Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhasabah. Papar semua catatan




Oleh A.Humaizi

Bismillah.

Ketahuilah wahai saudaraku, antara ciri-ciri seorang Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah, kita mencintai para sahabat Rasulullah sallallahua'laihiwasalam.

InsyaAllah, saya akan menyalin ulang satu bab di dalam Syarah Matan Akidah ath Thahawiyah oleh Syaikh Dr Salih bin Fauzan Al-Fauzan iaitu kitab yang mengandungi point-point penting di dalam akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah berserta penjelasannya.

Bab ke 194: Dan kami (Ahlus Sunnah wal Jamaah) mencintai para sahabat Rasulullah sallallahua'laihiwasalam.

Pengertian sahabat Nabi:

Sahabat nabi ialah orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah sallallahua'laihiwasalam dan dia beriman kepada beliau serta meninggal dunia dalam keadaan beriman.

Jika dia beriman tetapi belum pernah bertemu dengan beliau, maka dia bukan sahabat, sekalipun sezaman dengan Nabi sallallahua'laihiwasalam seperti raja An-Najasyi.

Demikian pula disyaratkan bahawa dia beriman dan meninggal dunia dalam keadaan beriman. Maka sekalipun hanya murtad atau mati dalam keadaan murtad, itu telah membatalkan panggilannya sebagai seorang sahabat dan juga membatalkan semua amalannya.

Para sahabat Rasulullah adalah generasi dan umat paling utama setelah Nabi sallallahua'laihiwasalam dan Rasul lainnya. Hal itu kerana mereka bertemu dengan Nabi, beriman kepada beliau, berjihad bersama beliau, mengambil ilmu lansung dari beliau, mereka dicintai Nabi dan Allah telah memilih mereka sebagai sahabat-sahabat bagi NabiNya.

Allah berfirman (yang bermaksud):

"Sesungguhnya Allah telah ridha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)" - (Surah Fath: 18)

Allah juga berfiman (yang bermaksud):

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku; dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaannya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka di dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar" (Surah al-Fath: 29)

Para sahabat Nabi sallallahua'laihiwasalam adalah generasi yang terbaik; berdasarkan sabda Nabi yang bermaksud:

"Sebaik-baik generasi adalah generasiku, kemudian orang-orang sesudah mereka, kemudian sesudah mereka" (HR Bukhari dan Muslim)

Mencintai sahabat Nabi adalah keimanan, dan membenci sahabat Nabi adalah kemunafikan

Sahabat Nabi adalah generasi yang terbaik kerana mereka telah menjadi sahabat Nabi sallallahua'laihiwasalam. Kerana itu, mencintai para sahabat Nabi adalah Iman, dan membenci mereka adalah kemunafikan.

Allah berfirman (yang bermaksud):

"Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin)" (Al-Fath: 29)

Oleh kerana itu kaum muslimin wajib mencintai semua sahabat, berdasarkan nas ayat tadi; kerana kecintaan Allah swt dan Nabi kepada mereka. Juga kerana mereka telah berjihad di jalan Allah, dan menyebarkan Islam di Timur dan Barat. Mereka juga telah membela Rasulullah sallallahua'laihiwasalam dan beriman kepada beliau serta mengikuti cahaya yang diturunkan kepada beliau. Inilah akidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah.

Ketika Allah menyebutkan kaum Muhajirin dan kaum Ansar di dalam surah Al-Hasyr, Allah subhanallah taala berfirman (maksudnya):

"Bagi para fuqara' yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan(nya) dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, "Ya Rabb kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman'." (Surah Al-Hasyr: 8-10)

Inilah sikap kaum muslimin yang seharusnya terhadap para sahabat Rasulullah sallallahua'laihiwasalam; memohon ampunan untuk mereka, memohon kepada Allah agar tidak menjelmakan rasa benci dalam hati-hati mereka terhadap para sahabat, demikian pula keluarga Nabi sallallahua'laihiwasalam. Mereka semua memiliki hak kekerabatan dan hak keimanan. Dan pandangan Ahlus Sunnah wal jamaah adalah: Wajib wala' (bersikap loyal) kepada semua keluarga Nabi sallallahua'laihiwasalam dan semua sahabat beliau.

Golongan an-Nashibah, loyal terhadap para sahabat, akan tetapi membenci keluarga Nabi sallallahua'laihiwasalam. dan itulah sebabnya mereka dinamanya an-Nawashib; kerana mereka membuat permusuhan terhadap keluarga Nabi sallallahua'laihiwasalam.

Sedangkan golongan ar-Rafidhah (Syiah), sebaliknya loyal terhadap keluarga nabi sebagaimana dakwaan mereka dan membenci para sahabat, melaknati mereka bahkan mengkafirkan dan mencaci-maki mereka.

(Petikan dari Terjemahan Penjelasan Matan Akidah Ath Thahawiyah oleh Syaikh Muhammad Salih Bin Fauzan Al-Fauzan, Pustaka Sahifa, Indonesia)


Kami melihat, apa yang berlaku di Malaysia sebagai suatu fitnah atas diri kita kaum Muslimin terhadap berkembangnya Syiah di Malaysia sehingga mereka pula berani memperjuangkan hak mereka untuk mengamalkan mazhab sesat mereka di bumi Ahlus Sunnah ini.

Kami ingin nyatakan, Sunni dan Syiah tidak mungkin dapat disatukan kerana Ahlus Sunnah berbeza dengan Syiah dalam perkara pokok akidah.

Ahlus Sunnah mencintai sahabat Nabi, manakala Syiah pula membenci sahabat Nabi.

Cuba anda bayangkan, jika anda seorang yang mencintai Ibubapa kalian kerana kemuliaan mereka, lalu ada orang lain membenci Ibubapa kalian, adakah kalian boleh duduk-duduk bersama si pembenci ibubapa kalian di dalam satu rumah yang sama? Mana mungkin ianya terjadi! Jika terjadi, sudah pasti pergaduhan dan pertelingkahan pasti terjadi.

Oleh itu, kami sarankan, usahlah terpedaya dengan slogan untuk menyatukan Sunni dan Syiah. Melainkan, si Syiah wajib bertaubat lalu kembali kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Wallahua'lam, semoga kita diberi petunjuk oleh Allah subhanalla taala di atas jalan Nabi dan para sahabatnya radiallahuanhum ajma'in.

Semoga bermanfaat.


Perbezaan Sikap di antara Ahlussunnah dengan Ahlul Batil (Ahlul Bid’ah)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:23 PG 7 komen


Oleh A.Humaizi


Ketahuilah wahai saudaraku, akidah Ahlussunnah wal Jamaah itu mempunyai prinsip-prinsip tertentu supaya ianya dapat dibezakan dengan akidah yang sesat iaitu akidahnya Ahlul Bid’ah. Selain seseorang itu mengetahui tentang bid’ah-bid’ah yang kecil iaitu bid’ah dalam amalan, dia juga perlulah mengetahui tentang bid’ah yang besar iaitu bid’ah di dalam akidah. Ini adalah kerana, bid’ah yang kecil itu, jika dibiarkan secara berterusan, ianya boleh menjadi penyakit kepada pemikiran seseorang muslim yang akhirnya mencelarukan akidahnya. Bagaimana penyakit yang kecil boleh merebak menjadi besar? Kerana mereka pada mulanya menganggap remeh bid’ah-bid’ah yang kecil sehingga akhirnya mereka membina prinsip-prinsip agama mengikut hawa nafsu sendiri untuk menghalalkan bid’ah kecil itu, lalu dengan prinsip-prinsip sesat itu, terjadilah pemikiran-pemikiran baru yang sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah. Lalu, prinsip-prinsip sesat tersebut menjadi doktrin dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.

Maka tidak hairanlah, banyak hadis-hadis Rasulullah sallallahua’laihiwassalam yang memperingatkan para sahabat tentang perpecahan umat yang bakal berlaku selepas kewafatan baginda. Ini adalah seperti sabdaan baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Najih Irbadh Bin Sariyah r.a. berkata:

Rasulullah saw pernah menasihati kami dengan nasihat perpisahan yang meluluhkan hati dan mencucurkan air mata. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, sepertinya ini adalah nasihat perpisahan kerana itu berilah kami nasihat”. Beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepada kalian untuk tetap menjaga ketaqwaan kepada Allah azza wajalla, tunduk dan taat (kepada pemimpin) meskipun kalian dipimpin oleh hamba sahaya. Kerana orang-orang yang hidup sesudahku akan melihat berbagai perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku, dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah kuat-kuat sunnah itu dengan gigi gerahammu dan hindarilah ajaran-ajaran yang baru (dalam agama), kerana semua bid’ah itu sesat.”(HR Abu Daud dan Tirmidzi, ia berkata, “Hadis ini Hasan Sahih”)

Dari hadis ini, dapatlah kita ketahui bahawa, perpecahan itu adalah sunnatullah dan pasti berlaku. Walaupun Nabi mengkhabarkan perpecahan yang bakal terjadi, tetapi, di dalam masa yang sama, Nabi saw memerintahkan para sahabat supaya tetap berpegang kepada sunnahnya dan sunnah Khulafaur Rasyidin. Dapatlah kita ketahui di sini, dua perkara yang berbeza, iaitu ketentuan Allah dan perintah Allah.

Allah telah menentukan, manusia di akhir zaman ini akan berpecah belah dan penuh dengan kerosakan, tetapi perintah dari Nabi saw adalah supaya para sahabat tetap berpegang teguh dengan sunnah dan tidak terikut-ikut dengan golongan-golongan yang sesat. Maka, janganlah ada dikalangan manusia ini yang menyalahkan suasana persekitarannya yang merosakkan dirinya. Tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya kerana dia tidak memelihara dirinya dari kerosakan yang ada.

Apakah permasalahannya jika manusia ini berpecah? Dan apakah kepentingan yang menyebabkan kita menghebah-hebahkan hadis tentang perpecahan ini? Atau, adakah kita suka dengan dengan perpecahan?

Tidak! Kita bukanlah gembira dengan perpecahan! Malah kita sangat meloba-lobakan kesatuan! Dan kita tidak akan menyebutkan permasalahan ini secara besar-besaran melainkan kerana ianya adalah hadis Rasulullah saw yang juga merupakan wahyu. Boleh jadi, jika perkataan perpecahan itu diucapkan oleh orang biasa, sudah tentu dia akan dihina dan dihamun. Tetapi, insan yang menyebutkan permasalahan ini adalah Rasulullah saw sang kekasih Allah! Bukanlah beliau menyebutkan hal ini dengan hawa nafsu semata-mata! Ianya adalah adalah wahyu dari Allah.

Permasalahannya bukanlah kepada takdir Allah itu yang menetapkan manusia itu berpecah, tetapi permasalahannya adalah, saya dan kalian berada di dalam kelompok mana? Sama ada kelompok yang mengikuti sunnah Nabi dan sunnah Khulafaur Rasyidin, atau di kelompok bid’ah yang sesat?

Maka dalam hal ini, sukalah saya berkongsi dengan kalian, apa yang disebutkan oleh Ibnu Qayyim r.h yang saya kutip dari sebuah buku yang bertajuk, ‘Merekalah Golongan Yang Selamat’. Antara sikap Ahlul Sunnah wal Jamaah yang membezakannya dengan ahlul bid’ah adalah;

1. Ahlussunnah meninggalkan perkataan manusia demi mengikuti sunnah, sedangkan ahli bid’ah meninggalkan sunnah demi mengikuti perkataan manusia. (pent- manusia di sini boleh jadi tokoh-tokoh, syaikh-syaikh mereka, ustaz-ustaz mereka dan lain-lain)

2. Ahlussunnah membandingkan perkataan manusia dengan sunnah. Apa yang sesuai dengannya, mereka terima, dan apa yang tidak sesuai dengannya, mereka tolak! Sementara ahli bid’ah membandingkan sunnah dengan pendapat para tokoh mereka. Apa yang sesuai dengan pandangan dan pendapat para tokoh mereka, mereka terima, dan yang menyelisihi pandangan mereka, mereka buang jauh-jauh.

3. Ahlussunnah jika mendapatkan sunnah yang sahih dari Nabi sallallahuaálaihiwassalam mereka tidak menunggu untuk mengamalkannya dan meyakini kesannya hingga ada yang menyepakatinya, mereka segera mengamalkan tanpa menghiraukan orang yang menyepakati atau menyelisihinya.

Asy-Syafie r.h berkata, “Manusia bersepakat bahawa siapa yang jelas baginya sunnah Rasulullah sallallahua’laihiwassalam, maka tidak ada alasan untuknya meninggalkan sunnah itu demi mengikuti pendapat orang lain.”

4. Mereka tidak menisbat kepada pendapat tertentu atau tokoh tertentu selain Rasulullah sallallahua’laihiwassalam. Mereka tidak mempunyai julukan tertentu yang dikenal dengannya, atau penisbatan yang mereka dinisbatkan kepadanya, ketika orang-orang selain mereka bernisbat kepada pendapat-pendapat tokohnya. Sebagaimana jawaban sebagian Ahlussunnah, ketika ditanya tentangnya, “As-Sunnah itu tidak memiliki nama lain kecuali hanya As-Sunnah”
Sedangkan ahlul bid’ah suatu kali bernisbat kepada pendapat, seperti Qadariyah dan Murjiáh, sesekali bernisbat kepada siapa yang berkata, seperti hasymiyah, Nijjariyah dan Dharawiyah dan pada waktu yang lain bernisbat kepada suatu perbuatan, seperti khawarij dan Rafidah. (pent: juga pada zaman ini, ada yang mengikuti mazhab-mazhab pemikiran tokoh-tokoh tertentu, parti politik, jamaah-jamaah tertentu, masing-masing di antara mereka kononnya mempunyai prinsip atau fikrah tersendiri, walhal sebenarnya, mereka telah membuat satu jalan yang boleh jadi terkeluar dari jalan As-Sunnah). Sementara Ahlussunnah terbebas dari semua penisbatan ini. Mereka hanyalah bernisbat kepada hadis dan sunnah!

5. Ahlussunnah hanya membela hadis sahih dan atsar-atsar salaf, sedangkan ahli bid’ah membela pendapat dan mazhab mereka.

6. Ahlussunnah jika menyebutkan sunnah dan menyerukan manusia kepadanya, maka hati para ahli bid’ah berpaling darinya. Mereka itu sebagaimana disebutkan oleh Allah dalam firmannNya yang bermaksud,

“Dan jika kamu menyebut nama Rabbmu sahaja dalam al-Quran, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana membencinya”(Al-Isra: 46)

Sedangkan ahli bid’ah, bila kita menyebutkan syaikh-syaikh dan pendapat-pendapat mereka, maka mereka merasa senang dengan hal iti. Mereka itu sebagaimana difirmankan oleh Allah yang bermaksud;

“Dan apabila nama Allah saja yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama sesembahan-sesembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati” (Az-Zumar: 45)

7. Ahlussunnah mengakui yang hak dan menyayangi para makhluk. Mereka memperoleh ilmu dan rahmat yang luas, dan Rabb mereka rahmat dan ilmuNya meliputi segala sesuatu.
Sedangkan ahlul bid’ah mendustkan kebenaran dan mengingkari para makhluk. Mereka tidak memiliki ilmu dan rahmat. Bila hujah Ahlussunnah ditegakkan dihadapannya, maka mereka memenjarakan para Ahlul Sunnah dan bahkan membunuhnya jika memungkinkan. Mereka mewarisi sifat Firaun, kerana ketika hujah Nabi Musa ‘alaihisalam ditegakkan di hadapannya dan tidak mungkin Firaun boleh menjawabnya, maka dia berkata;

“Sungguh jika kamu menyembah Allah selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan” (Asy-Syua’ra: 29)

8. Ahlussunnah hanya mencintai dan memusuhi atas dasar sunnah Nabi, sedangkan ahli Bid’ah mencintai dan memusuhi atas dasar pendapat yang mereka ada-adakan.

9. Ahlussunnah tidak membuat sendiri landasan dasar hukum lalu mereka berhukum dengannya, menghakimi para musuh mereka dengannya, dan menghukum siapa saja yang menyelishinya sebagai fasik atau kafir. Mereka mempunyai beberapa landasan, iaitu Kitabullah, Sunnah Rasulullah dan apa yang disepakati oleh para Sahabat.

10. Bila dikatakan kepada Ahlussunnah: “Allah swt berfirman atau Rasulullah sallallahua’laihiwassalam bersabda, maka hati mereka mantap padanya, tidak berpaling kepada seorang pun selainnya, dan tidak menghiraukan apa kata fulan dan fulan. Sementara ahli bidáh menyelisihi hal itu.

11. Ahli bid’ah itu mengambil sunnah yang sesuai dengan hawa nafsunya, baik sahih mahupun dhaif, dan mereka meninggalkan apa yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka walaupun hadis itu sahih. Bila mereka tidak berkuasa untuk menolak hadis tersebut, maka mereka menyimpangkannya dengan takwil-takwil aneh yang merupakan penyimpangan dari tempat-tempat yang semestinya. Sementara Ahlussunnah tidak keinginan selain apa yang disebutkan hadis-hadis tersebut.

Begitulah antara perbezaan sikap seorang Ahlussunnah dengan Ahlul Batil atau Ahlul Bidáh yang sesat. Moga-moga kita termasuk dikalangan orang-orang yang terselamat dari azab Allah swt dan semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Diharapkan dengan sebuah perkongsian yang sedikit ini membuka minda kita supaya dapat menilai sikap kita terletak di mana, sama ada dalam golongan yang selamat (Ahlussunnah), atau golongan yang sesat (Ahlul Bid’ah).



Wallahua’lam, Semoga bermanfaat.

Oleh:
Abu Bakr Ahmad Humaizi
Universiti Teknologi PETRONAS.



Sumber:

[1] Merekalah Golongan Yang Selamat, terjemahan dari kitab “Khasaish ahli al-Hadis wa as-Sunnah wa bayan manhajuhun wa fadhailihim wad difa’i ánhum” oleh Syaikh Muhammad Muhibbudin Abu Zayd, Pustaka at-Tazkia, Jakarta.

Adakah Kita Telah Berbakti Kepada Kedua Ibubapa?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 5:27 PTG 0 komen


Oleh A.Humaizi

Berbuat baik kepada ibu bapa merupakan satu amalan yang besar di dalam Islam. Allah swt telah meletakkan amalan berbakti kepada ibubapa sebagai amalan yang kedua tertinggi selepas mentauhidkan Allah. Ini disebutkan di dalam banyak ayat-ayat Quran, salah satunya adalah yang bermaksud:

"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan HENDAKLAH BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBUBAPA. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (Surah al-Isra': 23-24)

Malah, amalan berbakti kepada kedua ibubapa lebih tinggi darjatnya daripada amalan sunnah yang lain serta berjihad dijalan Allah jika sekiranya jihad tersebut adalah jihad yang bukan fardhu ain, hal ini disebutkan di dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:

"Seseorang datang kepada Nabi sallallahua'alaihiwassalam meminta izin untuk berjihad. Lalu beliau sallallahua'laihiwassalam bertanya: 'Apakah kedua orang tuamu masih hidup?', Orang itu menjawab: "Ya". Maka beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda, "Hendaklah kamu berbakti kepada keduanya" (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'ei)

Dan di dalam hadis lain diceritakan oleh Muawiyyah bin Jahimah r.a:

Bahawasanya Jahimah r.a. datang kepada Rasulullah sallallahua'laihiwassalam dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang kepadamu untuk bermusyawarah'. Maka Beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda: "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" Ia menjawab, "Ya." Beliau sallallahua'laihiwassalam bersabda: "Hendaklah engkau tetap berbakti kepada ibumu kerana sesungguhnya syurga berada di bawah telapak kaki ibu" (Hadis Riwayat An-Nasae'i dengan sanad yang hasan)

Kata Ibnu Qudamah r.h di dalam kitabnya Al-Mughni membawakan alasan Nabi sallallahua'laihiwassalam menyuruh pemuda itu supaya meminta izin kepada kedua orang tua untuk ikut bersama beliau dalam berjihad, Beliau (Ibnu Qudamah) mengatakan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah fardhu ain, sedangkan jihad adalah fardhu kifayah, dan sedangkan fardhu ain lebih utama berbanding fardhu kifayah.

Sayang sekali pada zaman ini, para pemuda tidak mengetahui darjat amalan berbakti kepada orang tua, lalu mereka lebih suka mengikuti teman-teman mereka kononnya atas alasan berdakwah dan jihad, sedangkan terkadang, pemergian mereka itu tidaklah bersama keredhaan ibubapa mereka. Malah ada di antara mereka yang lebih sanggup berbohong dengan pelbagai helah di hadapan ibubapa semata-mata mengutamakan amalan yang dikatakan jihad itu, walhal, jika mereka membuka hati dan pemikiran, mereka akan ketahui, jihad yang disebutkan oleh Nabi itu adalah jihad perang! dan ianya sudah tentu lebih utama berbanding jihad-jihad yang diqiaskan sekarang ini! Oleh itu, mohonlah ampun kepada Allah atas kesilapan kita, semoga Allah menetapkan kita menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa, dan menjadi muslim yang benar-benar mengikuti petunjuk dan sunnah Rasulullah sallallahhuaálaihiwassalam.

Imam Az-Zahabi r.h di dalam kitabnya al-Kabaair telah menulis sebuah puisi tentang pengorbanan seorang ibu kepada anaknya;

Ibumu telah mengandungmu di dalam perutnya selama sembilan bulan seolah-olah sembilan tahun,
Dia bersusah payah ketika melahirkanmu yang hampir sahaja menghilangkan nyawanya,
Dia telah menyusuimu dari putingnya, dan dia hilangkan rasa mengantuknya kerana menjagamu,
Dia cuci kotoranmu dengan tangan kirinya, dia utamakan dirimu ke atas dirinya serta atas makanannya,
Dia jadikan pangkuannya sebagai ayunan bagimu,
Dia telah memberimu semua kebaikan dan apabila kamu sakit atau mengeluh tampak darinya kesusahan yang luar biasa dan panjang sekali kesedihannya dan dia keluarkan harta untuk membayar doktor yang mengubatimu,
Seandainya dipilih antara kehidupanmu dengan kematiannya dia akan meminta supaya kamu hidup! dengan suaranya yang paling keras.
Betapa banyak kebaikan ibu, sedangkan engkau balas dengan akhlak yang tidak baik,
Dia selalu mendoakanmu dengan taufik, baik secara sembunyi mahupun terang-terangan,
Tatkala ibumu memerlukanmu disaat dia sudah tua renta, engkau jadikan dia sebagai barang yang tidak berharga disisimu,
Engkau kenyang dalam keadaan dia lapar,
Engkau puas dalam keadaan dia haus,
Engkau mendahulukan berbuat baik kepada isteri dan anakmu daripada ibumu,
Engkau lupakan semua kebaikan yang pernah dia perbuat,
Berat rasanya atasmu memeliharanya padahal itu adalah urusan yang mudah,
Engkau kira ibumu ada disisimu umurnya panjang, padahal umurnya pendek.
Engkau tinggalkan padahal dia tidak punya penolong selainmu,
Padahal Allah telah melarangmu berkata "Ah!" dan Allah telah mencelamu dengan celaan yang lembut,
Engkau akan disiksa di dunia dengan durhakanya anak-anakmu kepadamu,
Allah akan membalas di akhirat dengan dijauhkanmu dari Allah Rabbul Álamin.
(Akan dikatakan kepadanya)
"Yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan yang dikerjakan oleh kedua tanganmu dahulu, dan sesungguhnya Allah sekali-kali tidak pernah berbuat zalim kepada hamba-hambaNya"- Surah Al-Hajj: 10)


Saudara-saudaraku seagama yang hatinya tetap menginginkan kasih sayang Allah, adakah kita telah benar-benar menggembirakan ibubapa kita? Atau kita lebih banyak mendukacitakan mereka?

Adakah kita lebih banyak bertanya khabar kepada mereka, atau kita lebih banyak bertanya khabar rakan-rakan kita?

Adakah kita lebih banyak menelefon mereka, atau mereka lebih banyak menelefon kita?

Adakah kita lebih gembira bersama ibubapa atau kita lebih gembira dengan rakan-rakan kita?

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, keredhaan Allah itu letaknya pada keredhaan ibubapa, ianya disebutkan didalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Redha Allah tergantung kepada keredhaan ibubapa dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan ibubapa" (HR Bukhari di dalam Adabul Mufrad -Sahih)


Semoga kita menjadi anak yang soleh, dan mendapat keredhaan ibubapa kita, dan seterusnya mendapat keredhaan Allah swt. Apakah yang lebih menggembirakan bagi seorang mukmin melainkan dia redha kepada Allah, dan Allah redha kepadanya, lalu dia dimasukkan ke dalam SyurgaNya di akhirat kelak, seperti firmanNya yang bermaksud,

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaKu" (Surah Al-Fajr: 27-30)

Semoga tulisan ini bermanfaat untuk kita semua. Wallahua'lam.





Sumber:
1. Birrul Walidain, Berbakti kepada Kedua Orang Tua, Ust Yazid Abdul Kadir Jawas

Ulasan Ceramah Brother Shah Kirit (Pengubahsuaian di dalam agama)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:42 PTG 3 komen


Oleh A.Humaizi


Selepas maghrib tadi, saya mendengar satu ceramah yang disampaikan oleh Brother Shah Kirit di Masjid UTP. Memang menarik perkongsian beliau. Ternyata, apa yang disampaikan oleh beliau sangat bermanfaat kepada pendengar-pendengar supaya lebih membuka fikiran dalam hal ehwal agama dan tidak hanya bertaqlid buta dalam mempercayai dan mengamalkan agama ini.


Brother Shah Kirit banyak kali menyebutkan tentang penyelewengan agama-agama dari sumber asal mereka iaitu kitab-kitab rujukan mereka. Disebabkan adanya modifikasi (pengubahan) di dalam agama, maka agama-agama yang ada di dunia ini menjadi tidak benar dan terseleweng dari sumber aslinya. Maka disebabkan itu, ajaran asal bagi sesuatu agama itu adalah menyembah Tuhan yang satu, dan disebabkan adanya penambahan dari manusia, maka kita melihat, ada agama-agama yang menyembah patung, pokok, manusia dan sebagainya.


Bila saya mendengar kata-kata Brother Shah Kirit ini, kata-katanya memang tidak lari dari prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang sangat-sangat menentang keras bid'ah di dalam agama. Yang dikatakan bidáh di dalam agama ini adalah sesuatu yang baru di dalam urusan ibadat kepada Allah yang tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi sallahua'laihiwassalm dan dari Quran.


Ya, Nabi sallahua'laihiwassalam selalu memperingatkan tentang bahaya bid'ah sehingga baginda mengatakan setiap bidáh itu sesat, dan setiap yang sesat itu di neraka. Tetapi malangnya ramai yang tidak mengerti erti sebenar bid'ah. Lalu, disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang bid'ah ini, mereka lebih suka menentang orang yang memerangi bidáh walhal mereka bersetuju tentang faktor kesesatan sesuatu agama itu disebabkan adanya pengubahsuaian di dalam agama tersebut. Dan lebih malang lagi, walaupun mereka tahu, kerosakan pada agama-agama lain itu disebabkan pengubahsuaian di dalam agama, sayang sekali, mereka pula secara tidak sedar telah menjadi tekong-tekong dalam melakukan hal-hal yang baru di dalam agama Islam. Rupa-rupanya, mereka juga telah menjadi perubah-perubah agama Islam ini!


Ketahuilah wahai saudaraku, keselamatan itu adalah, apabila kita mengamalkan apa yang ditunjukkan oleh Nabi sallahua'laihiwassalam dan meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh beliau yakni dalam urusan agama. Oleh itu, hendaklah setiap daripada kita ini memeriksa sama ada amalan kita di dalam agama ini benar-benar sesuai dengan petunjuk Nabi sallahua'alaihiwassalam atau tidak.


Di dalam solat misalnya, adakah benar kita merapatkan saf seperti yang Nabi sallahua'laihiwassalam ajarkan kepada para sahabatnya? Cari bertakbir, cara rukuk dan sujud, dan bacaan-bacaannya, pernahkah kita meneliti amalan kita itu sesuai dengan petunjuk Rasul? Di kala berzikir, pernahkah Nabi menjaharkan bacaan zikirnya setiap masa sehingga mengganggu orang lain ingin melakukan ibadat? Di dalam bertauhid, adakah Nabi mentakwil sifat-sifat Allah? Wahai saudaraku, carilah jawapan-jawapan ini!


Jika anda telah mengetahui tunjuk ajar Nabi sallahua'laihiwassalam, mungkinkah ada pilihan lain bagi anda untuk mendapat petunjuk? Jika ada, adakah mereka itu benar-benar mendapat jaminan pembelaan dari Allah di akhirat kelak?
Katakanlah wahai saudaraku,"Cukuplah Allah dan Rasul sebagai petunjuk bagi kami! Apabila datangnya dalil dari Quran dan Sunnah yang sahih, kami akan mendengarnya dengan khusyuk dan merendah diri. Kami tidak akan mendahulukan kata-kata sesiapapun di hadapan kalam Allah dan hadis Rasulullah. Kami menganggap, apabila kami mendengar hadis Rasulullah, kami merasakan kami mendengar secara lansung dari Nabi sallahua'laihiwassalam. Dan tidaklah ketika itu kami berani membantahnya. Kerana hadis-hadis yang sahih dari baginda juga merupakan wahyu dari Allah. Lalu kerana itu, tiadalah perkataan lain bagi kami untuk berkata kecuali, kata-kata "Kami dengar dan kami taat"

Semoga kita membersihkan diri kita dari syirik, khurafat dan bidáh di dalam amalan kita seharian. Kerana dengan terhindarnya seseorang dari penyakit-penyakit tersebut, akan menyelamatkannya di dunia dan di akhirat.


Wallahua'lam.


Semoga bermanfaat.


Oleh A.Humaizi


Di dalam Islam, kita disunnahkan untuk menyampaikan salam kepada pihak ketiga seperti yang biasa diamalkan oleh kaum muslimin dengan berkata, “Sampaikan salam saya kepada si fulan”. Biasanya pihak yang kedua akan menyampaikan salam tersebut kepada pihak ketiga dengan mengatakan, “Si fulan menyampaikan salam kepadamu”, lalu orang yang ketiga akan menjawab dengan ucapan, “Waalaikummussalam warahmatullah hiwabarakatuh”


Amalan mengirim salam ini sesuai dengan tuntutan Nabi saw seperti yang disebutkan di dalam hadis baginda yang bermaksud;

Dari Aisyah r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: “Ini Jibril datang membacakan salam kepadamu.” Aisyah berkata: “Aku mengucapkan: Wa’alaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh”. (HR Bukhari dan Muslim)

Dari hadis sahih tersebut menunjukkan bahawa, mengirim salam seseorang sudah cukup dengan lafaz, “si fulan menyampaikan salam kepada awak” atau “si fulan kirim salam kepada awak”. Tidak pula disebutkan di dalam hadis, Nabi s.a.w bila menyampaikan salam seseorang beserta dengan lafaznya seperti, “Si fulan menyampaikan salam kepadamu dengan lafaz Assalamualaikum”. Ini bercanggah dengan hadis yang disebutkan di atas di mana, Nabi saw menyampaikan salam dari JIbril kepada Aisyah hanya dengan menyebutkan ‘salam’.

Oleh itu, sebagai seorang muslim yang benar-benar menjadikan Rasulullah sebagai contoh tauladan, hendaklah kita mengikuti cara Nabi saw ketika menyampaikan salam kepada pihak ketiga. Tidak perlulah menambah-nambah dengan lafaz “Assalamualaikum” dalam menyampaikan salam kepada seseorang. Cukuplah Rasulullah sebagai contoh tauladan kepada kita semua.

Adakah salah menyebut “Assalamualaikum”


Tulisan ini bukanlah berniat untuk menyatakan perbuatan itu salah, tetapi sebagai seorang mukmin yang mengaku mencintai Nabinya SAW pasti akan mengutamakan Nabi saw dalam menjadi contoh tauladan dan ikutan kerana Nabi saw lah contoh tauladan yang terbaik berbanding manusia-manusia lain di dunia ini. Oleh itu, untuk mengeluarkan kita dari keraguan dalam beramal, hendaklah seseorang itu mengikut dalil-dalil yang jelas dari Nabi saw di dalam beramal.

Wallahua’lam.

Kenapa Saya Tidak Baca Al-Mathurat Secara Jama'e?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:39 PG 11 komen

Oleh A.Humaizi


Dahulu saya pernah tertanya-tanya, kenapa para Ustaz jarang sekali bersama-sama orang ramai dalam majlis zikir seperti halaqah mathurat, membaca surah Yassin setiap Khamis malam Jumaat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai pada setiap malam, membuat majlis tahlil dan pelbagai amalan-amalan lain yang menjadi tradisi masyarakat Melayu.

Setelah saya mengetahui sebabnya dan saya meninggalkan amalan-amalan tersebut, mungkin ada yang kehairanan, kenapa saya tidak hadir ke majlis-majlis seperti majlis membaca al-mathurat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai (Liqa’ Al-Mulk), membaca yassin pada setiap malam Jumaat, majlis tahlil (sedekahkan pahala kepada orang mati) dan lain-lain majlis seumpamanya. Sepertinya saya ini tidak suka dengan majlis mengingat Allah swt. Ianya membuat saya tersenyum jika ada orang yang berprasangka sedemikian.

Syarat-syarat Ibadah Diterima oleh Allah(1)

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, telah banyak disebutkan oleh para ulama muktabar tentang syarat-syarat diterimanya sesuatu ibadah oleh Allah swt. Sesuatu amalan itu tidak akan diterima oleh Allah swt sekiranya tidak menepati kesemua syarat-syarat tersebut.

Syarat-syarat asas penerimaan sesuatu ibadah itu ada dua iaitu;

1. Ikhlas

Sesuatu amalan tidak akan diterima selagi tidak ikhlas hanya kerana Allah swt. Maksud ikhlas dalam ibadah ialah meniatkan segala ibadah semata-mata kerana Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu dan tanpa sebarang riya’ dan takabbur dalam mengerjakannya. Allah swt telah berfirman yang bermaksud;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. – (Surah Az-Zumar: 11)

Kemudian sabda Nabi s.a.w yang bermaksud;

” Sesungguhnya segala amalan-amalan adalah atas niatnya masing-masing dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu adalah apa yang telah dia niatkan. Barangsia yang hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya (akan diterima) kerana Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan ia perolehi dan wanita yang hendak dinikahinya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju (dunia dan wanita)” – (HR Bukhari dan Muslim)(2)

2. Mengikuti sunnah Rasulullah saw

Sesuatu amalan ibadah tidak akan diterima selagi tidak menepati petunjuk (Sunnah) Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud;

”Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (Surah Al-Hasyr: 7)

Oleh kerana itu, Rasulullah saw pernah memberi amaran bahawa sesuatu amalan ibadah itu akan ditolak sekiranya tidak bersumber/bertepatan dengan pentunjuknya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

”Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan tanpa dasar perintah kami, maka ianya tertolak” (HR Muslim)

Oleh kerana itu, dalam menafsirkan ayat ke-2 surah Al-Mulk yang bermaksud;

”Untuk menguji kamu, siapa yang lebih baik amalnya”

Maka Al-Fudhail Bin Iyadh (wafat: 187H) seorang ulama generasi tabi’ut tabieen yang masyhur telah berkata:

”Seikhlas-ikhlasnya dan sebenar-benarnya.” Kemudian beliau ditanya: ”Apakah seikhlas-ikhlas dan sebenar-benarnya?” Jawabnya: ”Sesungguhnya amalan-amalan yang ikhlas tetapi tidak benar, maka ianya tidak diterima. Dan sekiranya amalan itu benar, tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak diterima. Sehinggalah (sesuatu amalan itu) mempunyai ikhlas dan benar (barulah diterima oleh Allah). Ikhlas itu ialah diamalkan kerana Allah dan benar itu ialah mengikuti sunnah (Rasulullah saw).”

Setelah seseorang mengetahui syarat-syarat sesuatu ibadah itu diterima oleh Allah swt, maka hendaklah dia berusaha mengikhlaskan niat kerana Allah swt dan belajar beribadah sesuai dengan tuntutan sunnah Rasulullah saw.

Masalah-masalah amalan masyarakat Melayu

Jadi, apakah sebabnya saya meninggalkan amalan-amalan yang saya nyatakan diatas? Saya tidak akan menyentuh bab ikhlas, kerana ikhlas itu dinilai oleh Allah swt. Tetapi sebagai seorang manusia, kita boleh menilai sesuatu itu dengan melihat zahir perlakuan/amalan seseorang sama ada betul atau tidak.

1. Membaca Al-Mathurat secara berjemaah - Membaca doa-doa yang mathur dari Nabi saw itu adalah sunnah, TETAPI membaca doa secara beramai-ramai dengan membuat halaqah (bulatan), membacanya dengan kuat (jahar), dan terdapat pula seorang yang mengepalai bacaan doa sambil diselang-seli dengan wirid Rasulullah maka kesemua itu tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Maka kerana itu, membaca doa tersebut adalah benar, tetapi CARAnya telah menyanggahi sunnah Rasul saw.

2. Membaca surah Al-Mulk secara berjemaah (Liqa’ Al-Mulk) – Membaca surah al-Mulk itu sunnah, tetapi melakukannya secara beramai-ramai secara jahar, dan diketuai oleh ketua (tekong), maka itu bukan pentunjuk dari Rasulullah.

Anda memang digalakkan membaca surah Al-Mulk berdasarkan hadis;

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: ”Dari sebahagian al-Quran adalah satu surah yang terdiri dari tiga puluh (30) ayat, dia memberi syafaat pada seseorang hingga diampuni (dosa-dosa) untuknya, iaitu surah’ tabarakal lazi biyadihi mulk’ (Surah al-Mulk)” – (HR Abu Daud dan Tirmidzi, dia berkata ”Hadis Hasan”)(3)

Juga terdapat juga hadis yang menyebutkan kelebihan membaca surah al-Mulk ini pada setiap malam sebelum tidur tetapi saya tidak memasukkan hadisnya di sini kerana tidak mengetahui darjat hadis berkenaan.

3. Membaca Yassin berjemaah setiap khamis malam jumaat – sama halnya seperti di atas, membaca surah yassin dan juga surah-surah di dalam al-Quran itu adalah sunnah dan digalakkan. TETAPI tidak pernah diajarkan oleh Nabi saw untuk mengkhususkan membaca Surah Yassin pada hari-hari tertentu, malah Rasulullah melarang kita mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat selain apa yang telah beliau khususkan seperti menunaikan solat Jumaat, membaca surah al-Kahfi dan banyakkan berdoa. Hadis yang menunjukkan haramnya mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat adalah;

"Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk berqiam dari malam-malam lain, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa dari hari-hari lain, melainkan telah menjadikan puasa kebiasaan dikalangan kamu" [hadith Riwayat Muslim; #1144)(4)

”Kami Buat Amalan Tersebut Untuk Tujuan Didikan”

Ramai pelaku-pelaku amalan tersebut beralasan, mereka melakukan amalan-amalan fardhi (individu) secara berjemaah bertujuan mendidik masyarakat.

Maka saya menjawab,

”Benar, Rasulullah pun pernah zikir selepas solat secara jahar bertujuan mengajar makmum (para sahabat). Tetapi Rasulullah saw memberhentikannya setelah mendapati para sahabatnya telah mengetahui zikir-zikir yang disunnahkan. Kemudian mereka berzikir secara sendiri-sendiri (5). Maka di sini jelaslah kepada kita, proses pendidikan itu hendaklah diberhentikan setelah mendapati orang-ramai telah mengetahuinya. Sayangnya, masyarakat sekarang ini umpamanya masih belum pandai berzikir sehingga imam terpaksa membacanya secara jahar. Lebih memburukkan lagi, zikir secara jahar ini telah menjadi amalan berterusan dan kebiasaan masyarakat kita. Dan dikhuatiri, ianya boleh menjatuhkan kita ke dalam bid’ah.

Oleh kerana itu, jika anda beralasan amalan-amalan tersebut sebagai pendidikan, maka beritahukan kepada saya, bila waktunya untuk anda memberhentikan amalan tersebut (secara berjemaah). Bukankah orang ramai yang mengikuti majlis anda (majlis zikir) tersebut sudah pandai membaca mathurat, membaca quran dan zikir? Jadi, jika benar amalan itu sebagai pendidikan, maka saya menunggu ’anak didikan’ anda pandai berzikir sendiri tanpa perlu diajar lagi. Jika tidak, maka nampaknya pendidikan yang anda terapkan gagal memandaikan mereka berzikir mengikut sunnah Rasulullah saw.

Wallahua’lam.

Semoga bermanfaat


Rujukan

1. Ismail Bin Omar, Manhaj Aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah, Access Infotech Sdn Bhd, Malaysia.

2. Hadis 40, Imam An-Nawawi. Media Insani, Indonesia.

3. Terjemahan Riadhus Solihin, Imam An-Nawawi. Duta Ilmu Surabaya. Indonesia.

4. Soal Jawab Doa dan Zikir, http://qazikirdandoa.blogspot.com/

5. Kitab Fikh Mazhab Syafie, Bab Solat, Pustaka Darus Salam, Malaysia)

Makan Dengan Tangan Kanan Atau Kiri?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:03 PTG 0 komen


Oleh A.Humaizi


Sejak kecil, kita sering diasuh oleh ibubapa supaya makan dengan tangan kanan, dan kita dilarang untuk makan dengan tangan kiri.

Sayangnya, bila sudah besar, didikan tersebut makin dilupai, malah lebih teruk lagi, ibubapa yang mengajarkan anak-anaknya hanya pandai mengajar, tetapi tidak pandai mengamalkannya. Oleh itu, marilah kita melihat sebentar, anjuran dari Nabi s.a.w kepada kita supaya menggunakan tangan kanan ketika makan.

Makan dengan tangan kanan (1)

Nabi saw pernah menegur Umar Ibn Abu Salamah ketika makan, ianya disebutkan dalam hadis,

Dari Umar Ibn Abu Salamah r.a., dia berkata: "Rasulullah saw bersabda kepada saya: "Sebutlah nama Allah (Bismillah) dan makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah dari yang terdekat denganmu." (HR Bukhari dan Muslim)

Orang yang mengikari sunnah Nabi saw iaitu sunnah makan dengan tangan kanan diancam keras oleh Nabi saw. Disebutkan di dalam hadis tentang orang yang enggan makan dengan tangan kanan setelah disarankan oleh Nabi saw ;

Dari Salamah Ibn al-Akwa' r.a bahawasanya seorang makan di hadapan Rasulullah saw dengan tangan kirinya, maka baginda s.a.w bersabda: "Makanlah dengan tangan kananmu." Dia menjawab: "Saya tidak bisa (tidak boleh)." Baginda saw bersabda: "Semoga kamu tidak bisa!" Dia tidak mahu hanya kerana kesombongan. Dia berkata: "(Akhirnya) dia benar-benar tidak bisa mengangkat tangan kanannya ke mulutnya." (HR Muslim)

Tidaklah termasuk dalam hal ini orang-orang yang memang uzur untuk makan dengan tangan kanan misalnya tangan cedera, tangan kudung dan seumpamanya. Hal seperti ini dimaafkan di dalam agama.

Firman Allah swt yang bermaksud, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Surah Al-Baqarah : 286)

Makan dan minum dengan tangan kiri MENYERUPAI SYAITAN (2)

Orang-orang yang makan dan minum menggunakan tangan kiri menyerupai perbuatan syaitan. Hal ini disebutkan oleh Nabi saw dalam hadis yang sahih di bawah;

“Jangan kamu makan dengan tangan kiri , kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kiri” (HR Imam Muslim : 2019)

“Apabila kamu ingin makan , maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila ingin minum , maka minumlah dengan tangan kanan.Sesungguhnya , syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.”(HR Imam Muslim : 2020)

Penutup

Oleh itu, hendaklah kaum muslimin sekalian memerhatikan betul-betul amalan sehariannya supaya tidak menyanggahi sunnah Nabi saw. Janganlah melihat sunnah-sunnah seperti ini sebagai kecil , tetapi setiap muslim wajib mengikuti petunjuk Allah dan Rasul dalam menentukan cara hidupnya (ad-din) kerana dengan mengikuti sunnah Rasulullah menandakan bukti kecintaan kita kepada Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali Imran: 31)

Sebagai seorang muslim, cukuplah Rasulullah saw sebagai pedoman kepada kita dalam beragama, kerana Rasulullah saw merupakan contoh tauladan yang terbaik dari kalangan manusia seluruhnya, firman Allah swt yang bermaksud;

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. " (Surah Al-Ahzab: 21)

Marilah sama-sama kita mencintai sunnah Rasulullah saw, agar kita mendapat rahmat dan keampunan dari Allah swt.

Semoga bermanfaat.


----------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber:

(1) Terjemahan Riadhus Solihin, Imam An-Nawawi.

PATUT ATAU TAK PATUT?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 6:49 PTG 0 komen


Oleh A.Humaizi

Patut atau Tak patut?


Berhibur,

Tak berani aku katakan hiburan itu haram secara total,

Kerana jiwa manusia itu suka dengan berhibur.

Terkadang aku terfikir,

Mengapa manusia bersungguh-sungguh mencari hiburan,

Seoalah-olah hiburan itu di tangga yang pertama.

Hari-hari entah berapa jam telinganya didengarkan dengan muzik,

Ada yang rock, balada, nasyid, hiphop dan lain-lain lagi.

Entah berapa jam pula mata mereka dihidangkan dengan cerita-cerita seram, kelakar dan kesedihan.

Entah berapa ringgit pula wang mereka di habiskan semata-mata mencari hiburan, tiket wayang, beli kaset, beli cd, komik dan macam-macam lagi.

Ah, sepertinya manusia ini hidupnya untuk berhibur!

Bukanlah aku ingin katakan hiburan itu haram.

Tapi aku ingin nyatakan,

ADAKAH PATUT atau TIDAK PATUT?

Adakah patut muzik tidak kira apa jenis lagunya didengari lebih banyak dari bunyinya alunan Quran? Sedangkan Quran itulah penenang jiwa.

Adakah patut kita mendengar nasyid sampai dua jam sehari, tapi mendengar bacaan al-Quran hanya 10 minit sehari?

Nampaknya nasyid itu mungkin lebih baik dari lagu-lagu lain, tapi adakah patut nasyid itu lebih banyak didengari berbanding bacaan Quran?

Sekali lagi aku nyatakan,

Bukanlah aku ingin katakan hiburan itu haram.

Tapi aku Cuma ingin bertanya kepada diri,

ADAKAH PATUT, atau TIDAK PATUT?

Adakah patut engkau suapkan jiwa engkau dengan muzik berbanding Al-Quran?

Adakah patut engkau isi minda engkau dengan muzik berbanding al-Quran?

Wahai insan yang mempunyai jiwa,

Bukanlah aku ingin katakan hiburan itu haram.

Tapi ambillah ia sekadarnya sahaja.

Dan tidak berlebih-lebihan.

Lebihkanlah hal-hal yang lebih bermanfaat dalam dirimu,

Lebihkan mendengar al-Quran berbanding Nasyid atau muzik-muzik yang lain,

Lebihkan mendengar majlis-majlis ilmu berbanding menonton cerita-cerita di TV.

Lebihkan wang anda untuk bahan-bahan ilmu berbanding bahan-bahan hiburan.

Kesimpulannya,

Lebihkan masamu untuk hal-hal yang lebih berfaedah untuk dunia dan akhiratmu.

Semoga umur kita ini banyak diisi dengan hal-hal yang bermanfaat, berbanding hal yang kurang bermanfaat.

Moga-moga dengan soalan PATUT atau TIDAK PATUT,

Menjadikan kita berubah ke arah yang lebih baik secara beransur-ansur.

Wallahua’lam

Semoga bermanfaat.

Pendakwah Pemaki Hamun

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:59 PG 6 komen

Oleh A.Humaizi

Pernahkah anda terjumpa dengan pendakwah yang suka memaki hamun?
Ya, saya pun biasa menjumpainya. Kita nampak mereka biasa menuturkan ayat-ayat Quran dibibirnya, lalu dengan begitu mudah menabur fitnah, mencaci, menyesatkan orang, mengatakan orang lain munafik, tidak kurang jugak yang mengatakan orang lain musyrik dan kafir!

Sikap seperti ini sama seperti sikap puak Khawarij. Pihak Khawarij suka mengkafirkan orang-orang yang melakukan dosa besar. Mungkin di negara kita ini amat jarang sekali kita menjumpai orang mengkafirkan puak-puak lain, tetapi kita sering jumpa dengan orang yang suka label orang lain sebagai "Puak Munafiq"!

Waa, sungguh hebat mereka ini! Sedangkan pada zaman Rasulullah pun, walaupun Rasulullah tahu Abdullah Bin Ubai seorang yang Munafik Tulen, tetapi baginda tidaklah menghebah-hebahkannya kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Hanya sahabat tertentu sahaja yang tahu perihal siapakah orang munafik di zaman Rasulullah saw.

Tapi di zaman kita, ada pihak yang begitu mudah mulutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kononnya nampak 'Islam', tapi hakikatnya penuh dengan sifat kemunafikan. Alasan mereka untuk menghalalkan semua itu adalah "Menentang Kezaliman".

Marilah kita hayati firman Allah yang bermaksud

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya." - (Al-Baqarah : 11-12)

Berhati-hatilah wahai kita semua! Mungkin apa ya
ng kita ucapkan nampak ringan di mulut kita, tapi ianya berat di sisi Allah swt.

Hayati firman Allah swt bermaksud;

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." (An-Nur: 15)

Dan juga sama-sama kita hayati hadis Nabi saw di bawah ini;

Nabi saw bertanya kepada Muaz Ibn Jabal "Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala perkara tersebut? Aku (Muaz) berkata: Mahu ya Rasulullah! Lalu Baginda memegang lida
hnya seraya bersabda: Peliharalah benda ini! Aku berkata: Ya Nabi Allah! Adakah kita akan diseksa lantaran apa yang dibicarakannya? Baginda bersabda: lbumu akan kehilanganmu wahai Mu'az! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya - atau Baginda bersabda - dihumbankan batang hidungnya ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanaman lidah-lidah mereka.
(HR Tirmidzi - Sahih. Sumber Hadis ke 29 dari kitab hadis 40 oleh Imam Nawawi)

Oleh itu, marilah kita menjadi seorang mukmin yang sentiasa memelihara lidah kita dari berkata perkara-perkara yang tidak sepatutnya diucapkan
oleh seorang muslim.

Semoga bermanfaat.

P/s:

Saja nak share satu gambar sebagai pengajaran. Saya tidak tahulah apa niat sebenar saudara kita seorang ni menulis statusnya seperti ini. Tetapi, menyamakan pihak-pihak tertentu yang semuanya muslim dengan MUSYRIK adalah satu sika
p yang melampau. Wallahua'lam, semoga Allah mengampuni penulis status tersebut.



Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 8:05 PTG 6 komen



Oleh: A.Humaizi

Pada hari ini, Khamis 7 Mei 2009, ada beberapa kali saya membelek dua akhbar online iaitu Harakahdaily dan Utusan Online. Berita yang paling hangat di dalam kedua-dua akhbar tersebut adalah mengenai isu di Perak iaitu negeri tempat saya dibesarkan.

Sebenarnya agak merunsingkan kepala otak saya bila membaca berita-berita mengenai isu di Perak ini. Sejak beberapa bulan lalu lagi saya sudah kepeningan dengan isu politik di Perak, sehingga saya sendiri naik muak dengan politik dan akhirnya saya pernah penulis tentang buruknya perangai orang politik. (Baca : Buruknya Perangai Orang Politik)

Pada awal terjadinya isu di Perak, saya pernah menulis satu artikel ringkas sebagai jalan penyelesaian di Perak dan artikel ini saya pernah siarkan di beberapa lawan web dan saya emailkan kepada sahabat-sahabat lain sebagai satu buah fikiran. Dan sememangnya terdapat komen yang pro dan kontra terhadap artikel saya ini. Walaubagaimana pun, saya tetap juga mempunyai pendirian yang sama seperti dahulu tanpa berubah sedikit pun tentang isu di Perak.

Perlulah para pembaca sekalian ketahui bahawa, saya tidak menyentuh sama sekali hal ehwal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Segala keputusan tentang undang-undang, saya serahkan kepada Mahkamah untuk menentukan keputusannya. Kerana saya tidak pernah sekalipun membaca ataupun melihat isi kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Oleh itu, saya tidak dapat menilai isu ini berdasarkan aspek perundangan, lebih-lebih lagi saya bukanlah ahli dalam bidang tersebut.

Wallahua'lam. Tulisan ini sekadar pendapat saya semata-mata mengikut kadar ilmu yang dikurniakan Allah kepada saya. Jika ada kesilapan dalam menghuraikan dalil-dalil Quran dan Sunnah minta pencerahan dari yang pakar.

Sekian terima kasih, Selamat Membaca.


Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!
Allah Swt memerintahkan kepada kaum muslimin supaya mentaatiNya, Rasulnya dan Pemerintah di kalangan kaum muslimin seperti yang diperintahkan dalam Surah An-Nisa : 49,

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Nabi saw telah menggariskan supaya segala arahan pemerintah wajib ditaati selagi ianya tidak melanggar syariat Islam. Ini disebutkan dalam hadis baginda yang bermaksud,

Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). (Hadis Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469)

Umat Islam juga diperintahkan sentiasa taat kepada pemerintah dan dilarang memeranginya walaupun mereka melakukan perkara yang zalim. Ini disebutkan di dalam hadis yang bermaksud;

Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama'ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849)
Imam Ibnu Abil Izzi rahimahullah berkata:

"Adapun taat kepada penguasa tetap wajib sekalipun mereka zalim, kerana keluar dari ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan keburukkan yang banyak melebihi kezaliman mereka. Bahkan sabar di atas kezaliman penguasa adalah penghapus dosa, melipat gandakan pahala, kerana tidaklah Allah menimpakan hal itu kecuali kerana keburukkan perbuatan kita sendiri. Balasan itu setimpal dengan perbuatan. Wajib bagi kita untuk bersunguh-sungguh meminta ampun kepada Allah, taubat dan memperbaiki diri. Maka apabila rakyat ingin membebaskan diri dari kezaliman penguasa hendaklah mereka mengawali dengan meninggalkan perbuatan zalim pada diri mereka sendiri." (Syarah al-Aqidah at-Thohawiyyah, 2/542)

Alangkah bagusnya ucapan Abdul Malik bin Marwan ketika berkata: "Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian menghendaki dari kami seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar, akan tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi di zaman Abu Bakar dan Umar". (Sirojul Muluk, hal.100))

Sesungguhnya Allah Bersama Orang Yang Bersabar

Walaupun seseorang itu terasa dizalimi oleh pemerintah, maka ketika itu, adalah lebih baik dia bersabar dan tidak melakukan sebarang pemberontakan atau menunjukkan sikap tidak puas hati, kerana pemberontakan terhadap pemerintah akan mengundang kemudharatan yang lebih besar.

Telah disebutkan dalam kisah-kisah para ulama muktabar sepanjang sejarah Islam, mereka dipenjara dan disebat seperti Imam Ahmad, dibuang negeri seperti Imam Nawawi, tetapi mereka tetap bersabar tanpa membawa pengikut-pengikut mereka keluar memerangi atau menjatuhkan pemerintah walaupun ada pemerintah di zaman mereka yang beraqidah dengan aqidah Muktazilah yang sesat.

Demikianlah, contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ulama-ulama silam supaya ianya menjadi pedoman dan ikutan kepada kaum muslimin seluruhnya. Inilah tanda-tanda kekuatan iman yang dibuktikan oleh tokoh-tokoh ulama Islam dalam berhadapan dengan pemerintah yang zalim.

Allah swt berfirman, maksudnya,

"Sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang sabar"

Di antara dua kemudharatan, pilihlah kemudharatan yang kecil

Demikianlah, disebutkan dalam usul fiqh, jika bertembung dua kemudharatan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih kecil.

Islam telah mengajar umatnya supaya berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan. Umat Islam disuruh supaya menilai sesuatu tindakan dan mengkaji kesan yang bakal diperoleh dari tindakan tersebut, lalu Islam menuntut umatnya memilih tindakan yang paling tepat dan tidak merugikan kepentingan kaum muslimin sekalian.

Isu Di Perak

Oleh itu, dalam menilai situasi di Perak, pada pendapat saya, Ir Nizar dan exco-exconya wajib taat kepada ulil amri iaitu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memerintahkan mereka supaya meletakkan jawatan mereka selaku exco kerajaan negeri dan Menteri Besar dengan baik tanpa mengadakan sebarang bantahan di jalanan yang akhirnya bakal membawa kesan buruk kepada masyarakat seperti kacau bilau, tindakan keras pihak berkuasa dan macam-macam lagi perkara yang mungkin kita tidak fikirkan untuk terjadi.

Tindakan meletakkan jawatan sebenarnya akan lebih mententeramkan keadaan yang sedang panas dan pihak Pakatan Rakyat sebenarnya tidak perlu cepat melatah jika mereka yakin mereka di pihak yang benar.

Ingatlah wahai saudara-saudaraku, merundur sedikit ke belakang itu bukan bermakna anda kalah! Tetapi berundurnya anda seketika tanda anda mengumpul kekuatan. Tidak kiralah kekuatan dari segi strategi mahupun kekuatan iman!

Tuntut Keadilan Dengan Bermaruah!

Saya selaku orang awam yang tidak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam isu di Perak hanya dapat membaca akhbar-akhbar seperti Utusan, Harakah dan lain-lain sumber media yang ada. Boleh jadi, setiap media tersebut benar dalam penyampaiannya, boleh jadi tidak. Maka disebabkan itu, saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat tindakan, supaya saya tidak tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan sebagai orang yang menyesal di atas tindakan salahnya, (Rujuk Surah Al-Hujurat).

Disebabkan banyaknya kecelaruan di kalangan rakyat, maka banyaklah rakyat bertindak mengikut batas pengetahuan yang mereka ada, dan yang paling malangnya, mereka bertindak atas dasar emosi yang akhirnya mencemarkan imej "keislaman" mereka. Dan lebih malang lagi, terjadinya permusuhan dan pergaduhan antara pihak yang terlibat.

Maka kerana itu, bila Ir Nizar dan exconya meletak jawatan, dan keadaan kembali tenang, maka ketika itu, tuntutlah keadilan di Mahkamah.

Jika anda yakin anda dipihak yang benar, maka ketahuilah, Jika anda menang, anda menang dengan bermaruah! Tetapi jika anda kalah sekali pun, anda kalah dengan bermaruah jua! Kerana anda tahu, keadilan yang mutlak akan disempurnakan oleh Allah swt di akhirat nanti. Maka bersabarlah dan tenanglah wahai saudaraku, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar!

Kesimpulan

Kita telah menyaksikan betapa, sebenarnya demokrasi ini TIDAK banyak membantu masyarakat kita untuk bersatu, MALAH IANYA BANYAK MENYEBABKAN PERPECAHAN melainkan kita kembali kepada agama Allah iaitu agama Islam. Kerana, terbukti orang-orang yang bersatu atas dasar iman, lebih kuat ukhwahnya berbanding orang-orang yang bersatu kerana keduniaannya.

Oleh kerana itu, tidak perlulah kita berslogan dan berkempen untuk mempertahankan prinsip demokrasi kerana ia sebenarnya punca perpecahan manusia. Kita selaku orang-orang yang percaya bahawa demokrasi hanyalah wadah dan alat semata-mata dan disebabkan jalan dan alat ini banyak kekurangan dan banyak pula bahayanya kepada umat, maka eloklah kita fikirkan kembali betapa perlunya kita berhati-hati dalam melangkah dan menggunakannya supaya parang tak makan tuannya dan duri di jalanan tak tertusuk di kaki.

Sebagai kesimpulan, taatlah kepada ulil amri, wala'lah kepada mereka walaupun tidak memihak kepada anda. Inilah sebenarnya yang dikehendaki dari tarbiyyah kalian! Maka zahirkanlah kesan dari tarbiyyah kalian! Disebabkan itu bersabarlah walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan. Ingatlah! Sesungguhnya setiap kesusahan pasti ada kesenangan.

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. http://an-nawawi.blogspot.com/2007/12/sikap-rakyat-terhadap-pemerintah-yang.html

Selamat Hari Lahir !

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 10:29 PG 1 komen



Humaizi, umurmu masih muda sebenarnya,
badanmu masih kuat dan berupaya,
Akalmu masih cerdas dan kuat,
Kesihatanmu masih baik dan sempurna,

Gunakan waktu mudamu untuk kebaikan, sebelum datang waktu tuamu yang banyak kekurangan. Ketahuilah, betapa ramai orang tua yang menyesal kerana waktu mudanya tidak pernah diisi dengan kekuatan dan kebajikan. Dahulunya mereka tidak pernah mengisi diri mereka dengan ilmu dan melakukan kebajikan.


Humaizi,
Pedulikan orang-orang yang menyatakan waktu muda itu waktu untuk bersuka ria!
Ketahuilah, mereka itu bakal menjadi orang yang menyesal di waktu tuanya! Semoga kita insaf dengan hakikat hidup ini. Semoga kau berjaya.

Semoga nasihat ini berguna untuk dirimu dan diriku.



Abu Bakr Al-Humaidi.
Shazu Engineering Sdn Bhd.
Shah Alam.

Aku Ingin Berubah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 6:17 PTG 0 komen



Oleh A.Humaizi


Terfikir sejenak, betapa diri ini selalu sangat lupa dek kerana leka dengan dunia dan nafsu. Walaupun telah dikurniakan ilmu oleh Allah swt dan diri mampu menilai baik dan buruknya dunia ini, tetapi diri tetap begitu malah makin kecundang dihayut gelombang duniawi. Begitulah manusia, terkadang jiwanya meluak-luak ingin kembali kepada fitrah, tetapi dirinya tetap memilih jalan kegelapan.

Ya, aku ingin berubah dan kembali kepada jalan yang benar! Aku ingin kembali sujud dan menghina diri kepada Tuhanku. Tetapi mengapa aku gagal mencapai keinginginan ku?

Bila terdengar peringatan-peringatan agama, hati tersentuh dan menggeletar. Terasa diri ingin kembali kepada fitrah yang sebenar. Mata dikunci dari kemaksiatan, mulut ditutup rapat dari kata yang sia-sia, kemaluan ditahan dari kejahatannya, tangan dan kaki pula digari dari melakukan fitnahnya. Ah, rupanya ianya bertahan seketika. Kelak selepas itu, ia kembali seperti biasa. Tetapi hati tetap meronta-ronta ingin kembali kepada jalan agama.

Dalam kekusutan memikirkan diri yang ingin, tetapi tidak mampu, terasa gundah di hati dan terasa serabut difikiran. Bagaimanakah diri ini mampu kembali kepada fitrah?

Teringat aku akan ayat Quran yang bermaksud;

"Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki"

Ternyata, jiwa manusia ini akan sedih dengan ayat ini. Mengapa? Kerana jiwanya terasa belum diberi petunjuk oleh Allah swt.

Teringat lagi akan hadis Qudsi yang bermaksud;

" Wahai hamba-hambaKu ! Kamu sekelian sesat, kecuali siapa yang telah Aku berikan hidayah kepadanya. Maka hendaklah kamu minta hidayah daripadaKu, nescaya Aku akan memberi hidayah itu kepadamu" - (Hadis 40 oleh Imam An-Nawawi)

Bila teringat hadis ini, jiwa manusia kembali bersinar dengan harapan baru. Rupa-rupanya manusia tidak meminta supaya diberikan hidayah kepadanya.

Maka dia pun berdoa dalam jiwanya
,
"Ya Allah, setelah Kau beri ilmu kepadaku, ternyata ilmu ini tidak banyak memberi manfaat kepada diriku, malah terkadang aku ini seperti manusia yang tidak diberi ilmu dan tidak diberi petunjuk. Ya Allah, Engkaulah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, maka kurniakan aku petunjuk kepada jalanMu, Ya Allah! Kurniakanlah aku kekuatan untuk melaksanakan syariatMu. Sesungguhnya, segala kekuatan adalah milikMu Ya Allah"

Ternyata, doa itulah senjata orang-orang mukmin. Doa telah membangkitkan keyakinan dan semangat orang mukmin untuk meneruskan kehidupan dengan syariat Allah. Dengan doalah, orang-orang mukmin tidak putus harapan kepada Allah swt.

Benarlah apa yang dijanjikan oleh Allah,

"Berdoalah, nescaya akan Ku kabulkan permintaanmu".

Semoga bermanfaat.