Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?
Pernah sekali di kampus, saya membawa buku Kitab Fikih Mazhab Syafie ke Masjid di kampus saya untuk berbincang dengan Ustaz tentang suatu permasalahan agama kerana saya mempunyai beberapa kekeliruan semasa membaca kitab berkenaan. Semasa sesi perbincangan, ada beberapa orang jemaah masjid yang sama-sama mengikuti sesi perbincangan bersama Ustaz. Di akhir sesi perbincangan tersebut, seorang senior membelek-belek buku berkenaan lalu menasihati saya supaya berguru jika mahu membaca kitab-kitab fikih. Saya hanya tersenyum bila mendengar nasihatnya sambil timbul dalam benak fikiran saya beberapa persoalan untuk menjawab semula nasihatnya seolah-olah tidak boleh membaca kitab fikih secara sendirian.
Saya pernah juga berhujah dengan seorang senior saya di dalam email mengenai hal-hal berkaitan wajibnya mentaati pemerintah walaupun mereka zalim (iaitu dalam hal-hal yang ma’ruf). Dalam perbincangan tersebut banyak juga dalil yang saya kemukakan.Sebenarnya bukan semua dalil saya hafal, saya hanya copy dan paste dari internet dan sempat merujuk buku-buku yang ada di hadapan saya semasa itu sebagai bahan hujah saya. Yang sangat menggelikan hati saya adalah, dalam sesi berhujah itu, senior saya ada mengugut saya dengan perkataan “kuarantin” dari jemaah/organisasi kerana selalu memberi pendapat yang berbeza dengan sebahagian ahli-ahli organisasi. Akhir dari sesi perbincangan tersebut, senior saya memberi amaran kepada saya sekali lagi dengan satu ungkapan yang katanya merupakan hadis Nabi saw (padahal ianya bukan hadis), katanya “Barangsiapa yang berguru dengan buku, ia ibarat berguru dengan syaitan”.
Saya begitu terkejut dengan perkataan beliau yang menyatakan ayat tersebut adalah hadis nabi, lalu saya terus search di internet dan mendapat beberapa artikel berkenaan ungkapan berkenaan. Ternyata, ianya bukanlah perkataan Nabi mahupun perkataan sahabat Nabi saw. Lalu saya pun memberi amaran kepada beliau dengan hadis Nabi saw yang bermaksud “Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka” (HR Bukhari dan Muslim). Selepas dari posting tersebut, senior saya terus tidak membalas email saya. Moga-moga dia mengambil pelajaran betapa bahayanya mencipta hadis palsu dan perlunya berhati-hati menukilkan kata-kata Nabi saw.
Buku Karangan Manusia Vs Quran Al-Karim
Ternyata, jika kita membezakan darjat buku-buku yang dikarang oleh manusia biasa (termasuklah para ulama), maka ianya tidaklah boleh menandingi darjat Kitab Al-Quran yang merupakan perkataan-perkataan Allah. Tetapi, ternyata Nabi saw menyarankan kita supaya membaca Al-Quran seperti sabdanya;
“Dari Abu Umamah r.a dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (HR Muslim).
Malah, Nabi saw menyarankan para sahabatnya supaya membaca al-Quran walaupun masih merangkak-rangkak seperti dalam sabdaannya yang bermaksud;
“Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dalam membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia lagi sangat taat. Sedangkan yang membaca al-Quran dengan bertatih-tatih dan bacaan itu terasa sulit baginya mendapat dua pahala” (HR Bukhari dan Muslim)
Sudah pastilah yang mendapatkan kebaikan dari pembacaan Quran itu mestilah memahami isi kandungan Quran dan mengamalkan ajarannya. Dan yang dimaksudkan mendapat dua pahala itu adalah pahala membaca Quran dan satu lagi pahala belajar membaca al-Quran. Wallahua’lam.
Maka di sini jelas, Quran yang sangat tinggi darjatnya pun dituntut untuk dibaca sendiri-sendiri sebagai sumber peringatan, inikan pula buku-buku karangan manusia yang berlambak di atas muka bumi ini. Maka boleh jugalah dibaca untuk mendapatkan peringatan dan ilmu-ilmu yang lain.
Bertanya Kepada Ahli Ilmu Jika Tidak Tahu
Allah swt mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah swt menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;
“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)
Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.
Anjuran Berkata “Allah lebih mengetahui” (Allahu A’lam)
Salah satu dari tuntutan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah mengatakan “Allah lebih mengetahui” dalam perkara-perkara yang tidak jelas kepada kita. Inilah tuntutan disiplin ilmu dalam Islam. Kita hanya boleh berkata dalam ruang lingkup yang kita tahu sahaja, sebaliknya jika kita tidak tahu hendaklah kita mengatakan Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui) dan berdiam diri dari menambah-nambah perkara yang dia tidak tahu.
Pernah sekali Imam Malik r.h didatangi oleh seorang lelaki untuk bertanya kepadanya tentang empat puluh persoalan. Akan tetapi beliau hanya menjawab empat daripada empat puluh persoalan tersebut. Selebihnya beliau menyatakan “Saya tidak tahu”. Sehingga lelaki yang bertanya itu mengatakan, “Saya datang dari negeri yang jauh dengan tungganganku dan anda hanya mengatakan ‘Saya tidak tahu’
Imam Malik lalu berkata “Naikilah tungganganmu, dan kembalilah ke negeri asalmu dan katakanlah “Saya telah bertanya kepada Malik, dan dia hanya mengatakan “Saya tidak tahu”.
Demikian juga Nabi saw, apabila ditanya sesuatu yang belum diturunkan wahyu kepadanya, beliau akan menunggu sehingga ada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepadanya.
Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pedengaran, penglihatan dan hati semua itu akan diminta petanggungajawabannya” (Al-Isra’ :36)
Penutup
Oleh itu, kepada para pembaca. Marilah kita menuntut ilmu terutamanya ilmu berkaitan dengan agama. Yang dikatakan agama itu adalah al-Quran dan As-Sunnah.
Sumber mendapatkan ilmu itu ada pelbagai. Melalui kuliah agama di masjid secara bertalaqi, mendengar mp3 taupun rakaman video, malah melalui pembacaan. Semua memberi manfaat kepada kita semua.
Usah takut untuk membaca, kerana membaca itu adalah kunci ilmu. Kejayaan sesuatu tamadun adalah kerana tingginya budaya membaca dalam masyarakatnya. Yang penting, kita mestilah mengikuti adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.
Usahlah percaya dengan slogan-slogan orang yang lemah fikirannya. Mereka melarang manusia membaca kitab-kitab agama dengan alasan “Berguru dengan buku ibarat berguru dengan syaitan”. Dari perbuatan mereka ini, ternyata mereka mengharamkan apa yang tidak diharamkan oleh Allah. Semoga Allah mengampuni kesilapan kita semua atas kejahilan kita yang terdahulu.
Semoga bermanfaat.
Wallahua’lam.
Sumber:
1. Penjelasan Ringkas Matan Akidah At-Thahawiyah, Akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Syaikh Salih bin Fauzan, ms 269. Pustaka Asy-Syifa, Indonesia.
2. Riadus Solihin, Imam Nawawi, Bab Keutamaan Membaca Al-Quran, ms 211.
http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=405:belajar-tanpa-guru-umpama-belajar-dengan-syaitan&catid=77:al-azhar&Itemid=85
semua ilmu itu drp Allah baik drp buku mahupun internet...internet pun hasil drp ilmu Allah kasi...jd menolak yg berguru dgn buku tak dibenarkan..