu.

Apa pun, moga-moga pembaca dapat sesuatu dari posting kali ni. Semoga kita berusaha menjauhi orang-orang yang hanya mengikuti hawa nafsu mereka semata-mata. Jagalah diri, keluarga dan rakan-rakan kita dari terjebak dari masalah sosial seperti ini.

Habis cerita.

Esoknya

Esoknya, kami budak-budak praktikal bersiar-siar di Kuala Lumpur. Mula-mula kami ke Karnival Kerjaya di PWTC. Memang banyak peluang pekerjaan ditawarkan. Tapi sayangnya, semua tu untuk siswazah yang dah habis belajar atau nak habis belajar. Kami ni lagi setahun. :) Insya-Allah.

Petang tu, kami makan di Geng's Corner. Kedai makan Upin dan Ipin. Best jugak makanan kat sini. Harga pun boleh tahan la.




:) Sekian sahaja untuk kali ini. Maaf kerana posting kali ni lebih santai dan bersifat peribadi. :) Semoga ada manfaat dalam posting kali ini.

Wallahua'lam.

Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 8:05 PTG 6 komen



Oleh: A.Humaizi

Pada hari ini, Khamis 7 Mei 2009, ada beberapa kali saya membelek dua akhbar online iaitu Harakahdaily dan Utusan Online. Berita yang paling hangat di dalam kedua-dua akhbar tersebut adalah mengenai isu di Perak iaitu negeri tempat saya dibesarkan.

Sebenarnya agak merunsingkan kepala otak saya bila membaca berita-berita mengenai isu di Perak ini. Sejak beberapa bulan lalu lagi saya sudah kepeningan dengan isu politik di Perak, sehingga saya sendiri naik muak dengan politik dan akhirnya saya pernah penulis tentang buruknya perangai orang politik. (Baca : Buruknya Perangai Orang Politik)

Pada awal terjadinya isu di Perak, saya pernah menulis satu artikel ringkas sebagai jalan penyelesaian di Perak dan artikel ini saya pernah siarkan di beberapa lawan web dan saya emailkan kepada sahabat-sahabat lain sebagai satu buah fikiran. Dan sememangnya terdapat komen yang pro dan kontra terhadap artikel saya ini. Walaubagaimana pun, saya tetap juga mempunyai pendirian yang sama seperti dahulu tanpa berubah sedikit pun tentang isu di Perak.

Perlulah para pembaca sekalian ketahui bahawa, saya tidak menyentuh sama sekali hal ehwal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Segala keputusan tentang undang-undang, saya serahkan kepada Mahkamah untuk menentukan keputusannya. Kerana saya tidak pernah sekalipun membaca ataupun melihat isi kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Oleh itu, saya tidak dapat menilai isu ini berdasarkan aspek perundangan, lebih-lebih lagi saya bukanlah ahli dalam bidang tersebut.

Wallahua'lam. Tulisan ini sekadar pendapat saya semata-mata mengikut kadar ilmu yang dikurniakan Allah kepada saya. Jika ada kesilapan dalam menghuraikan dalil-dalil Quran dan Sunnah minta pencerahan dari yang pakar.

Sekian terima kasih, Selamat Membaca.


Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!
Allah Swt memerintahkan kepada kaum muslimin supaya mentaatiNya, Rasulnya dan Pemerintah di kalangan kaum muslimin seperti yang diperintahkan dalam Surah An-Nisa : 49,

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Nabi saw telah menggariskan supaya segala arahan pemerintah wajib ditaati selagi ianya tidak melanggar syariat Islam. Ini disebutkan dalam hadis baginda yang bermaksud,

Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). (Hadis Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469)

Umat Islam juga diperintahkan sentiasa taat kepada pemerintah dan dilarang memeranginya walaupun mereka melakukan perkara yang zalim. Ini disebutkan di dalam hadis yang bermaksud;

Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama'ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849)
Imam Ibnu Abil Izzi rahimahullah berkata:

"Adapun taat kepada penguasa tetap wajib sekalipun mereka zalim, kerana keluar dari ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan keburukkan yang banyak melebihi kezaliman mereka. Bahkan sabar di atas kezaliman penguasa adalah penghapus dosa, melipat gandakan pahala, kerana tidaklah Allah menimpakan hal itu kecuali kerana keburukkan perbuatan kita sendiri. Balasan itu setimpal dengan perbuatan. Wajib bagi kita untuk bersunguh-sungguh meminta ampun kepada Allah, taubat dan memperbaiki diri. Maka apabila rakyat ingin membebaskan diri dari kezaliman penguasa hendaklah mereka mengawali dengan meninggalkan perbuatan zalim pada diri mereka sendiri." (Syarah al-Aqidah at-Thohawiyyah, 2/542)

Alangkah bagusnya ucapan Abdul Malik bin Marwan ketika berkata: "Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian menghendaki dari kami seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar, akan tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi di zaman Abu Bakar dan Umar". (Sirojul Muluk, hal.100))

Sesungguhnya Allah Bersama Orang Yang Bersabar

Walaupun seseorang itu terasa dizalimi oleh pemerintah, maka ketika itu, adalah lebih baik dia bersabar dan tidak melakukan sebarang pemberontakan atau menunjukkan sikap tidak puas hati, kerana pemberontakan terhadap pemerintah akan mengundang kemudharatan yang lebih besar.

Telah disebutkan dalam kisah-kisah para ulama muktabar sepanjang sejarah Islam, mereka dipenjara dan disebat seperti Imam Ahmad, dibuang negeri seperti Imam Nawawi, tetapi mereka tetap bersabar tanpa membawa pengikut-pengikut mereka keluar memerangi atau menjatuhkan pemerintah walaupun ada pemerintah di zaman mereka yang beraqidah dengan aqidah Muktazilah yang sesat.

Demikianlah, contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ulama-ulama silam supaya ianya menjadi pedoman dan ikutan kepada kaum muslimin seluruhnya. Inilah tanda-tanda kekuatan iman yang dibuktikan oleh tokoh-tokoh ulama Islam dalam berhadapan dengan pemerintah yang zalim.

Allah swt berfirman, maksudnya,

"Sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang sabar"

Di antara dua kemudharatan, pilihlah kemudharatan yang kecil

Demikianlah, disebutkan dalam usul fiqh, jika bertembung dua kemudharatan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih kecil.

Islam telah mengajar umatnya supaya berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan. Umat Islam disuruh supaya menilai sesuatu tindakan dan mengkaji kesan yang bakal diperoleh dari tindakan tersebut, lalu Islam menuntut umatnya memilih tindakan yang paling tepat dan tidak merugikan kepentingan kaum muslimin sekalian.

Isu Di Perak

Oleh itu, dalam menilai situasi di Perak, pada pendapat saya, Ir Nizar dan exco-exconya wajib taat kepada ulil amri iaitu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memerintahkan mereka supaya meletakkan jawatan mereka selaku exco kerajaan negeri dan Menteri Besar dengan baik tanpa mengadakan sebarang bantahan di jalanan yang akhirnya bakal membawa kesan buruk kepada masyarakat seperti kacau bilau, tindakan keras pihak berkuasa dan macam-macam lagi perkara yang mungkin kita tidak fikirkan untuk terjadi.

Tindakan meletakkan jawatan sebenarnya akan lebih mententeramkan keadaan yang sedang panas dan pihak Pakatan Rakyat sebenarnya tidak perlu cepat melatah jika mereka yakin mereka di pihak yang benar.

Ingatlah wahai saudara-saudaraku, merundur sedikit ke belakang itu bukan bermakna anda kalah! Tetapi berundurnya anda seketika tanda anda mengumpul kekuatan. Tidak kiralah kekuatan dari segi strategi mahupun kekuatan iman!

Tuntut Keadilan Dengan Bermaruah!

Saya selaku orang awam yang tidak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam isu di Perak hanya dapat membaca akhbar-akhbar seperti Utusan, Harakah dan lain-lain sumber media yang ada. Boleh jadi, setiap media tersebut benar dalam penyampaiannya, boleh jadi tidak. Maka disebabkan itu, saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat tindakan, supaya saya tidak tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan sebagai orang yang menyesal di atas tindakan salahnya, (Rujuk Surah Al-Hujurat).

Disebabkan banyaknya kecelaruan di kalangan rakyat, maka banyaklah rakyat bertindak mengikut batas pengetahuan yang mereka ada, dan yang paling malangnya, mereka bertindak atas dasar emosi yang akhirnya mencemarkan imej "keislaman" mereka. Dan lebih malang lagi, terjadinya permusuhan dan pergaduhan antara pihak yang terlibat.

Maka kerana itu, bila Ir Nizar dan exconya meletak jawatan, dan keadaan kembali tenang, maka ketika itu, tuntutlah keadilan di Mahkamah.

Jika anda yakin anda dipihak yang benar, maka ketahuilah, Jika anda menang, anda menang dengan bermaruah! Tetapi jika anda kalah sekali pun, anda kalah dengan bermaruah jua! Kerana anda tahu, keadilan yang mutlak akan disempurnakan oleh Allah swt di akhirat nanti. Maka bersabarlah dan tenanglah wahai saudaraku, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar!

Kesimpulan

Kita telah menyaksikan betapa, sebenarnya demokrasi ini TIDAK banyak membantu masyarakat kita untuk bersatu, MALAH IANYA BANYAK MENYEBABKAN PERPECAHAN melainkan kita kembali kepada agama Allah iaitu agama Islam. Kerana, terbukti orang-orang yang bersatu atas dasar iman, lebih kuat ukhwahnya berbanding orang-orang yang bersatu kerana keduniaannya.

Oleh kerana itu, tidak perlulah kita berslogan dan berkempen untuk mempertahankan prinsip demokrasi kerana ia sebenarnya punca perpecahan manusia. Kita selaku orang-orang yang percaya bahawa demokrasi hanyalah wadah dan alat semata-mata dan disebabkan jalan dan alat ini banyak kekurangan dan banyak pula bahayanya kepada umat, maka eloklah kita fikirkan kembali betapa perlunya kita berhati-hati dalam melangkah dan menggunakannya supaya parang tak makan tuannya dan duri di jalanan tak tertusuk di kaki.

Sebagai kesimpulan, taatlah kepada ulil amri, wala'lah kepada mereka walaupun tidak memihak kepada anda. Inilah sebenarnya yang dikehendaki dari tarbiyyah kalian! Maka zahirkanlah kesan dari tarbiyyah kalian! Disebabkan itu bersabarlah walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan. Ingatlah! Sesungguhnya setiap kesusahan pasti ada kesenangan.

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. http://an-nawawi.blogspot.com/2007/12/sikap-rakyat-terhadap-pemerintah-yang.html

Maksud Sunnah itu Bukan Sunat Sahaja

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 8:25 PG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Terdapat segelintir umat Islam yang hanya memahami perkataan Sunnah mengikut satu aspek sahaja, lalu mereka membawa satu pemikiran yang salah terhadap kata-kata sunnah itu sendiri. Malah, mereka kadang-kadang merendah-rendahkan golongan yang berbicara berkaitan sunnah mengikut pengertian yang lain. Sikap seperti ini hanya menunjukkan kejahilan mereka berkaitan definisi sunnah itu sendiri. Berikut disajikan beberapa pengertian sunnah yang sering digunakan dalam bidang keilmuan Islam yang dipetik dari tulisan ulama terkenal zaman ini iaitu Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Selamat membaca.

Pembahagian Sunnah [1]

Sunnah dari sudut bahasa

Sunnah secara bahasa bermakna;

perilaku yang dilakukan, baik cara yang terpuji mahupun yang tercela

Oleh itu, terdapat sunnah yang baik dan ada juga sunnah yang buruk seperti yang diungkapkan oleh sebuah hadis sahih yang bermaksud,

Barangsiapa yang membiasakan sesuatu sunnah yang baik (disebutkan perkataan sunnatan hasanah dlm matan arab) dalam Islam, dia akan mendapatkan pahala dari perbuatannya itu dan pahala dari perbuatan orang yang mengikuti kebiasaan baik itu setelahnya dengan pahala yang sama sekali tidak lebih dari pahala orang-orang yang mengikuti melakukan perbuatan baik itu. Sementara, barangsiapa yang mebiasakan suatu perbuatan buruk dalam Islam (disebutkan sunnatan saiyyiah di dalam matan Arab) ia akan mendapatkan dosa atas perbuatannya itu dan dosa dari perbuatan orang yang melakukan keburukan yang sama setelahnya dengan dosa yang sama sekali tidak lebih kecil dari dosa-dosa yang ditimpakan bagi orang-orang yang mengikui perbuatannya itu” (HR Muslim)

Kata ‘sunnah’ yang dipergunakan oleh hadis tadi adalah kata sunnah dengan pengertian bahasa. Maksudnya, siapa yang membuat perilaku tertentu dalam kebaikan atau kejahatan, atau siapa yang membuat kebiasaan yang baik dan yang membuat kebiasaan yang buruk. Orang yang membuat kebiasaan yang baik akan mendapatkan pahala dari perbuatannya itu dan dari perbuatan orang yang mengikuti perbuatannya dan orang yang membuat kebiasaan buruk maka ia akan mendapatkan dosa dari perbuatannya itu dan dari perbuatan orang-orang yang mengikutinya hingga hari kiamat.

Pengertian dari sudut syariat

Dari segi terminologi syariat, Sunnah mempunyai lebih dari satu makna;

1. Makna di dalam bidang fiqh membawa maksud ‘salah satu hukum syariat’ atau kata lawan dari fardhu dan wajib. Ia bermakna sesuatu yang dianjurkan dan didorong untuk dikerjakan. Ia adalah sesuatu yang diperintahkan untuk dikerjakan namun dengan perintah yang tidak kuat dan tidak pasti. Sehingga orang yang mengerjakannya akan mendapatkan pahala dan orang yang tidak mengerjakannya tidak mendapatkan dosa kecuali orang itu menolaknya dan sebagainya. Dalam pengertian ini, dapat dikatakan bahawa solat dua rakaat sebelum subuh adalah sunnah, sementara solat subuh itu sendiri adalah fardhu. (Dalam lain perkataan dalam umat Melayu adalah sunat – pent)

2. Pengertian dalam bidang usul fiqh pula adalah apa yang diriwayatkan dari Nabi saw, berupa ucapan, perbuatan atau persetujuan. Ia dalam pandangan ulama usul adalah sebagai sumber syariat. Oleh kerana itu, ia bergandingan dengan al-Quran. Misalnya ada redaksi ulama yang mengatakan tentang hukum sesuatu, masalah ini telah ditetapkan hukumnya oleh al-Quran dan Sunnah. (Sunnah di sini sama maksudnya dengan Hadis –Pent)

3. Sementara bagi ahli hadis menambah definisi lain tentang sunnah. Mereka mengatakan bahawa sunnah adalah apa yang dinisbatkan kepada Nabi saw berupa ucapan, perbuatan, persetujuan atau sifat-sifat Nabi saw berupa bentuk fizikal mahupun akhlak ataupun sirah Baginda saw.

4. Ada juga makna yang lain yang menjadi perhatian ulama iaitu sunnah dengan pengertian kata lawan bagi bid’ah. Atau apa yang disunnahkan dan disyariatkan oleh Rasulullah saw bagi umatnya lawan bagi apa yang dibuat-buat oleh para pembuat bid’ah setelah masa Rasulullah saw. Sunnah seperti inilah yang dimaksudkan oleh hadis riwayat Irbadh Bin Sariah yang bermaksud;

orang yang hidup setelahku nanti akan melihat banyak perbezaan pendapat (di kalangan umat). Dalam keadaan seperti itu, hendaklah kalian berpegang pada Sunnahku dan Sunnah Khulafa Ar-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk. Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu dan janganlah kalian mengikuti hal-hal bid’ah, kerana setiap bid’ah adalah sesat– (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya. Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih).

Penutup

Dari pengertian yang pelbagai untuk perkataan sunnah itu sendiri, maka umat Islam perlu bijak meneliti sesuatu perbicaraan mengenai sunnah. Anda perlulah mengenal pasti sesuatu perbicaan berkaitan sunnah mengikut pengertian-pengetian yang dijelaskan seperti di atas.

Memahami Sunnah hanya dari sudut satu pengertian sahaja akan mencemarkan disiplin-disiplin ilmu Islam. Orang-orang yang berbicara mengikut kefahaman yang sempit terhadap sunnah terkadang mereka merendah-rendahkan golongan yang berbicara sunnah mengikut pengertian lain, sikap seperti ini menunjukkan kejahilan seseorang terhadap maksud sunnah Nabi saw dalam ilmu syarak. Oleh kerana itu, kenal pastilah apa yang dibicarakan oleh seseorang mengenai sunnah Nabi saw supaya anda tidak dipesongkan dengan kefahaman yang salah.

Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan membicarakan;

a. Apa itu bid’ah?

b. Apa yang dimaksudkan bid’ah oleh Nabi saw?

c. Apa pula bid’ah hasanah dan bid’ah dholalah yang dimaksudkan oleh ulama Syafieyah?

Semoga saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis dan menyebarkan ilmu-ilmuNya.

Semoga bermanfaat.


[1] M/s 9 – 13 ,Sunnah & Bid’ah, Dr Yusuf Qaradhawi, Gema Insani , Jakarta, 2000.