Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Perbezaan Sikap di antara Ahlussunnah dengan Ahlul Batil (Ahlul Bid’ah)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:23 PG 7 komen


Oleh A.Humaizi


Ketahuilah wahai saudaraku, akidah Ahlussunnah wal Jamaah itu mempunyai prinsip-prinsip tertentu supaya ianya dapat dibezakan dengan akidah yang sesat iaitu akidahnya Ahlul Bid’ah. Selain seseorang itu mengetahui tentang bid’ah-bid’ah yang kecil iaitu bid’ah dalam amalan, dia juga perlulah mengetahui tentang bid’ah yang besar iaitu bid’ah di dalam akidah. Ini adalah kerana, bid’ah yang kecil itu, jika dibiarkan secara berterusan, ianya boleh menjadi penyakit kepada pemikiran seseorang muslim yang akhirnya mencelarukan akidahnya. Bagaimana penyakit yang kecil boleh merebak menjadi besar? Kerana mereka pada mulanya menganggap remeh bid’ah-bid’ah yang kecil sehingga akhirnya mereka membina prinsip-prinsip agama mengikut hawa nafsu sendiri untuk menghalalkan bid’ah kecil itu, lalu dengan prinsip-prinsip sesat itu, terjadilah pemikiran-pemikiran baru yang sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah. Lalu, prinsip-prinsip sesat tersebut menjadi doktrin dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.

Maka tidak hairanlah, banyak hadis-hadis Rasulullah sallallahua’laihiwassalam yang memperingatkan para sahabat tentang perpecahan umat yang bakal berlaku selepas kewafatan baginda. Ini adalah seperti sabdaan baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Najih Irbadh Bin Sariyah r.a. berkata:

Rasulullah saw pernah menasihati kami dengan nasihat perpisahan yang meluluhkan hati dan mencucurkan air mata. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, sepertinya ini adalah nasihat perpisahan kerana itu berilah kami nasihat”. Beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepada kalian untuk tetap menjaga ketaqwaan kepada Allah azza wajalla, tunduk dan taat (kepada pemimpin) meskipun kalian dipimpin oleh hamba sahaya. Kerana orang-orang yang hidup sesudahku akan melihat berbagai perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku, dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah kuat-kuat sunnah itu dengan gigi gerahammu dan hindarilah ajaran-ajaran yang baru (dalam agama), kerana semua bid’ah itu sesat.”(HR Abu Daud dan Tirmidzi, ia berkata, “Hadis ini Hasan Sahih”)

Dari hadis ini, dapatlah kita ketahui bahawa, perpecahan itu adalah sunnatullah dan pasti berlaku. Walaupun Nabi mengkhabarkan perpecahan yang bakal terjadi, tetapi, di dalam masa yang sama, Nabi saw memerintahkan para sahabat supaya tetap berpegang kepada sunnahnya dan sunnah Khulafaur Rasyidin. Dapatlah kita ketahui di sini, dua perkara yang berbeza, iaitu ketentuan Allah dan perintah Allah.

Allah telah menentukan, manusia di akhir zaman ini akan berpecah belah dan penuh dengan kerosakan, tetapi perintah dari Nabi saw adalah supaya para sahabat tetap berpegang teguh dengan sunnah dan tidak terikut-ikut dengan golongan-golongan yang sesat. Maka, janganlah ada dikalangan manusia ini yang menyalahkan suasana persekitarannya yang merosakkan dirinya. Tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya kerana dia tidak memelihara dirinya dari kerosakan yang ada.

Apakah permasalahannya jika manusia ini berpecah? Dan apakah kepentingan yang menyebabkan kita menghebah-hebahkan hadis tentang perpecahan ini? Atau, adakah kita suka dengan dengan perpecahan?

Tidak! Kita bukanlah gembira dengan perpecahan! Malah kita sangat meloba-lobakan kesatuan! Dan kita tidak akan menyebutkan permasalahan ini secara besar-besaran melainkan kerana ianya adalah hadis Rasulullah saw yang juga merupakan wahyu. Boleh jadi, jika perkataan perpecahan itu diucapkan oleh orang biasa, sudah tentu dia akan dihina dan dihamun. Tetapi, insan yang menyebutkan permasalahan ini adalah Rasulullah saw sang kekasih Allah! Bukanlah beliau menyebutkan hal ini dengan hawa nafsu semata-mata! Ianya adalah adalah wahyu dari Allah.

Permasalahannya bukanlah kepada takdir Allah itu yang menetapkan manusia itu berpecah, tetapi permasalahannya adalah, saya dan kalian berada di dalam kelompok mana? Sama ada kelompok yang mengikuti sunnah Nabi dan sunnah Khulafaur Rasyidin, atau di kelompok bid’ah yang sesat?

Maka dalam hal ini, sukalah saya berkongsi dengan kalian, apa yang disebutkan oleh Ibnu Qayyim r.h yang saya kutip dari sebuah buku yang bertajuk, ‘Merekalah Golongan Yang Selamat’. Antara sikap Ahlul Sunnah wal Jamaah yang membezakannya dengan ahlul bid’ah adalah;

1. Ahlussunnah meninggalkan perkataan manusia demi mengikuti sunnah, sedangkan ahli bid’ah meninggalkan sunnah demi mengikuti perkataan manusia. (pent- manusia di sini boleh jadi tokoh-tokoh, syaikh-syaikh mereka, ustaz-ustaz mereka dan lain-lain)

2. Ahlussunnah membandingkan perkataan manusia dengan sunnah. Apa yang sesuai dengannya, mereka terima, dan apa yang tidak sesuai dengannya, mereka tolak! Sementara ahli bid’ah membandingkan sunnah dengan pendapat para tokoh mereka. Apa yang sesuai dengan pandangan dan pendapat para tokoh mereka, mereka terima, dan yang menyelisihi pandangan mereka, mereka buang jauh-jauh.

3. Ahlussunnah jika mendapatkan sunnah yang sahih dari Nabi sallallahuaálaihiwassalam mereka tidak menunggu untuk mengamalkannya dan meyakini kesannya hingga ada yang menyepakatinya, mereka segera mengamalkan tanpa menghiraukan orang yang menyepakati atau menyelisihinya.

Asy-Syafie r.h berkata, “Manusia bersepakat bahawa siapa yang jelas baginya sunnah Rasulullah sallallahua’laihiwassalam, maka tidak ada alasan untuknya meninggalkan sunnah itu demi mengikuti pendapat orang lain.”

4. Mereka tidak menisbat kepada pendapat tertentu atau tokoh tertentu selain Rasulullah sallallahua’laihiwassalam. Mereka tidak mempunyai julukan tertentu yang dikenal dengannya, atau penisbatan yang mereka dinisbatkan kepadanya, ketika orang-orang selain mereka bernisbat kepada pendapat-pendapat tokohnya. Sebagaimana jawaban sebagian Ahlussunnah, ketika ditanya tentangnya, “As-Sunnah itu tidak memiliki nama lain kecuali hanya As-Sunnah”
Sedangkan ahlul bid’ah suatu kali bernisbat kepada pendapat, seperti Qadariyah dan Murjiáh, sesekali bernisbat kepada siapa yang berkata, seperti hasymiyah, Nijjariyah dan Dharawiyah dan pada waktu yang lain bernisbat kepada suatu perbuatan, seperti khawarij dan Rafidah. (pent: juga pada zaman ini, ada yang mengikuti mazhab-mazhab pemikiran tokoh-tokoh tertentu, parti politik, jamaah-jamaah tertentu, masing-masing di antara mereka kononnya mempunyai prinsip atau fikrah tersendiri, walhal sebenarnya, mereka telah membuat satu jalan yang boleh jadi terkeluar dari jalan As-Sunnah). Sementara Ahlussunnah terbebas dari semua penisbatan ini. Mereka hanyalah bernisbat kepada hadis dan sunnah!

5. Ahlussunnah hanya membela hadis sahih dan atsar-atsar salaf, sedangkan ahli bid’ah membela pendapat dan mazhab mereka.

6. Ahlussunnah jika menyebutkan sunnah dan menyerukan manusia kepadanya, maka hati para ahli bid’ah berpaling darinya. Mereka itu sebagaimana disebutkan oleh Allah dalam firmannNya yang bermaksud,

“Dan jika kamu menyebut nama Rabbmu sahaja dalam al-Quran, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana membencinya”(Al-Isra: 46)

Sedangkan ahli bid’ah, bila kita menyebutkan syaikh-syaikh dan pendapat-pendapat mereka, maka mereka merasa senang dengan hal iti. Mereka itu sebagaimana difirmankan oleh Allah yang bermaksud;

“Dan apabila nama Allah saja yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama sesembahan-sesembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati” (Az-Zumar: 45)

7. Ahlussunnah mengakui yang hak dan menyayangi para makhluk. Mereka memperoleh ilmu dan rahmat yang luas, dan Rabb mereka rahmat dan ilmuNya meliputi segala sesuatu.
Sedangkan ahlul bid’ah mendustkan kebenaran dan mengingkari para makhluk. Mereka tidak memiliki ilmu dan rahmat. Bila hujah Ahlussunnah ditegakkan dihadapannya, maka mereka memenjarakan para Ahlul Sunnah dan bahkan membunuhnya jika memungkinkan. Mereka mewarisi sifat Firaun, kerana ketika hujah Nabi Musa ‘alaihisalam ditegakkan di hadapannya dan tidak mungkin Firaun boleh menjawabnya, maka dia berkata;

“Sungguh jika kamu menyembah Allah selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan” (Asy-Syua’ra: 29)

8. Ahlussunnah hanya mencintai dan memusuhi atas dasar sunnah Nabi, sedangkan ahli Bid’ah mencintai dan memusuhi atas dasar pendapat yang mereka ada-adakan.

9. Ahlussunnah tidak membuat sendiri landasan dasar hukum lalu mereka berhukum dengannya, menghakimi para musuh mereka dengannya, dan menghukum siapa saja yang menyelishinya sebagai fasik atau kafir. Mereka mempunyai beberapa landasan, iaitu Kitabullah, Sunnah Rasulullah dan apa yang disepakati oleh para Sahabat.

10. Bila dikatakan kepada Ahlussunnah: “Allah swt berfirman atau Rasulullah sallallahua’laihiwassalam bersabda, maka hati mereka mantap padanya, tidak berpaling kepada seorang pun selainnya, dan tidak menghiraukan apa kata fulan dan fulan. Sementara ahli bidáh menyelisihi hal itu.

11. Ahli bid’ah itu mengambil sunnah yang sesuai dengan hawa nafsunya, baik sahih mahupun dhaif, dan mereka meninggalkan apa yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka walaupun hadis itu sahih. Bila mereka tidak berkuasa untuk menolak hadis tersebut, maka mereka menyimpangkannya dengan takwil-takwil aneh yang merupakan penyimpangan dari tempat-tempat yang semestinya. Sementara Ahlussunnah tidak keinginan selain apa yang disebutkan hadis-hadis tersebut.

Begitulah antara perbezaan sikap seorang Ahlussunnah dengan Ahlul Batil atau Ahlul Bidáh yang sesat. Moga-moga kita termasuk dikalangan orang-orang yang terselamat dari azab Allah swt dan semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Diharapkan dengan sebuah perkongsian yang sedikit ini membuka minda kita supaya dapat menilai sikap kita terletak di mana, sama ada dalam golongan yang selamat (Ahlussunnah), atau golongan yang sesat (Ahlul Bid’ah).



Wallahua’lam, Semoga bermanfaat.

Oleh:
Abu Bakr Ahmad Humaizi
Universiti Teknologi PETRONAS.



Sumber:

[1] Merekalah Golongan Yang Selamat, terjemahan dari kitab “Khasaish ahli al-Hadis wa as-Sunnah wa bayan manhajuhun wa fadhailihim wad difa’i ánhum” oleh Syaikh Muhammad Muhibbudin Abu Zayd, Pustaka at-Tazkia, Jakarta.

Categories: , , , ,

7 Response for the "Perbezaan Sikap di antara Ahlussunnah dengan Ahlul Batil (Ahlul Bid’ah)"

  1. Unknown says:

    juga pada zaman ini, ada yang mengikuti mazhab-mazhab pemikiran tokoh-tokoh tertentu, parti politik, jamaah-jamaah tertentu, masing-masing di antara mereka kononnya mempunyai prinsip atau fikrah tersendiri, walhal sebenarnya, mereka letak membuat satu jalan yang boleh jadi terkeluar dari jalan As-Sunnah

    boleh jelaskan lebih lanjut ayat2 di atas?

  2. maaf ada salah ejaan di situ.. terima kasih atas komen saudari..

    Kesalahan: letak
    Pembetulan: telah.

  3. Jika saudari aimi terbiasa dengan polemik atau pertelingkahan diantara mazhab, jemaah atau organisasi Islam, saudari akan lihat, setiap daripada mereka mempunyai asas-asas pemikiran yang berbeza dalam sesuatu hal.

    Jika saudari pelajari ilmu akidah, aliran yang biasa di perbincangkan adalah, Ahlussunnah wal jamaah, syiah, khawarij, muktazilah, murjiah dan lain-lain.
    Jika diperinci pegangan kesemua aliran itu, boleh kata kebanyakkan pegangan mereka adalah sama, cumanya ada beberapa point di dalam akidah syiah, khawarij, murjiah dan muktazilah yang menyimpang akhirnya mereka tergelincir dari jalan as-sunnah (ahlussunnah wal jamaah).

    misal contoh: syiah percaya Ali lebih utama berbanding para sahabat Nabi yang lain. Ada diantara mazhab syiah yang mengkafirkan seluruh para sahabat Nabi s.a.w melainkan Ali, Fatimah, hassan dan husain. Dan ada juga yang melampau mengatakan Ali adalah Tuhan dan ada juga yang mengatakan 'sepatutnya Ali lah yang menjadi nabi, bukan muhammad".. Berbeza dengan Ahlussunnah. Ahlussunnah mengiktiraf kesemua para sahabat sebagai generasi yang terbaik umat ini. Orang yang paling utama selepas Rasulullah adalah Khulafaur Rasyidin, kemudian sepuluh orang tang mendapat jaminan syurga (termasuk 4 org khulafaur rasyidin), kemudian disusul oleh para sahabat yang menghadiri perang badar. kemudian.... (ada diperbincangkan di dalam kitab Syarah Matan Akidah ath-Thahawiyah, oleh Syaikh Salih Bin Fauzan)

    Khawarij pula, mereka mengkafirkan orang2 yang melakukan dosa2 besar, walhal Nabi s.a.w tidak memerintahkan demikian. Walaupun seseorang muslim itu melakukan dosa besar spt berzina, dia tetap dihukum, tetapi dia masih muslim disisi Ahlul Sunnah, ini dibuktikan oleh hadis2 Rasulullah yang mana ketika seorang wanita direjam kerana berzina, tetapi Rasulullah mengatakan, taubatnya lebih besar daripada taubat para sahabat. Disebabkan kemelampauan puak khawarij, mereka mudah mengkafirkan orang-ornag2 yang tidak berhukum dengan hukum Islam. Antara penyakit2 khawarij yang berjangkit hingga zaman ini ialah, timbulnya golongan yang begitu mudah mengkafirkan umat Islam. Sehingga terjadilah huru hara di dunia2 islam disebabkan mereka memerangi golongan yang mereka katakan sebagai kafir tersebut.

  4. Jika diteliti pada zaman ini, jemaah-jemaah atau organisasi Islam sebahagiannya mempunyai doktrin2 tersendiri. Ada dikalangan organisasi islam ini mewajibkan orang ramai menyertai jemaah mereka. Mereka merasakan jemaah mereka sahajalah yang paling sempurna, maka seluruh umat Islam wajib sokong atau menyertai kumpulan mereka. Malah ada doktrin jemaah-jemaah tertentu yang mengkafirkan ahli2 yang keluar dari jemaah mereka, atau paling tidak pun ahli2 yang keluar itu dituduh sebagai FUTUR (lemah), pemikiran tak jelas, dan ada juga yang dipulaukan.

    Begitu juga di dalam bermazhab. Ada dikalangan mereka yang mewajibkan kaum muslimin untuk setia dengan sesuatu pendapat fiqh sahaja, walhal ianya tidak pernah diwajibkan oleh Allah dan Rasul. Ketaksuban mereka terhadap mazhab2 mereka telah menimbulkan polemik dikalangan umat Islam, sehingga jika anda memberi pendapat berdasarkan hadis2 rasulullah yang kemungkinan bercanggah dengan pendapat mazhab mereka, mereka akan mengatakan anda tidak menghormati ulama mazhab. Malah ada diantara mereka yang sengaja membuat hadis2 palsu demi mengangkat kemuliaan mazhabnya.

    Jika dilihat dari semua ini, tentu kita akan rasa hairan, kenapa umat ini saling bertelagah sedangkan sumber mereka adalah Quran dan sunnah? Ianya disebabkan
    1. Mereka memahami Al-Quran dan sunnah mengikut kefahaman sendiri, kelompok atau jemaah mereka

    2. Mereka mempunyai prinsip2 tersendiri yang menyalahi prinsip Ahlus Sunnah wal jamaah.

    Kerana itu, mereka mempunyai kecenderungan untuk keluar dari jalan As-Sunnah walaupun dalam keadaan mereka tidak sedar disebabkan kekurangan ilmu.

    Jika anda perasan, kebanyakkan dari ahli2 gerakan2 Islam dikalangan pelajar, mereka itu bukanlah seorang yang benar-benar mendalami ilmu2 akidah Islam. Mereka hanya diberi pengisian berdasarkan silibus2 gerakan mereka, akhirnya menyebabkan mereka jauh dari sumber2 ilmu para ulama silam seperti imam2 ahlus sunnah, Imam Hanafi, Maliki, Syafie, Ahmad. Dan imam2 lain seperti ibn taymiyyah, ibn Qayyim, Ibn Katsir dan sebagainya.

    Pada zaman ini, ahli2 gerakan Islam hanya berkisar menyebutkan nama2 seperti tokoh2 gerakan Islam semata seperti Imam Hassan al-Banna (Semoga Allah merahmati beliau), Syed Qutb (Semoga Allah merahmati beliau), dan lain2. Bukanlah di sini saya tidak menghormati para pejuang gerakan Islam tersebut, tetapi adalah lebih utama kita mengenali dan merujuk sumber2 ilmu yang lebih authentic dalam agama ini.

    Tergelinciran mereka adalah disebabkan kekurangan ilmu di dada. Apa yang mereka ada hanyalah semangat, tetapi sayangnya, TANPA ILMU.

    Kerana itu, saya masukkan di dalam tulisan saya, "juga pada zaman ini, ada yang mengikuti mazhab-mazhab pemikiran tokoh-tokoh tertentu, parti politik, jamaah-jamaah tertentu, masing-masing di antara mereka kononnya mempunyai prinsip atau fikrah tersendiri, walhal sebenarnya, mereka telah membuat satu jalan yang boleh jadi terkeluar dari jalan As-Sunnah."

    jika ada teliti tulisan saya itu, saya tidak hukumkan secara terus tergelinciran mereka, tetapi saya tulis "Mereka membuat satu jalan yang BOLEH JADI terkeluar dari jalan As-Sunnah"...

    Wallahua'lam.
    Semoga penjelasan ini jelas dan difahami oleh para pembaca. Segala kelemahan saya dalam menyampaikan ilmu ini diharapkan mendapat komen dan membetulan dari pembacan sekalian.

    Terima kasih.

  5. Unknown says:

    Syukran atas penjelasan.

  6. izinkan sy mgambil/copy mgenai tajuk ini sbg pelajaran dan ilmu pengetahuan ppd sy dan rakan2..tksh atas nota ini..ssungguhnya yang baik itu datang dari Allah s.w.t

    tksh

  7. Boleh2..