Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

"Sahaja Aku.." Adakah Ianya Niat?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 5:46 PTG 3 komen



Oleh A.Humaizi

Sejak dari kecil, kita telah diajar untuk memulakan sesuatu amalan dengan niat. Dan kita juga ketahui, tidak sah sesuatu amalan tanpa niat. Maka guru-guru kita terdahulu (semoga Allah merahmati mereka) pun menyuruh kita supaya menghafal bait-bait niat seperti niat wuduk, solat, puasa dan sebagainya. Oleh kerana sesuatu amalan itu tidak diterima kerana tiada niat, maka ramailah di kalangan umat Islam ketika ini melafazkan bait-bait niatnya sebelum melakukan ibadah.

Ada juga pandangan yang menyatakan niat itu di dalam hati, maka ada pula guru yang mengajar supaya di susun bait-bait niat tersebut di dalam hati. Maka disebabkan itulah terkadang kita melihat ramai di kalangan umat Islam yang susah mengangkat takbir ketika solat, alasannya niat tidak masuk di dalam hati. Dan lebih kesian lagi kepada orang yang ingin solat jamak Qasar. Niatnya sangat panjang, "Sahaja aku solat Zohor, dihimpunkan kepadanya Asar, dua rakaat, Qasar, tunai, kerana Allah taala". Begitu juga dengan niat solat jenazah, antaranya "Sahaja aku menyembahyangkan jenazah lelaki ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah taala".

Bait-bait niat seperti ini telah menyebabkan seseorang sukar untuk memulakan ibadahnya, kerana mereka salah faham terhadap konsep niat itu sendiri.

Salah Faham Terhadap Perkataan Imam Syafie

Sebahagian pengikut mazhab Syafie menyebutkan salah satu ucapan Imam Syafie, bahawa beliau menyebutkan perbezaan antara solat dan ihram iaitu solat dimulai dengan ucapan. Lalu sebahagian orang keliru dalam memahami apa yang diucapkan oleh Imam tersebut dan menyangka bahawa yang dimaksudkan oleh Iman tersebut adalah melafazkan niat, padahal yang dimaksudkan adalah TAKBIRATUL IHRAM (Tazkiyyatun Nafs, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, Darul Sunnah, Indonesia)

Niat Itu Adalah Kesengajaan

Niat itu mengikuti apa yang telah diketahui. Iaitu jika seseorang telah mengetahui apa yang hendak dilakukan, maka secara automatik ia telah berniat. Sebagai contoh, orang yang menyuapkan makanan ke mulutnya beerti dia mengetahui perilakunya untuk makan, maka dikala itu dia telah berniat untuk makan.

Seperti contoh lain, seseorang yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh, hakim akan menyatakan, "Kamu didapati bersalah kerana membunuh dengan niat". Walhal logiknya, seseorang pembunuh tidak akan melafazkan niatnya untuk membunuh. Mereka tidak akan berkata "Sahaja aku membunuh si fulan kerana aku membencinya" atau pun lafaz-lafaz yang lain. Tetapi perbuatan si pembunuh tersebut merupakan kesengajaannya untuk melakukan pembunuhan mangsa dengan cara-cara yang dia sedar dan tahu.

Seandainya manusia dibebani untuk melaksanakan pekerjaan tanpa niat, beerti mereka telah dibebani dengan sesuatu yang mereka tidak mampu melakukannya. Kerana jika seseorang mengerjakan suatu perbuatan baik atau buruk, maka ia semestinya telah terlebih dahulu mengetahuinya dalam hati, maka itulah niat. Jika seseorang telah mengetahui bahawa ia hendak solat, berpuasa, berwuduk dan sebagainya, maka dia telah berniat di dalam hatinya meskipun tidak mengucapkannya dengan lisan.

Pendapat-pendapat Para Ulama Dalam Hal Melafazkan Niat

Para ulama berbeza pendapat apakah disunnahkan melafazkan niat? Sekelompok pengikut mazhab Abu Hanifah, Asy-Syafie dan Ahmad berkata, "Hal itu disunnahkan agar lebih meyakinkan."

Sementara sekelompok pengikut mazhab Imam Malik dan Ahmad berkata, "Hal itu tidak disunnahkan, bahkan melafazkan niat adalah bid'ah". sebab tidak ada satupun hadis dan perkataan para sahabat dan tabi'en yang menjelaskan tentang keharusan melafazkan , baik dalam solat, bersuci dan puasa. Mereka berkata, "Kerana niat itu sudah ada bersama dengan adanya pengetahuan untuk melakukan hal tersebut. Melafazkannya merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja."

Niat itu terdapat dalam hati manusia, sementara ada orang yang berkeyakinan bahawa niat bukan terdapat di dalam hati, lalu ia hendak menghadirkannya dengan lisannya (dengan mengucapkannya). Sesungguhnya suatu upaya untuk mencapai sesuatu yang telah tercapai merupakan suatu hal yang sia-sia, maka dengan itu banyak manusia yang terjerumus ke dalam pelbagai was-was dan keraguan. (Ibnu Taimiyyah, Tazkiyatun Nafs)



Penutup

Kata Ibnu Qayyim r.h. "Niat ertinya menyengajakan dan bermaksud bersungguh-sungguh untuk melakukakn sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan. Dari itu, tidak pernah diberitakan dari Nabi SAW begitu jua dari para sahabat mengenai lafaz niat ini.

Dan ungkapan-ungkapan yang dibuat-buat dan diucapkan pada permulaan bersuci dan solat ini, telah dijadikan oleh syaitan sebagai arena pertarungan bagi orang-orang yang diliputi was-was, yang menahan mereka untuk menyempurnakannya. Maka, anda melihat masing-masing mereka mengulang-ulanginya dan bersusah-payah untuk melafazkannya pada hal demkian itu sama sekali tidak termasuk dalam upacara solat” (Dipetik dari Kitab Fikih Sunnah)

Maka tidak perlulah kita bersusah-susah untuk memasukkan niat di dalam hati sehingga was-was menyelebungi diri kita. Cukuplah sekadar anda mengetahui apakah yang hendak dilakukan iaitu kesengajaan melakukan amal, dan itulah niat anda.

Semoga bermanfaat.
Wallahua'lam.










Categories:

3 Response for the ""Sahaja Aku.." Adakah Ianya Niat?"

  1. Tanpa Nama says:

    haaa.. btulla..
    niat dlm hati jer..
    asalkn kte tau ape yg kte nak wat..
    kan? kan?

  2. :) .. ha'a.. jadi tak perlu la kita melafazkan niat sebelum solat atau niat2 yg lain. :)

  3. :) .. ha'a.. jadi tak perlu la kita melafazkan niat sebelum solat atau niat2 yg lain. :)