Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Dakwah Kepada Sunnah dan Menjauhi Bid'ah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 2:34 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Saya terbaca satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya dari Jabir Bin Abdillah r.a. dia berkata, 'Rasulullah saw apabila sedang berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya keras, serta amat sangat tampak kemerahannya sehingga seakan-akan sedang mengatur barisan tentera, baginda berkata;

"Ketahuilah oleh kalian dan ketahuilah.!!

Kemudian baginda melanjutkan

"Amma ba'du, sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan, dan setiap bid'ah adalah sesat"

(Pokok-pokok Dakwah Manhaj Salaf, m/s 132 - 133, Fawaz bin Hulail, Griya Ilmu, Indonesia)

Setelah saya baca hadis tersebut, timbul persoalan dalam minda saya,
"Apakah yang menyebabkan Rasulullah begitu tegas dalam menyampaikan khutbahnya sehinggakan digambarkan oleh sahabat seperti Nabi sedang mengaturkan barisan tentera?"

Rupanya, Nabi saw ingin menegaskan tentang tiga perkara penting yang tersebut di dalam hadis di atas.
1. Sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah
2. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad
3. Sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan, dan setiap bid'ah adalah sesat

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam kitab Sunnah dan Tirmidzi dalam kitab Ilmu, Nabi saw bersabda;

"Aku wasiatkan kepada kalian agar kalian bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat, sekalipun kepada seorang budak Habasyi. Sesungguhnya orang yang hidup dari kalian setelahku nanti akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu, berpegangteguhlah kalian terhadap sunnahku dan sunnah para khulafaur rasyiddin yang telah mendapat petunjuk dan bimbingan. Gigitlah ia dengan gigi geraham kalian serta waspadalah terhadap perkara-perkara yang diada-adakan. Sesungguhnya setiap perkara yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat"

Dan juga sabda Nabi Saw,

"Biarkan apa yang telah aku tinggalkan utk kalian. Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum kalian telah menjadi binasa disebabkan banyaknya pertanyaan mereka dan banyaknya penyelisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila sudah aku tinggalkan untuk kalian dengan sesuatu, maka lakukanlah menurut kemampuan kalian. Dan apabila sudah aku larang untuk kalian dengan sesuatu, maka tinggalkanlah! " (HR Muslim dan kitab Haji)

Dari hadis-hadis di atas jelaskan kepada kita bahawa suatu kemuliaan dan keselamatan adalah apabila kita mengikut sunnah dan kebinasaanlah bagi mereka yang menyalahi manhaj ini. Sesungguhnya para sahabat dan tabi'en sgt memperhatikan makna ini dan mereka selalu memberi anjuran untuk berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah saw dan memberi peringatan dari kebid'ahan-kebid'ahan.

Umar r.a. pernah berkata "Waspadalah kalian terhadap orang-orang yang mengikuti ra'yu-nya sebab mereka adalah musuh sunnah. Mereka itu telah diingatkan beberapa hadis agar berpegang kepada Sunnah, tetapi mereka malah berkata "kami ikuti rasional kami', sehingga mereka pun sesat dan menyesatkan" (Sunan Daruquthni dalam kitab Washaya)

Maka sewajibnya bagi para pendakwah yang ingin mengajak dan menggalakkan manusia untuk beribadat, mereka mestilah mengajak manusia tersebut beribadat mengikut cara nabi, bukan mengikut cara-cara ahlul bid'ah yang sesat.

Jika ada amalan-amalan harian nabi terdapat tokok tambah dari golongan-golongan tertentu, maka sewajibnya para pendakwah memberitahu cara yang sebetulnya beramal dengan sunnah nabi.

Wahai pendakwah, apabila ada dikalangan kalian mengajak manusia mendekati sunnah, maka sokonglah ia.

Memang tidak dinafikan dalam ibadat-ibadat fardi tertentu, para ulama ada memberi ruang untuk dilaksanakan secara berjemaah supaya dapat menggalakkan orang mengamalkannya. Seperti contoh;

1. Imam meninggikan suara ketika berzikir selepas solat tujuannya untuk mengajar makmum
2. Baca al-mathurat beramai-ramai
3. Qiamualiail secara berjemaah, dan lain-lain.

Tetapi seharusnya, para pendakwah mesti membiasakan mad'unya dengan sunnah nabi. Keringanan-keringanan yang dibuka oleh para ulama tersebut tidak bermakna ianya perlu diamalkan secara terus menerus. Kerana dikhuatiri ianya menjadi suatu yang bid'ah sebabnya cara amalan itu ditelah ditukar dari amalan yang dilakukan secara sendirian, dan diubah menjadi secara berjemaah.

Perlulah umat Islam sekalian mengetahui, sekiranya anda mengetahui tentang sunnah nabi dan sewaktu itu ada segolongan manusia melakukan amalan-amalan bertujuan utk 'mendidik', maka seharusnya anda yang telah terdidik itu mengamalkan apa yang anda tahu tentang sunnah nabi. Misal contoh, membaca zikir al mathurat, sekiranya anda mengetahui cara sebetulnya adalah secara sendirian, dan ianya menhampiri sunnah nabi, maka seeloknya anda mengamalkan mengikut sunnah nabi.

Hendaklah setiap umat Islam menjadi penggalak kepada umat Islam lain untuk mengamalkan sunnah dan menjauhi perkara-perkara bid'ah.

Umar bin Abd Aziz r.h. berkata "Sunnah itu hanya dijadikan tuntutan oleh orang-orang mengetahui sesuatu yang menyelisihi Sunnah, sedangkan mereka adalah orang-orang yang lebih mampu menolak dan membantah daripada kalian" (al Ibanah)

Jadi di sini, saya ingin menyeru sahabat-sahabat yang MENGETAHUI tentang sunnah , untuk beramal dengan amalan yang mendekati sunnah, adalah diharapkan, masyarakat yang akan kita bina ini tidak perlu lagi "dididik" sepanjang masa, kerana dalam pendidikan, hakikat dari pendidikan itulah yang diperlukan iaitu mengamalkan sunnah dan masyarakat mengamalkan sunnah. Bukan method atau kaedah pendidikan itu menjadi pengamalan kita.

Wallahua'lam.

Sebarang komen dipersilakan.

Categories:

0 Response for the "Dakwah Kepada Sunnah dan Menjauhi Bid'ah"