Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Kenapa Saya Tidak Baca Al-Mathurat Secara Jama'e?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:39 PG 11 komen

Oleh A.Humaizi


Dahulu saya pernah tertanya-tanya, kenapa para Ustaz jarang sekali bersama-sama orang ramai dalam majlis zikir seperti halaqah mathurat, membaca surah Yassin setiap Khamis malam Jumaat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai pada setiap malam, membuat majlis tahlil dan pelbagai amalan-amalan lain yang menjadi tradisi masyarakat Melayu.

Setelah saya mengetahui sebabnya dan saya meninggalkan amalan-amalan tersebut, mungkin ada yang kehairanan, kenapa saya tidak hadir ke majlis-majlis seperti majlis membaca al-mathurat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai (Liqa’ Al-Mulk), membaca yassin pada setiap malam Jumaat, majlis tahlil (sedekahkan pahala kepada orang mati) dan lain-lain majlis seumpamanya. Sepertinya saya ini tidak suka dengan majlis mengingat Allah swt. Ianya membuat saya tersenyum jika ada orang yang berprasangka sedemikian.

Syarat-syarat Ibadah Diterima oleh Allah(1)

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, telah banyak disebutkan oleh para ulama muktabar tentang syarat-syarat diterimanya sesuatu ibadah oleh Allah swt. Sesuatu amalan itu tidak akan diterima oleh Allah swt sekiranya tidak menepati kesemua syarat-syarat tersebut.

Syarat-syarat asas penerimaan sesuatu ibadah itu ada dua iaitu;

1. Ikhlas

Sesuatu amalan tidak akan diterima selagi tidak ikhlas hanya kerana Allah swt. Maksud ikhlas dalam ibadah ialah meniatkan segala ibadah semata-mata kerana Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu dan tanpa sebarang riya’ dan takabbur dalam mengerjakannya. Allah swt telah berfirman yang bermaksud;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. – (Surah Az-Zumar: 11)

Kemudian sabda Nabi s.a.w yang bermaksud;

” Sesungguhnya segala amalan-amalan adalah atas niatnya masing-masing dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu adalah apa yang telah dia niatkan. Barangsia yang hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya (akan diterima) kerana Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan ia perolehi dan wanita yang hendak dinikahinya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju (dunia dan wanita)” – (HR Bukhari dan Muslim)(2)

2. Mengikuti sunnah Rasulullah saw

Sesuatu amalan ibadah tidak akan diterima selagi tidak menepati petunjuk (Sunnah) Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud;

”Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (Surah Al-Hasyr: 7)

Oleh kerana itu, Rasulullah saw pernah memberi amaran bahawa sesuatu amalan ibadah itu akan ditolak sekiranya tidak bersumber/bertepatan dengan pentunjuknya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

”Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan tanpa dasar perintah kami, maka ianya tertolak” (HR Muslim)

Oleh kerana itu, dalam menafsirkan ayat ke-2 surah Al-Mulk yang bermaksud;

”Untuk menguji kamu, siapa yang lebih baik amalnya”

Maka Al-Fudhail Bin Iyadh (wafat: 187H) seorang ulama generasi tabi’ut tabieen yang masyhur telah berkata:

”Seikhlas-ikhlasnya dan sebenar-benarnya.” Kemudian beliau ditanya: ”Apakah seikhlas-ikhlas dan sebenar-benarnya?” Jawabnya: ”Sesungguhnya amalan-amalan yang ikhlas tetapi tidak benar, maka ianya tidak diterima. Dan sekiranya amalan itu benar, tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak diterima. Sehinggalah (sesuatu amalan itu) mempunyai ikhlas dan benar (barulah diterima oleh Allah). Ikhlas itu ialah diamalkan kerana Allah dan benar itu ialah mengikuti sunnah (Rasulullah saw).”

Setelah seseorang mengetahui syarat-syarat sesuatu ibadah itu diterima oleh Allah swt, maka hendaklah dia berusaha mengikhlaskan niat kerana Allah swt dan belajar beribadah sesuai dengan tuntutan sunnah Rasulullah saw.

Masalah-masalah amalan masyarakat Melayu

Jadi, apakah sebabnya saya meninggalkan amalan-amalan yang saya nyatakan diatas? Saya tidak akan menyentuh bab ikhlas, kerana ikhlas itu dinilai oleh Allah swt. Tetapi sebagai seorang manusia, kita boleh menilai sesuatu itu dengan melihat zahir perlakuan/amalan seseorang sama ada betul atau tidak.

1. Membaca Al-Mathurat secara berjemaah - Membaca doa-doa yang mathur dari Nabi saw itu adalah sunnah, TETAPI membaca doa secara beramai-ramai dengan membuat halaqah (bulatan), membacanya dengan kuat (jahar), dan terdapat pula seorang yang mengepalai bacaan doa sambil diselang-seli dengan wirid Rasulullah maka kesemua itu tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Maka kerana itu, membaca doa tersebut adalah benar, tetapi CARAnya telah menyanggahi sunnah Rasul saw.

2. Membaca surah Al-Mulk secara berjemaah (Liqa’ Al-Mulk) – Membaca surah al-Mulk itu sunnah, tetapi melakukannya secara beramai-ramai secara jahar, dan diketuai oleh ketua (tekong), maka itu bukan pentunjuk dari Rasulullah.

Anda memang digalakkan membaca surah Al-Mulk berdasarkan hadis;

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: ”Dari sebahagian al-Quran adalah satu surah yang terdiri dari tiga puluh (30) ayat, dia memberi syafaat pada seseorang hingga diampuni (dosa-dosa) untuknya, iaitu surah’ tabarakal lazi biyadihi mulk’ (Surah al-Mulk)” – (HR Abu Daud dan Tirmidzi, dia berkata ”Hadis Hasan”)(3)

Juga terdapat juga hadis yang menyebutkan kelebihan membaca surah al-Mulk ini pada setiap malam sebelum tidur tetapi saya tidak memasukkan hadisnya di sini kerana tidak mengetahui darjat hadis berkenaan.

3. Membaca Yassin berjemaah setiap khamis malam jumaat – sama halnya seperti di atas, membaca surah yassin dan juga surah-surah di dalam al-Quran itu adalah sunnah dan digalakkan. TETAPI tidak pernah diajarkan oleh Nabi saw untuk mengkhususkan membaca Surah Yassin pada hari-hari tertentu, malah Rasulullah melarang kita mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat selain apa yang telah beliau khususkan seperti menunaikan solat Jumaat, membaca surah al-Kahfi dan banyakkan berdoa. Hadis yang menunjukkan haramnya mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat adalah;

"Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk berqiam dari malam-malam lain, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa dari hari-hari lain, melainkan telah menjadikan puasa kebiasaan dikalangan kamu" [hadith Riwayat Muslim; #1144)(4)

”Kami Buat Amalan Tersebut Untuk Tujuan Didikan”

Ramai pelaku-pelaku amalan tersebut beralasan, mereka melakukan amalan-amalan fardhi (individu) secara berjemaah bertujuan mendidik masyarakat.

Maka saya menjawab,

”Benar, Rasulullah pun pernah zikir selepas solat secara jahar bertujuan mengajar makmum (para sahabat). Tetapi Rasulullah saw memberhentikannya setelah mendapati para sahabatnya telah mengetahui zikir-zikir yang disunnahkan. Kemudian mereka berzikir secara sendiri-sendiri (5). Maka di sini jelaslah kepada kita, proses pendidikan itu hendaklah diberhentikan setelah mendapati orang-ramai telah mengetahuinya. Sayangnya, masyarakat sekarang ini umpamanya masih belum pandai berzikir sehingga imam terpaksa membacanya secara jahar. Lebih memburukkan lagi, zikir secara jahar ini telah menjadi amalan berterusan dan kebiasaan masyarakat kita. Dan dikhuatiri, ianya boleh menjatuhkan kita ke dalam bid’ah.

Oleh kerana itu, jika anda beralasan amalan-amalan tersebut sebagai pendidikan, maka beritahukan kepada saya, bila waktunya untuk anda memberhentikan amalan tersebut (secara berjemaah). Bukankah orang ramai yang mengikuti majlis anda (majlis zikir) tersebut sudah pandai membaca mathurat, membaca quran dan zikir? Jadi, jika benar amalan itu sebagai pendidikan, maka saya menunggu ’anak didikan’ anda pandai berzikir sendiri tanpa perlu diajar lagi. Jika tidak, maka nampaknya pendidikan yang anda terapkan gagal memandaikan mereka berzikir mengikut sunnah Rasulullah saw.

Wallahua’lam.

Semoga bermanfaat


Rujukan

1. Ismail Bin Omar, Manhaj Aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah, Access Infotech Sdn Bhd, Malaysia.

2. Hadis 40, Imam An-Nawawi. Media Insani, Indonesia.

3. Terjemahan Riadhus Solihin, Imam An-Nawawi. Duta Ilmu Surabaya. Indonesia.

4. Soal Jawab Doa dan Zikir, http://qazikirdandoa.blogspot.com/

5. Kitab Fikh Mazhab Syafie, Bab Solat, Pustaka Darus Salam, Malaysia)

Categories: , , , ,

11 Response for the "Kenapa Saya Tidak Baca Al-Mathurat Secara Jama'e?"

  1. 5y4k1rz says:

    Salam 'alaik ya Aba Bakr,

    Taqabbalallah minna waminkum..

    1. Alhamdulillah, artikel yg sgt bermanfaat utk kesekian kalinya. Sy berbesar hati utk memuji sebahagian isi artikel ini dgn tidak mengeji sebahagian yg lainnya.

    2. Tahniah, krn thabat dgn jalan sunnah dlm kehidupan. Sesungguhnya, i'tiqad anda benar seiring benarnya nas dan qaul ulama'.

    3. Namun, ianya lebih murni seandai penulis bersikap lebih berhati-hati dan tidak cenderung kpd mempertikaikan i'tiqad mereka yg jg seiring dgn nas mahupun qaul. Kerana ini semua tidak lebih drpd lingkungan perkara2 furu' yg ijtihadi shj (Qadaya Khilafiyyah Ijtihadiyyah).

    4. Ketahuilah, dgn membidaahkan perkara furu' yang ijtihadi, adalah satu bidaah baru yang tidak dilakukan oleh ulama Salaf dan fuqaha`, lebih-lebih lagi sekiranya ada nas al-Quran dan al-sunnah.

    5. Sy tidak menuduh penulis dengan sebarang bentuk tuduhan sebagaimana penulis jg tidak melemparkan apa-apa tuduhan kpd sesiapa dalam artikelnya. Atas semangat persaudaraan Islam, abg-adik, sahabat-sahabat, ianya tidak lebih sekadar sebuah nasihat seumpama nasihat-nasihat yg pernah diberikan sebelum drpd ini. Berhati-hati dan bersederhanalah.

    5. Wallahua'lam. Semoga Allah memberikan hidayah kpd kita semua agar terus berada di atas Sunnah Rasul-Nya.

    Selamat Hari Raya.
    Maaf Zahir Batin.

  2. Imam Hasan Bin Ali Al-Barbahari (Wafat: 329H) berkata: "Waspadalah kamu terhadap perkara-perkara baru (dlm agama) yang kecil, kerana bid'ah-bid'ah kecil itu sering dilakukan maka akan menjadi besar. Demikian pula setiap bid'ah yang diada-adakan dalam umat ini asal mulanya kecil menyerupai al-haq (kebenaran), lalu orang-orang yang masuk ke dalamnya menjadi tertipu, kemudian ia tidak bisa keluar darinya, sehingga hal itu (seakan-akan) menjadi suatu perkara agama yang harus ditaati, maka ia pun menyimpang dari jalan (yang benar), lalu keluar dari Islam. Maka perhatikanlah - semoga Allah merahmatimu - setiap orang yang kamu dengarkan ucapannya, khususkan dari orang-orang yang hidup pada zamanmu, maka janganlah kamu tergesa-gesa dan masuk ke dalamnya sehingga kamu bertanya dan meneliti terlebih dahulu, apakah ada seorang sahabat Nabi atau seorang ulama (yang muktabar) yang membicarakan perkara itu. Maka jika kamu mendapatkan sebuah atsar (riwayat) dari mereka yang membenarkannya, maka berpegang teguhlah dengannya dan jangan meninggalkannya. Jangan pula memilih jalan selainnya kerana kelak kamu akan jatuh ke dalam api neraka." (Syarhus Sunnah, karya Al-Barbahari)

    [Dipetik dari Kitab Usul As-Sunnah, Oleh Imam Ahmad, Disyarah oleh Syaikh Nasiruddin al-Albani]

    Semoga Allah memberi kemudahan kepada kita semua dalam memahami agamanya.

  3. Saudara,
    Tahniah kerana dapat mengeluarkan artikal sebegini. Ia memang bermanfaat bagi kita untuk berbahas perkara-perkara yg walaupun dipandang ringan oleh rakan-rakan kita pada masa kini.
    Saya bersetuju dengan apa yang saudara katakan, namun ada sedikit yang ingin saya selitkan.
    apa yang saudara 5y4k1rz katakan ada benarnya, "dgn membidaahkan perkara furu' yang ijtihadi, adalah satu bidaah baru yang tidak dilakukan oleh ulama Salaf dan fuqaha`, lebih-lebih lagi sekiranya ada nas al-Quran dan al-sunnah.". Namun, seperti beliau, saya tidak menyanggah apa yang saudara katakan adalah tidak benar.

    Apa yang ingin saya kongsikan bersama adalah sedikit ilmu yang saya perolehi sebelum ni.

    Contoh 1: Wirid selepas solat. Nabi melakukan wirid selepas jemaah sebenarnya untuk mengajar ahli jemaah cara berwirid. Jadi, selepas mereka mempelajarinya, mereka perlu membacanya secara perlahan, kerana mengikut Allah itu tidak pekak.

    Jadi, melalui contoh tersebut, apa yang dilakukan oleh rakan-rakan kita tidak ada apa salahnya. Cuma, yang menjadi kesalahan apabila amalan mereka tidak menepati ajaran yang sebenar.

    Oleh itu, mengatakan sesuatu perkara itu bid'ah adalah tidak wajar. Perkara yang harus dilakukan, adalah melalui sedikit teguran bagi pembetulan.

    Perkara-perkara sebegini baik untuk mengajar anak-anak kecil dan mereka yang baru mengenal Islam.

    Jadi, janganlah kita menyempitkan sesuatu perkara yang jika dilihat kita mampu memudahkannya.

    Wassalam.

  4. Saudara,
    Tahniah kerana dapat mengeluarkan artikal sebegini. Ia memang bermanfaat bagi kita untuk berbahas perkara-perkara yg walaupun dipandang ringan oleh rakan-rakan kita pada masa kini.
    Saya bersetuju dengan apa yang saudara katakan, namun ada sedikit yang ingin saya selitkan.
    apa yang saudara 5y4k1rz katakan ada benarnya, "dgn membidaahkan perkara furu' yang ijtihadi, adalah satu bidaah baru yang tidak dilakukan oleh ulama Salaf dan fuqaha`, lebih-lebih lagi sekiranya ada nas al-Quran dan al-sunnah.". Namun, seperti beliau, saya tidak menyanggah apa yang saudara katakan adalah tidak benar.

    Apa yang ingin saya kongsikan bersama adalah sedikit ilmu yang saya perolehi sebelum ni.

    Contoh 1: Wirid selepas solat. Nabi melakukan wirid selepas jemaah sebenarnya untuk mengajar ahli jemaah cara berwirid. Jadi, selepas mereka mempelajarinya, mereka perlu membacanya secara perlahan, kerana Allah itu tidak pekak.

    Jadi, melalui contoh tersebut, apa yang dilakukan oleh rakan-rakan kita tidak ada apa salahnya. Cuma, yang menjadi kesalahan apabila amalan mereka tidak menepati ajaran yang sebenar.

    Oleh itu, mengatakan sesuatu perkara itu bid'ah adalah tidak wajar. Perkara yang harus dilakukan, adalah melalui sedikit teguran bagi pembetulan.

    Perkara-perkara sebegini baik untuk mengajar anak-anak kecil dan mereka yang baru mengenal Islam.

    Jadi, janganlah kita menyempitkan sesuatu perkara yang jika dilihat kita mampu memudahkannya.

    Wassalam.

  5. Terima kasih kepada firdaus atas komen.

    1. Saya tidak membid'ahkan amalan itu, tetapi saya ingatkan amalan seperti itu boleh terjerumus ke dalam bid'ah jika sering diadakan.

    2. Oleh sebab itu, saya tuliskan 1 komen yang berupa satu kenyataan ulama terdahulu tentang bahayanya bid'ah yang kecil (iaitu amalan yang berkecenderungan menjadi bid'ah).

    3. Jika saudara2 perhatikan kenyataan2 para ulama muktabar, anda akan dapati betapa tegasnya mereka dalam menentang hal2 bid'ah ini walaupun nampak kecil sebab dari yang kecil, ianya boleh menjadi besar.

    4. Sejarah dan atsar sahabat telah membuktikan, orang2 yang terus melakukan bid'ah kecil akhirnya jatuh kepada bid'ah yang besar (iaitu bid'ah dari segi aqidah).

    5. Ini disebutkan dalam satu atsar yang panjang seperti di bawah;

    Dalam sebuah atsar sahih riwayat ad-Darimi, Abu Musa Al-Asy'ari r.a. memberitahu Ibn Mas'ud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan juga para Sahabat r.a.. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mas'ud menuju ke masjid itu lantas menegur mereka dengan katanya: “Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi s.a.w. masih ramai, baju baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di TanganNya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”

    Mendengar kata-kata Ibn Mas'ud itu, mereka menjawab: “Demi Allah! wahai Abu Abd Ar-Rahman (gelaran kpd Ibnu Mas'ud)! Tujuan kami hanya untuk kebaikan”. Mendengar jawapan mereka itu, lalu Ibn Mas'ud berkata: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak kena (caranya). Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka”(HR Bukhari). Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”.

    Menjelaskan kata-kata Ibn Mas'ud ini, Amr Ibn Salamah (anak murid Ibnu Mas'ud) berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-_ahrawan” .

    Huraian: Atsar ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai adalah amalan bid'ah puak Khawarij yang memerangi para Sahabat r.a. dalam peperangan an_ahrawan. Manakala jawapan yang mereka berikan kepada Ibn Mas’ud r.a. itu pula menunjukkan bahawa mereka membela amalan bidah mereka dengan falsafah ‘bidah hasanah’.

    (Sumber:
    Kertas Kerja "Khawarij Moden", Oleh Dr Azwira Abdul Aziz,
    Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah
    Fakulti Pengajian Islam
    UKM, Bangi

  6. Salam.

    baca al-quran beramai-ramai dengan satu nada itu tidak dlakukan.bagaimana pula kalau kita membaca dalam satu halaqah, baca seorang demi seorang dan yang lain mendengarkan?

    bagaimana pula mereka yang beralasan tujuan supaya dijadikan amalan setiap hari dan untuk pastikan mereka lakukan amalan tersebut.[maksudnya kalau seorang, susah nak buat sb malas dll]

    jazakallah khairan.

  7. Dalam sesetengah pandangan ulama (tak pasti tapi boleh diselidiki) bahawa maklumat mengenai membaca secara beramai-ramai ini tidak sampai ke pengetahuan Ibnu Mas'ud.. wallahua'alam

  8. Dr. deep says:

    salam alaik..
    yang pertamanya, rasanya kena faham apa erti bid'ah.. bid'ah adalah sesuatu yang baru yang x diajar oleh Rasulullah SAW.. al mathurat bukanlah sesuatu yang bid'ah, akan tetapi membaca secara berjemaah itu bid'ah.. sbb Rasulullah x buat.. AKAN TETAPI, perlu juga diingatkan bid'ah itu terbahagi kepada 2, ada bid'ah yang elok diikut, dan ada bid'ah yang haram diikut.. dan bid'ah yang haram diikut ini adalah bid'ah yang ternyata melanggar syariat Islam, ada unsur2 syiri' dan sebagainya..

    dan pada saya, ya, membaca alMulk dan alMathurat secara berjemaah itu bid'ah, yakni bid'ah yang elok diikut.. wallahua'lam..

    berkenaan ikhlas, ya, saya sokong bahawasanya untuk sesuatu ibadah itu diterima Allah perlulah ikhlas.. akan tetapi, fitrah manusia untuk memulakan langkah melakukan perkara kebaikan, agak sukar untuk menghadirkan rasa ikhlas dalam hati.. maka apakah tidak perlu lakukan kebaikan tersebut sekiranya tidak ikhlas? jika begitu, percayalah, mungkin dari 10, hanya seorang yang akan istiqamah melakukan kebaikan tersebut.. wallahua'lam..

  9. afu says:

    bismillah
    assalamualaikum
    saudara...bid'ah ada 2.hasanah dan dholalah.hasanah itu baik.dholalah itu sesat.jgn pukul rata semua bid'ah itu sesat.

  10. Unknown says:

    Siapa penulis ini? Kena kaji lebih lagi sebelum kemuka pendapat.. Takut songsang. .kalau kamu tidak berbuat sesuatu dlm jamaah, tidak ada salahnya.. Tetapi menyalahkan sesuatu yg anda tidak tahu benar salahnya adalah berat.. Istighfar

  11. Unknown says:

    Salah ke solat terawih berjemaah 20 rakaat sedangkan Rasulullah ﷺ buat 8 je. Takkan Saidina Umar tak tau kot. Bukankah kita ni Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ahmad Humaizi jom ZikirFikir