Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Maksud Sunnah itu Bukan Sunat Sahaja

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 8:25 PG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Terdapat segelintir umat Islam yang hanya memahami perkataan Sunnah mengikut satu aspek sahaja, lalu mereka membawa satu pemikiran yang salah terhadap kata-kata sunnah itu sendiri. Malah, mereka kadang-kadang merendah-rendahkan golongan yang berbicara berkaitan sunnah mengikut pengertian yang lain. Sikap seperti ini hanya menunjukkan kejahilan mereka berkaitan definisi sunnah itu sendiri. Berikut disajikan beberapa pengertian sunnah yang sering digunakan dalam bidang keilmuan Islam yang dipetik dari tulisan ulama terkenal zaman ini iaitu Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Selamat membaca.

Pembahagian Sunnah [1]

Sunnah dari sudut bahasa

Sunnah secara bahasa bermakna;

perilaku yang dilakukan, baik cara yang terpuji mahupun yang tercela

Oleh itu, terdapat sunnah yang baik dan ada juga sunnah yang buruk seperti yang diungkapkan oleh sebuah hadis sahih yang bermaksud,

Barangsiapa yang membiasakan sesuatu sunnah yang baik (disebutkan perkataan sunnatan hasanah dlm matan arab) dalam Islam, dia akan mendapatkan pahala dari perbuatannya itu dan pahala dari perbuatan orang yang mengikuti kebiasaan baik itu setelahnya dengan pahala yang sama sekali tidak lebih dari pahala orang-orang yang mengikuti melakukan perbuatan baik itu. Sementara, barangsiapa yang mebiasakan suatu perbuatan buruk dalam Islam (disebutkan sunnatan saiyyiah di dalam matan Arab) ia akan mendapatkan dosa atas perbuatannya itu dan dosa dari perbuatan orang yang melakukan keburukan yang sama setelahnya dengan dosa yang sama sekali tidak lebih kecil dari dosa-dosa yang ditimpakan bagi orang-orang yang mengikui perbuatannya itu” (HR Muslim)

Kata ‘sunnah’ yang dipergunakan oleh hadis tadi adalah kata sunnah dengan pengertian bahasa. Maksudnya, siapa yang membuat perilaku tertentu dalam kebaikan atau kejahatan, atau siapa yang membuat kebiasaan yang baik dan yang membuat kebiasaan yang buruk. Orang yang membuat kebiasaan yang baik akan mendapatkan pahala dari perbuatannya itu dan dari perbuatan orang yang mengikuti perbuatannya dan orang yang membuat kebiasaan buruk maka ia akan mendapatkan dosa dari perbuatannya itu dan dari perbuatan orang-orang yang mengikutinya hingga hari kiamat.

Pengertian dari sudut syariat

Dari segi terminologi syariat, Sunnah mempunyai lebih dari satu makna;

1. Makna di dalam bidang fiqh membawa maksud ‘salah satu hukum syariat’ atau kata lawan dari fardhu dan wajib. Ia bermakna sesuatu yang dianjurkan dan didorong untuk dikerjakan. Ia adalah sesuatu yang diperintahkan untuk dikerjakan namun dengan perintah yang tidak kuat dan tidak pasti. Sehingga orang yang mengerjakannya akan mendapatkan pahala dan orang yang tidak mengerjakannya tidak mendapatkan dosa kecuali orang itu menolaknya dan sebagainya. Dalam pengertian ini, dapat dikatakan bahawa solat dua rakaat sebelum subuh adalah sunnah, sementara solat subuh itu sendiri adalah fardhu. (Dalam lain perkataan dalam umat Melayu adalah sunat – pent)

2. Pengertian dalam bidang usul fiqh pula adalah apa yang diriwayatkan dari Nabi saw, berupa ucapan, perbuatan atau persetujuan. Ia dalam pandangan ulama usul adalah sebagai sumber syariat. Oleh kerana itu, ia bergandingan dengan al-Quran. Misalnya ada redaksi ulama yang mengatakan tentang hukum sesuatu, masalah ini telah ditetapkan hukumnya oleh al-Quran dan Sunnah. (Sunnah di sini sama maksudnya dengan Hadis –Pent)

3. Sementara bagi ahli hadis menambah definisi lain tentang sunnah. Mereka mengatakan bahawa sunnah adalah apa yang dinisbatkan kepada Nabi saw berupa ucapan, perbuatan, persetujuan atau sifat-sifat Nabi saw berupa bentuk fizikal mahupun akhlak ataupun sirah Baginda saw.

4. Ada juga makna yang lain yang menjadi perhatian ulama iaitu sunnah dengan pengertian kata lawan bagi bid’ah. Atau apa yang disunnahkan dan disyariatkan oleh Rasulullah saw bagi umatnya lawan bagi apa yang dibuat-buat oleh para pembuat bid’ah setelah masa Rasulullah saw. Sunnah seperti inilah yang dimaksudkan oleh hadis riwayat Irbadh Bin Sariah yang bermaksud;

orang yang hidup setelahku nanti akan melihat banyak perbezaan pendapat (di kalangan umat). Dalam keadaan seperti itu, hendaklah kalian berpegang pada Sunnahku dan Sunnah Khulafa Ar-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk. Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu dan janganlah kalian mengikuti hal-hal bid’ah, kerana setiap bid’ah adalah sesat– (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya. Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih).

Penutup

Dari pengertian yang pelbagai untuk perkataan sunnah itu sendiri, maka umat Islam perlu bijak meneliti sesuatu perbicaraan mengenai sunnah. Anda perlulah mengenal pasti sesuatu perbicaan berkaitan sunnah mengikut pengertian-pengetian yang dijelaskan seperti di atas.

Memahami Sunnah hanya dari sudut satu pengertian sahaja akan mencemarkan disiplin-disiplin ilmu Islam. Orang-orang yang berbicara mengikut kefahaman yang sempit terhadap sunnah terkadang mereka merendah-rendahkan golongan yang berbicara sunnah mengikut pengertian lain, sikap seperti ini menunjukkan kejahilan seseorang terhadap maksud sunnah Nabi saw dalam ilmu syarak. Oleh kerana itu, kenal pastilah apa yang dibicarakan oleh seseorang mengenai sunnah Nabi saw supaya anda tidak dipesongkan dengan kefahaman yang salah.

Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan membicarakan;

a. Apa itu bid’ah?

b. Apa yang dimaksudkan bid’ah oleh Nabi saw?

c. Apa pula bid’ah hasanah dan bid’ah dholalah yang dimaksudkan oleh ulama Syafieyah?

Semoga saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis dan menyebarkan ilmu-ilmuNya.

Semoga bermanfaat.


[1] M/s 9 – 13 ,Sunnah & Bid’ah, Dr Yusuf Qaradhawi, Gema Insani , Jakarta, 2000.

Categories:

0 Response for the "Maksud Sunnah itu Bukan Sunat Sahaja"