Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

"Pakcik... Benda ni syirik tau!"

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 8:17 PTG 9 komen

Oleh A.Humaizi

.......Setelah selesai solat fardhu subuh di surau Flat Rimba jaya yaitu flat yang saya diami, kami ahli-ahli jemaah surau pun pulang la ke rumah masing-masing. Sambil berjalan bersama dengan pakcik-pakcik yang ada, kami pun bersembang la sesama kami. Apabila sampai sahaja di tingkat masing-masing, pakcik-pakcik ni pun keluar dari lif, dan tinggal la saya dengan pakcik yang tinggal sebelah dengan rumah saya.

Kami pun sambung berborak-borak kecik sambil berjalan. Dalam hati saya, berbisik-bisik ingin bertanya tentang satu kertas yang ditampal pada pintu rumah pakcik berkenaan. Maka bila tiba sahaja di depan rumah pakcik tersebut, saya pun memulakan pertanyaan saya.

"Pakcik, saya nak tanya, kenapa pakcik tampal benda ni?"kata saya sambil menunjukkan kertas yang ada di muka pintu rumah pakcik berkenaan.


Contoh pelaris-pelaris yang di tampal - ianya syirik!


"Ooo yang itu, hmm pakcik pun tak pasti la kenapa," Jawab pakcik berkenaan, lalu menyambung, "Rumah pakcik ni selalu kehilangan barang, kemudian kawan pakcik suruh pakcik tampal kertas ni dekat depan rumah". Dalam hati saya berbisik, "Mungkin pakcik ni tampal sebab tak nak barangnya hilang".

Lalu terus saya menyampuk cakap pakcik tu, "Pakcik, pakcik tahu tak, perbuatan pakcik menampal kertas ni adalah SYIRIK?!". Pakcik tersebut nampak seperti terkejut, lalu saya teruskan bicara, "Pakcik, siapa yang bagi kita rezeki? Siapa pula yang melindungi kita?" Saya bertanya kepada pakcik tersebut dan kemudian saya sendiri yang menjawabnya, "Allah yang bagi kita rezeki, Allah yang memberi pelindungan kepada kita, jadi mintalah dari Allah apa yang pakcik nak. Kalau pakcik nak rezeki, atau pakcik nak keselamatan, pakcik berdoa kepada Allah atau pakcik solat dua rakaat (solat hajat) kemudian berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan kabulkan."

Kemudian saya sambung lagi, "Tidak ada sebenarnya perantara kita dengan Allah. Jadi benda-benda seperti ini (kertas tersebut) atau benda-benda yang menjadi bahan yang dikatakan pelaris seperti yang diamalkan oleh peniaga-peniaga sebenarnya tiada dalam agama. Semua itu syirik. Samalah juga orang yang menggunakan ayat-ayat Quran tertentu yang dikatakan boleh menjadi pelaris seperti ayat 1000 dinar dan sebagainya."

Pakcik tersebut mendengar dengan teliti, lalu saya menyambung lagi. "Orang-orang yang berniaga ni suka sangat gantung ayat 1000 dinar, tetapi sedikit sekali memahami maksudnya. Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya bertaqwa, dan Allah akan memberikan rezeki kepada orang-orang yang bertaqwa dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka. Tapi hakikatnya, ramai para peniaga tidak mengambil semangat untuk bertaqwa kepada Allah. Mereka hanya menjadikan ianya seperti tangkal semata-mata."

"Samalah juga dengan ayat-ayat Quran yang digantung-gantung dengan niat yang salah". Kemudian saya bersoal jawab dengan pakcik berkenaan tentang hal menggantungkan ayat-ayat Quran.

Lalu saya bertanya kepada pakcik tersebut, "Pakcik, apa tujuan Quran ni diturunkan. Ianya untuk dibaca atau untuk dibuat hiasa?"

Lalu pakcik menjawab sama dengan jawapan saya,"Quran tu untuk dibaca, maka jika orang yang nak menggantung ayat quran berniat untuk membacanya, maka bolehlah berbuat demikian. Tapi kebiasaan yang ada pada zaman ini, kebanyakkannya menjadikan ayat Quran sebagai hiasan semata-mata. Maka disebabkan itu, terpulang kepada orang yang menggantungkannya, apa niatnya."

Kemudian pakcik tersebut bertanya kepada saya tentang ayat Quran seperti 4 Qul yang terpampal pada pintu rumahnya. Kata saya, "Terpulang kepada pakcik, apa niat pakcik, kalau pakcik tampal untuk dibaca, silakan."

Kemudian pakcik berkenaan pun banyak la bertanya kepada saya tentang pelbagai perkara, dari segi persoalan mazhab, persoalan qunut, wahabi, dan macam-macam lagi persoalan yang ditanya. Alhamdulillah, semuanya dapat saya jawab dengan bekalan ilmu yang diberikan oleh Allah swt. Moga-moga pakcik tersebut faham apa yang saya sampaikan.

Setelah hampir setengah jam kami berdiri di depan rumah pakcik tersebut, pakcik tu pun minta diri untuk masuk ke rumah untuk bersiap-siap dan saya pun pulanglah ke rumahdengan perasaan lega sebab telah menyampaikan sesuatu yang penting kepada pakcik berkenaan. Kemudian saya bersiap-siap untuk ke tempat kerja sambil bercerita dengan roomate saya tentang hal-hal seperti cerita di atas..

Ternyata Hari Ini Hari Yang Mengembirakan

Pulang sahaja dari tempat kerja, seperti biasa, saya melalui rumah pakcik tadi. Ternyata kertas syirik tersebut telah dibuka.

Tidak terkata gembiranya hati saya sebab dapat selamatkan pakcik tersebut dari unsur syirik. Saya pun melangkah ke rumah dengan penuh semangat untuk cerita dengan sahabat saya di rumah!

"Nazri!... Kau tau tak, pakcik tu dah cabut kertas tu!".. Kami pun berasa seronok la sebab dakwah berjaya.

Kemudian saya pun berkata kepada Nazri, "Nazri, kat depan rumah pakcik tu ada satu rumah lagi yang ada tampal benda yg sama".

Kami pun senyum sesama kami, moga-moga Allah menemukan kami dengan tuan rumah berkenaan supaya kami dapat sampaikan ilmu tauhid kepadanya dan menjauhkannya dari syirik!

Tauhid Vs Syirik

Bila sudah banyak didedahkan dengan ilmu tauhid ini, alhamdulillah, saya makin lama makin sensitif dengan hal-hal yang membawa syirik kepada Allah swt. Hati saya terasa panas dan geram bila melihat bomoh, pawang, orang yang jual batu-batu hikmat dan kisah-kisah jin yang banyak berada di dalam masyarakat.

Kepada para pembaca sekalian, marilah sama-sama kita mendalami ilmu tauhid, kerana itulah pokok agama, iaitu Mengesakan Allah dalam segala-galanya.

Kita hanya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah, bukan kepada makhluk.
Kita meminta segala-galanya hanya dari Allah, tidak kiralah permintaan itu kecil atau besar.
Kita menyakini bahawa Allah lah yang melindungi kita, dan kita hanya berharap kepada Allah dari gangguan sesiapa sahaja.
Kita hanya mengagungkan Allah atas segala-galanya. Maka jika terdetik di dalam hati kami mengagumi dunia ini, maka kami akan cepat-cepat mengatakan, Subhanallah, Maha suci Allah. Oleh kerana itu, kami hanya mengagungkan Allah dalam setiap tindakan kami.

Moga-moga tulisan ini bermanfaat kepada kita semua.

Wallahua'lam.


- anda boleh rujuk web site syirik seperti di bawah- Saksikanlah kesesatan mereka.

1. http://aurailahi.com/index5.htm
2. www.ilmubatin.com


-kami mengetahui yang batil bukanlah untuk diamalkan, tetapi untuk mengenalnya supaya dapat menjauhi darinya-




Pakar Matematik

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 3:09 PTG 4 komen

Oleh A.Humaizi

Pada 24 April lepas yakni hari Jumaat, saya dan sahabat saya si Nazri pulang ke Perak. Saya pulang ke Lumut, rumah keluarga tersayang, manakala si Nazri pula pulang ke rumah ibu angkatnya di Tronoh.

Semasa berjalan di Hentian Pudu Raya menuju platform 3, saya ternampak seorang pakcik berjubah dengan membawa troli yang penuh dengan kertas-kertas kajian matematiknya. Pada baju pakcik tersebut, tertampal kertas bertulis "Me Layu kan Matematik" dengan dihiasi daun-daun yang layu di sekeliling kertas tersebut.



Dalam hati saya terdetik, "Haa pakcik ni!", Kemudian saya berkata kepada Nazri, "Dia la pakcik yang mengaku 'Ketua Saintis Dunia'.

Kemudian, saya pun mencabar Nazri untuk tegur pakcik berkenaan dan bertanya dia tentang hal-hal matematik. Tapi Nazri tak yakin, sebab gaya pakcik tersebut seakan-akan orang yang 'tak betul'.

Disebabkan kali ini sudah 3 kali saya bertemu dengan pakcik ini, maka saya tahu, apa yang special pada pakcik ini. Lalu, saya pun menegur pakcik ini lalu meminta beliau menunjukkan formula matematiknya kepada si Nazri.

Boleh kata, semua orang asyik memandang kepada kami disebabkan kami bercakap dengan 'orang gila'. Tapi kami minta juga pakcik tersebut bercerita tentang konsep matematiknya. Semasa pakcik tersebut memberi 'kuliah'nya, tiba-tiba semakin ramai orang mengerumuni kami. Waa, rupanya ramai yang berminat dengan penjelasan matematik pakcik ni.

Satu demi satu konsep matematiknya diperjelaskan kepada kami. Yang menariknya, pakcik tersebut mengolah cara fikir menggunakan otak kanan untuk mengira. Kebiasaannya, orang akan menggunakan otak kiri untuk berfikir. Maka disebabkan itu, cara fikir matematik pakcik tersebut nampak kreatif dan tak terfikir oleh orang biasa.

Nazri yang pada mulanya tak percaya dengan 'Ketua Sains Dunia' tersebut akhirnya beriya-riya nak bertanya lebih kepada pakcik berkenaan. Haa baru dia tahu kelebihan pakcik berkenaan.

Di akhir-akhir perbincangan kami, saya ada bertanya kepada pakcik berkenaan, 'kenapa pakcik buat kerja-kerja macam ni, orang nampak pakcik macam orang gila'.

Pakcik tersebut sebenarnya ingin mencabar orang-orang di sekelilingnya supaya bertanya kepadanya tentang hal matematik. Beliau mahukan orang-orang yang bergelar 'profesor' mencabar beliau menunjukkan formula matematiknya. Waa sungguh besar jiwa pakcik ini.

Jika para pembaca biasa membaca buku Mastika, memang pakcik ini pernah ditulis ceritanya di dalam buku tersebut.

Insya-Allah, sesiapa yang ingin tahu apakah formula sifir yang di ajar oleh pakcik berkenaan, bolehlah bertanya kepada saya atau Nazri. :) . dan sekiranya anda bertemu dengan beliau, janganlah malu-malu untuk bertanya, silakan mendekati golongan seperti ini. Boleh jadi orang seperti ini kelihatan seperti orang gila, tetapi terdapat kelebihan yang Allah hendak berikan kepadanya.

Wallahua'lam. Semoga pakcik tersebut terus berfikir dan diberi oleh Allah kekuatan dan kesihatan fizikal dan mental. Amin.

Rindu Buat Sahabat

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:37 PG 0 komen


Oleh A.Humaizi



Sahabat,
Kami merindui sahabat yang mengingatkan kami kepada Allah,
Nasihatnya penuh hikmah,
Segalanya menceritakan hal iman dan taqwa kepada Allah,

Oh sahabat,
Bila lagi agaknya mahu ku temui,
Sahabat yang manis rupanya,
Akibat dari bersihnya wajah dan jiwanya,
Senyumannya penyejuk jiwa,
Kata-katanya menenangkan hati dan telinga yang mendengar,

Wahai insan pecinta Allah,
Bila lagi kami akan bersamamu,
Kerna jiwa bergelora menanti kehadiranmu,
Besamamu umpama berada dalam majlis ahli syurga,
Ilmu bertambah, iman meningkat.
Dek kerana kata-kata yang mulia,
Disertai redha Allah semata,

Ya Allah,
Tidak tahu betapa rindunya jiwa ini kepada sahabat yang mulia,
Hanya Engkau sahaja yang dapat memberikan kami sahabat yang mulia,
Semoga Engkau kurniakan kami, walaupun seorang.
Agar tenang jiwa ini bersamanya,
Kerana puas berkasih sayang dalam mencintaiMu,


Ya Tuhan,
Kurniakan kami sahabat yang mencintaiMu,
Yang bila bersama, sering mengingatkan kami kepadaMu,
Yang bila berpisah, tak putus berdoa kepada Mu,

Oh Indahnya ukhwah,
Di bina atas pimpinan iman dan taqwa,
Moga beroleh sejahtera,
Dari Allah hendaknya.


Nukilan:
Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha
Universiti Teknologi PETRONAS.
16 Sept 2008
12.00am.

Selamat Hari Lahir !

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 10:29 PG 1 komen



Humaizi, umurmu masih muda sebenarnya,
badanmu masih kuat dan berupaya,
Akalmu masih cerdas dan kuat,
Kesihatanmu masih baik dan sempurna,

Gunakan waktu mudamu untuk kebaikan, sebelum datang waktu tuamu yang banyak kekurangan. Ketahuilah, betapa ramai orang tua yang menyesal kerana waktu mudanya tidak pernah diisi dengan kekuatan dan kebajikan. Dahulunya mereka tidak pernah mengisi diri mereka dengan ilmu dan melakukan kebajikan.


Humaizi,
Pedulikan orang-orang yang menyatakan waktu muda itu waktu untuk bersuka ria!
Ketahuilah, mereka itu bakal menjadi orang yang menyesal di waktu tuanya! Semoga kita insaf dengan hakikat hidup ini. Semoga kau berjaya.

Semoga nasihat ini berguna untuk dirimu dan diriku.



Abu Bakr Al-Humaidi.
Shazu Engineering Sdn Bhd.
Shah Alam.

Buruknya Perangai Orang Politik

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:06 PG 0 komen


Oleh A.Humaizi

Jika anda seorang peniaga, sudah tentulah anda akan menjaga hati budi pelanggan agar jualan produk anda terus laris dan pelanggan-pelanggan tidak lari dari anda. Takut rasanya di hati untuk mengguris perasaan pelanggan kerana kesannya bakal membangkrapkan perniagaan anda. Terkadang anda terpaksa berpura-pura jujur di hadapan pelanggan anda semata-mata untuk menjaga hati budi mereka. Prinsip sebegini biasa diamalkan oleh para peniaga sehingga lahirlah prinsip dalam berniaga yang berbunyi "Pelanggan Sentiasa Betul!".

Begitulah jua sikap orang-orang yang berkepentingan lainnya di atas dunia ini, mereka akan buat apa sahaja tindakan semata-mata untuk mencapai matlamat kepentingan mereka.

Orang politik? Samalah juga. Kerana mereka mempunyai kepentingan untuk berkuasa. Sebab dalam coretan ni, saya hendak memperkatakan sikap orang politik yang sering kita lihat di kaca tv, di dalam surat khabar mahupun di dalam media-media lainnya.

Mari kita lihat sikap orang politik.

Pihak A

Dulu dia cakap lain, sekarang dia cakap lain.
Dulu dia cakap haram, sekarang dia cakap halal.
Dulu dia hina orang-orang tententu kerana berbeza parti, tetapi sekarang dia puji orang yang sama kerana orang itu dah keluar parti lawannya.
Dulu dia cakap tak boleh sekongkol dengan orang kafir, tapi sekarang boleh.

Cuba anda lihat 5 tahun dari sekarang, apa pula perangai mereka, mungkinkah mereka akan berubah lagi? Ah! Orang politik sentiasa suka berdalih semata-mata mahu cari sokongan. Saya tidak nafikan niat sesetengah orang politik betul. Tetapi saya mempertikaikan cara dan sikap mereka dalam bertindak.

Pihak B

Dulu kerana agama, bangsa dan negara,
Tetapi sekarang agama entah ke mana, bangsa entah ke mana, negara pun sama,
Manakan tidak, nak kata beragama, program yg merosakkan agama banyak pula diluluskan, nak kata bangsa, nilai-nilai melayunya makin lama makin terhakis, yang makin tertonjol nilai-nilai kebaratan sahaja, negara? Wallahua'lam.

Projek, bila nak berkempen janji itu dan ini. Bila menang senyap saja. Bila nak pilihan raya yang baru, baru datang projek-projek baru, satu juta untuk penduduk A, dua juta untuk penduduk B, dan berjuta-juta lemon untuk penduduk C, ah! Apakah ini semua?

Siapa nak projek mari sokong saya.
Siapa tak sokong saya, kamu tak dapat projek.

Kalau saya menang, saya tak mahu tolong parti lawan saya, supaya orang nampak parti lawan saya itu lemah.

Ahh! Apakah ini semua? Orang politik...! Hodohnya perangai orang politik!

Wahai orang politik!
Aku selalu lihat, bila kau sudah menjadi pemimpin, kau dapat himpunkan kekayaan, sedangkan rakyatmu masih ada yang tidak makan!

Wahai orang politik!
Kerana hendak menarik sokongan orang ramai, kadang-kadang kau terpaksa berdolak-dalih di depan mereka!

Wahai orang politik!
Kerana hendak menarik sokongan orang ramai, kadang-kadang kau terpaksa berdusta!

Wahai orang politik!
Kerana hendak menarik orang ramai, kadang-kadang kau halalkan yang haram!

Wahai orang politik!
Cukuplah dengan lakonanmu! Aku semakin meluat dengan orang politik dan demokrasi yang kotor!

Wahai orang politik..!
Aku impikan kesatuan umat ini, kerana aku tidak mahu Perang Siffin berulang lagi, aku tidak mahu perang antara umat seakidah ini berulang kembali! Sedangkan orang-orang yang nyata kekafirannya bertepuk tangan kegembiraan melihat percakaran kita.

Wahai orang politik...!
Sudah lama kau ketahui, sistem demokrasi ini adalah ciptaan manusia yang tiada ketetapan khusus untuk diikuti.
Masing-masing di antara kamu menetapkan prinsip demokrasi masing-masing!
Maka disebabkan itu aku melihat, demokrasi sering memecah belahkan umat ini menjadi kelompok-kelompok kecil yang saling merebut kuasa.
Akhirnya umat Islam menjadi lemah dan bercerai berai!

Wahai orang politik!
Ketahuilah! Kesatuan itu hanya dicapai dengan kembalinya semua urusan kepada Allah dan Rasul.
Kesatuan itu dengan menyatukan umat di atas tauhid kepada Allah.
Kesatuan itu adalah dengan aqidah yang benar.
Dan ketahuilah!
Salah satu dari tuntutan aqidah itu adalah menggunakan hukum Allah di atas muka bumi!
Dan salah satu lagi adalah taat kepada pemerintah selagi tidak melanggar syarak dan tidak memerangi mereka selagi mereka menunaikan solat dan tidak kufur secara terang-terangan walaupun mereka seorang yang zalim!

Ini bukanlah kenyataan mengampu ataupun membela mana-mana pihak! Tidak kiralah siapapun yg menang sebagai pemerintah! Tetapi yang memerintah mesti kembali kepada Allah dan Rasul, dan yang menjadi rakyat pula, mesti meletakkankan ketaatan kepada pemerintah selagi tidak melanggar ketetapan Allah dan Rasul.

Wahai orang yang menang dalam pilihan raya! Berilah hak rakyat-rakyatmu!
Wahai rakyat! Berikan pula hak pemimpin-pemimpinmu yang menang dalam pilihan raya!

Pemimpin yang baik datang dari rakyat yang baik.
Pemimpin yang jahat, datangnya dari rakyat yang jahat juga.

Semoga kita menjadi orang yang soleh dan solehah dan bakal melahirkan generasi yang baik seterusnya menghasilkan pemimpin yang baik pula.

Wallahua'lam. Semoga bermanfaat.

Abu Bakr Al-Humaidi.
Kuala Lumpur.

Aku Ingin Berubah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 6:17 PTG 0 komen



Oleh A.Humaizi


Terfikir sejenak, betapa diri ini selalu sangat lupa dek kerana leka dengan dunia dan nafsu. Walaupun telah dikurniakan ilmu oleh Allah swt dan diri mampu menilai baik dan buruknya dunia ini, tetapi diri tetap begitu malah makin kecundang dihayut gelombang duniawi. Begitulah manusia, terkadang jiwanya meluak-luak ingin kembali kepada fitrah, tetapi dirinya tetap memilih jalan kegelapan.

Ya, aku ingin berubah dan kembali kepada jalan yang benar! Aku ingin kembali sujud dan menghina diri kepada Tuhanku. Tetapi mengapa aku gagal mencapai keinginginan ku?

Bila terdengar peringatan-peringatan agama, hati tersentuh dan menggeletar. Terasa diri ingin kembali kepada fitrah yang sebenar. Mata dikunci dari kemaksiatan, mulut ditutup rapat dari kata yang sia-sia, kemaluan ditahan dari kejahatannya, tangan dan kaki pula digari dari melakukan fitnahnya. Ah, rupanya ianya bertahan seketika. Kelak selepas itu, ia kembali seperti biasa. Tetapi hati tetap meronta-ronta ingin kembali kepada jalan agama.

Dalam kekusutan memikirkan diri yang ingin, tetapi tidak mampu, terasa gundah di hati dan terasa serabut difikiran. Bagaimanakah diri ini mampu kembali kepada fitrah?

Teringat aku akan ayat Quran yang bermaksud;

"Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki"

Ternyata, jiwa manusia ini akan sedih dengan ayat ini. Mengapa? Kerana jiwanya terasa belum diberi petunjuk oleh Allah swt.

Teringat lagi akan hadis Qudsi yang bermaksud;

" Wahai hamba-hambaKu ! Kamu sekelian sesat, kecuali siapa yang telah Aku berikan hidayah kepadanya. Maka hendaklah kamu minta hidayah daripadaKu, nescaya Aku akan memberi hidayah itu kepadamu" - (Hadis 40 oleh Imam An-Nawawi)

Bila teringat hadis ini, jiwa manusia kembali bersinar dengan harapan baru. Rupa-rupanya manusia tidak meminta supaya diberikan hidayah kepadanya.

Maka dia pun berdoa dalam jiwanya
,
"Ya Allah, setelah Kau beri ilmu kepadaku, ternyata ilmu ini tidak banyak memberi manfaat kepada diriku, malah terkadang aku ini seperti manusia yang tidak diberi ilmu dan tidak diberi petunjuk. Ya Allah, Engkaulah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, maka kurniakan aku petunjuk kepada jalanMu, Ya Allah! Kurniakanlah aku kekuatan untuk melaksanakan syariatMu. Sesungguhnya, segala kekuatan adalah milikMu Ya Allah"

Ternyata, doa itulah senjata orang-orang mukmin. Doa telah membangkitkan keyakinan dan semangat orang mukmin untuk meneruskan kehidupan dengan syariat Allah. Dengan doalah, orang-orang mukmin tidak putus harapan kepada Allah swt.

Benarlah apa yang dijanjikan oleh Allah,

"Berdoalah, nescaya akan Ku kabulkan permintaanmu".

Semoga bermanfaat.