Oleh A.Humaizi
Jika anda seorang peniaga, sudah tentulah anda akan menjaga hati budi pelanggan agar jualan produk anda terus laris dan pelanggan-pelanggan tidak lari dari anda. Takut rasanya di hati untuk mengguris perasaan pelanggan kerana kesannya bakal membangkrapkan perniagaan anda. Terkadang anda terpaksa berpura-pura jujur di hadapan pelanggan anda semata-mata untuk menjaga hati budi mereka. Prinsip sebegini biasa diamalkan oleh para peniaga sehingga lahirlah prinsip dalam berniaga yang berbunyi "Pelanggan Sentiasa Betul!".
Begitulah jua sikap orang-orang yang berkepentingan lainnya di atas dunia ini, mereka akan buat apa sahaja tindakan semata-mata untuk mencapai matlamat kepentingan mereka.
Orang politik? Samalah juga. Kerana mereka mempunyai kepentingan untuk berkuasa. Sebab dalam coretan ni, saya hendak memperkatakan sikap orang politik yang sering kita lihat di kaca tv, di dalam surat khabar mahupun di dalam media-media lainnya.
Mari kita lihat sikap orang politik.
Pihak A
Dulu dia cakap lain, sekarang dia cakap lain.
Dulu dia cakap haram, sekarang dia cakap halal.
Dulu dia hina orang-orang tententu kerana berbeza parti, tetapi sekarang dia puji orang yang sama kerana orang itu dah keluar parti lawannya.
Dulu dia cakap tak boleh sekongkol dengan orang kafir, tapi sekarang boleh.
Cuba anda lihat 5 tahun dari sekarang, apa pula perangai mereka, mungkinkah mereka akan berubah lagi? Ah! Orang politik sentiasa suka berdalih semata-mata mahu cari sokongan. Saya tidak nafikan niat sesetengah orang politik betul. Tetapi saya mempertikaikan cara dan sikap mereka dalam bertindak.
Pihak B
Dulu kerana agama, bangsa dan negara,
Tetapi sekarang agama entah ke mana, bangsa entah ke mana, negara pun sama,
Manakan tidak, nak kata beragama, program yg merosakkan agama banyak pula diluluskan, nak kata bangsa, nilai-nilai melayunya makin lama makin terhakis, yang makin tertonjol nilai-nilai kebaratan sahaja, negara? Wallahua'lam.
Projek, bila nak berkempen janji itu dan ini. Bila menang senyap saja. Bila nak pilihan raya yang baru, baru datang projek-projek baru, satu juta untuk penduduk A, dua juta untuk penduduk B, dan berjuta-juta lemon untuk penduduk C, ah! Apakah ini semua?
Siapa nak projek mari sokong saya.
Siapa tak sokong saya, kamu tak dapat projek.
Kalau saya menang, saya tak mahu tolong parti lawan saya, supaya orang nampak parti lawan saya itu lemah.
Ahh! Apakah ini semua? Orang politik...! Hodohnya perangai orang politik!
Wahai orang politik!
Aku selalu lihat, bila kau sudah menjadi pemimpin, kau dapat himpunkan kekayaan, sedangkan rakyatmu masih ada yang tidak makan!
Wahai orang politik!
Kerana hendak menarik sokongan orang ramai, kadang-kadang kau terpaksa berdolak-dalih di depan mereka!
Wahai orang politik!
Kerana hendak menarik sokongan orang ramai, kadang-kadang kau terpaksa berdusta!
Wahai orang politik!
Kerana hendak menarik orang ramai, kadang-kadang kau halalkan yang haram!
Wahai orang politik!
Cukuplah dengan lakonanmu! Aku semakin meluat dengan orang politik dan demokrasi yang kotor!
Wahai orang politik..!
Aku impikan kesatuan umat ini, kerana aku tidak mahu Perang Siffin berulang lagi, aku tidak mahu perang antara umat seakidah ini berulang kembali! Sedangkan orang-orang yang nyata kekafirannya bertepuk tangan kegembiraan melihat percakaran kita.
Wahai orang politik...!
Sudah lama kau ketahui, sistem demokrasi ini adalah ciptaan manusia yang tiada ketetapan khusus untuk diikuti.
Masing-masing di antara kamu menetapkan prinsip demokrasi masing-masing!
Maka disebabkan itu aku melihat, demokrasi sering memecah belahkan umat ini menjadi kelompok-kelompok kecil yang saling merebut kuasa.
Akhirnya umat Islam menjadi lemah dan bercerai berai!
Wahai orang politik!
Ketahuilah! Kesatuan itu hanya dicapai dengan kembalinya semua urusan kepada Allah dan Rasul.
Kesatuan itu dengan menyatukan umat di atas tauhid kepada Allah.
Kesatuan itu adalah dengan aqidah yang benar.
Dan ketahuilah!
Salah satu dari tuntutan aqidah itu adalah menggunakan hukum Allah di atas muka bumi!
Dan salah satu lagi adalah taat kepada pemerintah selagi tidak melanggar syarak dan tidak memerangi mereka selagi mereka menunaikan solat dan tidak kufur secara terang-terangan walaupun mereka seorang yang zalim!
Ini bukanlah kenyataan mengampu ataupun membela mana-mana pihak! Tidak kiralah siapapun yg menang sebagai pemerintah! Tetapi yang memerintah mesti kembali kepada Allah dan Rasul, dan yang menjadi rakyat pula, mesti meletakkankan ketaatan kepada pemerintah selagi tidak melanggar ketetapan Allah dan Rasul.
Wahai orang yang menang dalam pilihan raya! Berilah hak rakyat-rakyatmu!
Wahai rakyat! Berikan pula hak pemimpin-pemimpinmu yang menang dalam pilihan raya!
Pemimpin yang baik datang dari rakyat yang baik.
Pemimpin yang jahat, datangnya dari rakyat yang jahat juga.
Semoga kita menjadi orang yang soleh dan solehah dan bakal melahirkan generasi yang baik seterusnya menghasilkan pemimpin yang baik pula.
Wallahua'lam. Semoga bermanfaat.
Abu Bakr Al-Humaidi.
Kuala Lumpur.
Rumah Tangga Tidak Mesti dengan Cinta
10 jam yang lalu
0 Response for the "Buruknya Perangai Orang Politik"
Catat Ulasan