Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label protajdid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label protajdid. Papar semua catatan

Perbezaan Sikap di antara Ahlussunnah dengan Ahlul Batil (Ahlul Bid’ah)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:23 PG 7 komen


Oleh A.Humaizi


Ketahuilah wahai saudaraku, akidah Ahlussunnah wal Jamaah itu mempunyai prinsip-prinsip tertentu supaya ianya dapat dibezakan dengan akidah yang sesat iaitu akidahnya Ahlul Bid’ah. Selain seseorang itu mengetahui tentang bid’ah-bid’ah yang kecil iaitu bid’ah dalam amalan, dia juga perlulah mengetahui tentang bid’ah yang besar iaitu bid’ah di dalam akidah. Ini adalah kerana, bid’ah yang kecil itu, jika dibiarkan secara berterusan, ianya boleh menjadi penyakit kepada pemikiran seseorang muslim yang akhirnya mencelarukan akidahnya. Bagaimana penyakit yang kecil boleh merebak menjadi besar? Kerana mereka pada mulanya menganggap remeh bid’ah-bid’ah yang kecil sehingga akhirnya mereka membina prinsip-prinsip agama mengikut hawa nafsu sendiri untuk menghalalkan bid’ah kecil itu, lalu dengan prinsip-prinsip sesat itu, terjadilah pemikiran-pemikiran baru yang sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah. Lalu, prinsip-prinsip sesat tersebut menjadi doktrin dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.

Maka tidak hairanlah, banyak hadis-hadis Rasulullah sallallahua’laihiwassalam yang memperingatkan para sahabat tentang perpecahan umat yang bakal berlaku selepas kewafatan baginda. Ini adalah seperti sabdaan baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Najih Irbadh Bin Sariyah r.a. berkata:

Rasulullah saw pernah menasihati kami dengan nasihat perpisahan yang meluluhkan hati dan mencucurkan air mata. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, sepertinya ini adalah nasihat perpisahan kerana itu berilah kami nasihat”. Beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepada kalian untuk tetap menjaga ketaqwaan kepada Allah azza wajalla, tunduk dan taat (kepada pemimpin) meskipun kalian dipimpin oleh hamba sahaya. Kerana orang-orang yang hidup sesudahku akan melihat berbagai perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku, dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah kuat-kuat sunnah itu dengan gigi gerahammu dan hindarilah ajaran-ajaran yang baru (dalam agama), kerana semua bid’ah itu sesat.”(HR Abu Daud dan Tirmidzi, ia berkata, “Hadis ini Hasan Sahih”)

Dari hadis ini, dapatlah kita ketahui bahawa, perpecahan itu adalah sunnatullah dan pasti berlaku. Walaupun Nabi mengkhabarkan perpecahan yang bakal terjadi, tetapi, di dalam masa yang sama, Nabi saw memerintahkan para sahabat supaya tetap berpegang kepada sunnahnya dan sunnah Khulafaur Rasyidin. Dapatlah kita ketahui di sini, dua perkara yang berbeza, iaitu ketentuan Allah dan perintah Allah.

Allah telah menentukan, manusia di akhir zaman ini akan berpecah belah dan penuh dengan kerosakan, tetapi perintah dari Nabi saw adalah supaya para sahabat tetap berpegang teguh dengan sunnah dan tidak terikut-ikut dengan golongan-golongan yang sesat. Maka, janganlah ada dikalangan manusia ini yang menyalahkan suasana persekitarannya yang merosakkan dirinya. Tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya kerana dia tidak memelihara dirinya dari kerosakan yang ada.

Apakah permasalahannya jika manusia ini berpecah? Dan apakah kepentingan yang menyebabkan kita menghebah-hebahkan hadis tentang perpecahan ini? Atau, adakah kita suka dengan dengan perpecahan?

Tidak! Kita bukanlah gembira dengan perpecahan! Malah kita sangat meloba-lobakan kesatuan! Dan kita tidak akan menyebutkan permasalahan ini secara besar-besaran melainkan kerana ianya adalah hadis Rasulullah saw yang juga merupakan wahyu. Boleh jadi, jika perkataan perpecahan itu diucapkan oleh orang biasa, sudah tentu dia akan dihina dan dihamun. Tetapi, insan yang menyebutkan permasalahan ini adalah Rasulullah saw sang kekasih Allah! Bukanlah beliau menyebutkan hal ini dengan hawa nafsu semata-mata! Ianya adalah adalah wahyu dari Allah.

Permasalahannya bukanlah kepada takdir Allah itu yang menetapkan manusia itu berpecah, tetapi permasalahannya adalah, saya dan kalian berada di dalam kelompok mana? Sama ada kelompok yang mengikuti sunnah Nabi dan sunnah Khulafaur Rasyidin, atau di kelompok bid’ah yang sesat?

Maka dalam hal ini, sukalah saya berkongsi dengan kalian, apa yang disebutkan oleh Ibnu Qayyim r.h yang saya kutip dari sebuah buku yang bertajuk, ‘Merekalah Golongan Yang Selamat’. Antara sikap Ahlul Sunnah wal Jamaah yang membezakannya dengan ahlul bid’ah adalah;

1. Ahlussunnah meninggalkan perkataan manusia demi mengikuti sunnah, sedangkan ahli bid’ah meninggalkan sunnah demi mengikuti perkataan manusia. (pent- manusia di sini boleh jadi tokoh-tokoh, syaikh-syaikh mereka, ustaz-ustaz mereka dan lain-lain)

2. Ahlussunnah membandingkan perkataan manusia dengan sunnah. Apa yang sesuai dengannya, mereka terima, dan apa yang tidak sesuai dengannya, mereka tolak! Sementara ahli bid’ah membandingkan sunnah dengan pendapat para tokoh mereka. Apa yang sesuai dengan pandangan dan pendapat para tokoh mereka, mereka terima, dan yang menyelisihi pandangan mereka, mereka buang jauh-jauh.

3. Ahlussunnah jika mendapatkan sunnah yang sahih dari Nabi sallallahuaálaihiwassalam mereka tidak menunggu untuk mengamalkannya dan meyakini kesannya hingga ada yang menyepakatinya, mereka segera mengamalkan tanpa menghiraukan orang yang menyepakati atau menyelisihinya.

Asy-Syafie r.h berkata, “Manusia bersepakat bahawa siapa yang jelas baginya sunnah Rasulullah sallallahua’laihiwassalam, maka tidak ada alasan untuknya meninggalkan sunnah itu demi mengikuti pendapat orang lain.”

4. Mereka tidak menisbat kepada pendapat tertentu atau tokoh tertentu selain Rasulullah sallallahua’laihiwassalam. Mereka tidak mempunyai julukan tertentu yang dikenal dengannya, atau penisbatan yang mereka dinisbatkan kepadanya, ketika orang-orang selain mereka bernisbat kepada pendapat-pendapat tokohnya. Sebagaimana jawaban sebagian Ahlussunnah, ketika ditanya tentangnya, “As-Sunnah itu tidak memiliki nama lain kecuali hanya As-Sunnah”
Sedangkan ahlul bid’ah suatu kali bernisbat kepada pendapat, seperti Qadariyah dan Murjiáh, sesekali bernisbat kepada siapa yang berkata, seperti hasymiyah, Nijjariyah dan Dharawiyah dan pada waktu yang lain bernisbat kepada suatu perbuatan, seperti khawarij dan Rafidah. (pent: juga pada zaman ini, ada yang mengikuti mazhab-mazhab pemikiran tokoh-tokoh tertentu, parti politik, jamaah-jamaah tertentu, masing-masing di antara mereka kononnya mempunyai prinsip atau fikrah tersendiri, walhal sebenarnya, mereka telah membuat satu jalan yang boleh jadi terkeluar dari jalan As-Sunnah). Sementara Ahlussunnah terbebas dari semua penisbatan ini. Mereka hanyalah bernisbat kepada hadis dan sunnah!

5. Ahlussunnah hanya membela hadis sahih dan atsar-atsar salaf, sedangkan ahli bid’ah membela pendapat dan mazhab mereka.

6. Ahlussunnah jika menyebutkan sunnah dan menyerukan manusia kepadanya, maka hati para ahli bid’ah berpaling darinya. Mereka itu sebagaimana disebutkan oleh Allah dalam firmannNya yang bermaksud,

“Dan jika kamu menyebut nama Rabbmu sahaja dalam al-Quran, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana membencinya”(Al-Isra: 46)

Sedangkan ahli bid’ah, bila kita menyebutkan syaikh-syaikh dan pendapat-pendapat mereka, maka mereka merasa senang dengan hal iti. Mereka itu sebagaimana difirmankan oleh Allah yang bermaksud;

“Dan apabila nama Allah saja yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama sesembahan-sesembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati” (Az-Zumar: 45)

7. Ahlussunnah mengakui yang hak dan menyayangi para makhluk. Mereka memperoleh ilmu dan rahmat yang luas, dan Rabb mereka rahmat dan ilmuNya meliputi segala sesuatu.
Sedangkan ahlul bid’ah mendustkan kebenaran dan mengingkari para makhluk. Mereka tidak memiliki ilmu dan rahmat. Bila hujah Ahlussunnah ditegakkan dihadapannya, maka mereka memenjarakan para Ahlul Sunnah dan bahkan membunuhnya jika memungkinkan. Mereka mewarisi sifat Firaun, kerana ketika hujah Nabi Musa ‘alaihisalam ditegakkan di hadapannya dan tidak mungkin Firaun boleh menjawabnya, maka dia berkata;

“Sungguh jika kamu menyembah Allah selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan” (Asy-Syua’ra: 29)

8. Ahlussunnah hanya mencintai dan memusuhi atas dasar sunnah Nabi, sedangkan ahli Bid’ah mencintai dan memusuhi atas dasar pendapat yang mereka ada-adakan.

9. Ahlussunnah tidak membuat sendiri landasan dasar hukum lalu mereka berhukum dengannya, menghakimi para musuh mereka dengannya, dan menghukum siapa saja yang menyelishinya sebagai fasik atau kafir. Mereka mempunyai beberapa landasan, iaitu Kitabullah, Sunnah Rasulullah dan apa yang disepakati oleh para Sahabat.

10. Bila dikatakan kepada Ahlussunnah: “Allah swt berfirman atau Rasulullah sallallahua’laihiwassalam bersabda, maka hati mereka mantap padanya, tidak berpaling kepada seorang pun selainnya, dan tidak menghiraukan apa kata fulan dan fulan. Sementara ahli bidáh menyelisihi hal itu.

11. Ahli bid’ah itu mengambil sunnah yang sesuai dengan hawa nafsunya, baik sahih mahupun dhaif, dan mereka meninggalkan apa yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka walaupun hadis itu sahih. Bila mereka tidak berkuasa untuk menolak hadis tersebut, maka mereka menyimpangkannya dengan takwil-takwil aneh yang merupakan penyimpangan dari tempat-tempat yang semestinya. Sementara Ahlussunnah tidak keinginan selain apa yang disebutkan hadis-hadis tersebut.

Begitulah antara perbezaan sikap seorang Ahlussunnah dengan Ahlul Batil atau Ahlul Bidáh yang sesat. Moga-moga kita termasuk dikalangan orang-orang yang terselamat dari azab Allah swt dan semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Diharapkan dengan sebuah perkongsian yang sedikit ini membuka minda kita supaya dapat menilai sikap kita terletak di mana, sama ada dalam golongan yang selamat (Ahlussunnah), atau golongan yang sesat (Ahlul Bid’ah).



Wallahua’lam, Semoga bermanfaat.

Oleh:
Abu Bakr Ahmad Humaizi
Universiti Teknologi PETRONAS.



Sumber:

[1] Merekalah Golongan Yang Selamat, terjemahan dari kitab “Khasaish ahli al-Hadis wa as-Sunnah wa bayan manhajuhun wa fadhailihim wad difa’i ánhum” oleh Syaikh Muhammad Muhibbudin Abu Zayd, Pustaka at-Tazkia, Jakarta.

Muhammad s.a.w. itu hamba dan pesuruh Allah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 3:02 PTG 2 komen



بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ با لله من شرور اًنفسنا وسيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له، واشهد ان لا إله إلاالله واشهد ان محمدا عبده و رسوله، الصلاة والسلام عليه وآله وصحبه


Sesungguhnya segala puji hanyalah milik Allah, kami memohon pertolongan, ampunan dan bertaubat kepadaNya. Kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan amal perbuatan kami. Siapa saja yang Allah beri hidayah nescaya tiada seorangpun yang dapat menyesatkannya. Dan siapa yang Allah sesatkannya, nescaya tiada seorangpun yang dapat memberinya hidayah. Aku bersaksi bahawa tiada ilah yang berhak diibadahi selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Selawat dan salam yang tiada terhingga semoga terlimpah atas beliau, keluarga dan sahabat-sahabat beliau.


InsyaAllah, tulisan pada kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca sekalian berkaitan dengan perihal keimanan kepada Rasulullah sallahua’laihi wasallam.


Hendaklah kalian ketahui bahawa, Muhammad sallahua’laihiwasallam merupakan hamba Allah yang terpilih menjadi Rasul.


Muhammad, itulah nama beliau sallahua’laihiwassalam yang terkenal. Ianya disebut di dalam al-Quran:

مَا كَانَ مُحَمّدٌ أَبَآ أَحَدٍ مِّنْ رِجَا لِكُمْ وَلَكِن رَّسُولَ اللهِ
“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah” (Al-Ahzab: 40)

Namanya juga disebut sebagai “Ahmad” sebagaimana firman Allah tentang Nabi Isa ‘alaihiwassallam (Ketika Isa berkata:)

“Ketika Isa anak Maryam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah utusan Allah ke atas kalian, membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, yaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan (kedatangan) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang bernama Ahmad” (Surah As-Saff: 6)
Setelah itu, ketahuilah juga bahawa Rasulullah itu merupakan hamba Allah swt. Tidak sedikit pun ada padanya sifat Uluhiyyah (sifat-sifat yang layak disembah), dan tiada sedikit pun memiliki sifat Rububiyyah (yang dapat mencipta, memberi rezeki, dan mengatur alam semesta).

Beliau hanyalah seorang hamba Allah dan RasulNya, yang juga menjalankan perintah-perintah dan menjauhi larang-larangan, dan yang menyampaikan risalah dari Allah swt.

Di dalam hal ini, terdapat bantahan terhadap individu yang bersikap melampau (ghuluw) terhadap diri beliau sallahua’laihi wassalam di mana, ada di kalangan kaum muslimin yang meletakkan beliau sallahua’laihiwassalam sebagai individu yang memiliki sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah. Kemudian mereka berdoa kepada beliau bersama (berdoa kepada) Allah. Ini adalah satu perbuatan yang mensyirikkan Allah dalam soal pengibadatan kepadaNya.

Ketahuilah! Hanya milik Allahlah segala doa dipohon, tidak ada seorang pun yang layak diminta darinya melainkan Allah semata-mata.

Ketahuilah, permintaan itu terbahagi pula menjadi dua.

  1. Permintaan yang hanya Allah sahaja boleh mengabulkan seperti menyembuhkan penyakit, memberi keselamatan di dunia dan akhirat, mengampun dosa, memberi rezeki dan lain-lain.

  2. Permintaan yang makhluk boleh melakukannya seperti meminta tolong supaya membasuh, memasak, meminjamkan wang dan lain-lain.

Ketahuilah, permintaan yang jenis pertama itu hanya milik Allah swtNumbered List. Sesiapa yang meminta daripada makhluk terhadap permintaan jenis tersebut (iaitu jenis pertama), maka ia telah menyekutukan Allah dalam pengibadatan, dan ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampunkan oleh Allah swt seperti firmannya yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik. Dan Dia mengampuni segala dosa selain yang selain dari itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendakiNya” (An-Nisa: 48)

Bagi permintaan jenis kedua, ini adalah lumrah kehidupan manusia yang hidup sesama manusia lainnya. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, permintaan jenis ini dibenarkan di dalam Islam, malah digalakkan bagi seorang Muslim untuk membantu manusia lainnya terutama saudara-saudaranya yang seagama di dalam hal-hal kebaikan kerana ia termasuk di dalam amalan soleh.

Oleh kerana itu, janganlah kita menjadi seperti orang-orang Kristian (Nasrani) yang telah bersikap melampau (ghuluw) terhadap Nabi Isa ‘alaihissalam. Mereka mengatakan, Isa putra Maryam adalah anak Allah dan Allah adalah salah satu dari tiga Tuhan!

Nah! Itulah kesesatan kaum Nasrani terhadap keimanan mereka terhadap Nabi Isa, mereka telah melampaui batas-batas ajaran Nabi Isa ‘alaihisalam sedangkan, tiada satu dalil pun dari Allah tentang hal tersebut. Oleh itu, hendaklah kaum Muslimin sekalian beriman kepada Rasulullah sallahua’laihiwassalam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt. Kita hanya meletakkan beliau sallahua’laihiwassalam selayaknya beliau sebagai seorang hamba Allah dan sebagai seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah dari kalangan hamba-hambaNya. Demikian juga keimanan kita kepada Rasul dan Nabi-nabi yang lainnya. Semuanya adalah hamba! Dan mereka itu telah dipilih oleh Allah swt!

Ketahuilah, segala apa yang ada di alam ini adalah hamba Allah swt, seperti di dalam firmannya yang bermaksud;

‘Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Rabb Yang Maha Pemurah sebagai seorang hamba’’ (Surah Maryam: 93)

Penduduk langit dan bumi itu termasuklah sekalian malaikat, jin, manusia, haiwan dan sebagainya.

Oleh itu, sewajibnya, bagi setiap Muslim yang beriktiqad dengan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah memahami benar-benar hakikat keimanan kepada Rasulullah sallahua’laihiwassallam. Semoga perkongsian yang sedikit ini membantu kalian dalam memahami akidah Islam berteraskan dalil yang sahih.

Sekian, terima kasih.

Semoga bermanfaat



_
Abu Bakr Al-Humaidi
Masjid An-Nur, Universiti Teknologi PETRONAS
23 Februari 2010, Selasa, 7.00 petang.

Ulasan Ceramah Brother Shah Kirit (Pengubahsuaian di dalam agama)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:42 PTG 3 komen


Oleh A.Humaizi


Selepas maghrib tadi, saya mendengar satu ceramah yang disampaikan oleh Brother Shah Kirit di Masjid UTP. Memang menarik perkongsian beliau. Ternyata, apa yang disampaikan oleh beliau sangat bermanfaat kepada pendengar-pendengar supaya lebih membuka fikiran dalam hal ehwal agama dan tidak hanya bertaqlid buta dalam mempercayai dan mengamalkan agama ini.


Brother Shah Kirit banyak kali menyebutkan tentang penyelewengan agama-agama dari sumber asal mereka iaitu kitab-kitab rujukan mereka. Disebabkan adanya modifikasi (pengubahan) di dalam agama, maka agama-agama yang ada di dunia ini menjadi tidak benar dan terseleweng dari sumber aslinya. Maka disebabkan itu, ajaran asal bagi sesuatu agama itu adalah menyembah Tuhan yang satu, dan disebabkan adanya penambahan dari manusia, maka kita melihat, ada agama-agama yang menyembah patung, pokok, manusia dan sebagainya.


Bila saya mendengar kata-kata Brother Shah Kirit ini, kata-katanya memang tidak lari dari prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang sangat-sangat menentang keras bid'ah di dalam agama. Yang dikatakan bidáh di dalam agama ini adalah sesuatu yang baru di dalam urusan ibadat kepada Allah yang tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi sallahua'laihiwassalm dan dari Quran.


Ya, Nabi sallahua'laihiwassalam selalu memperingatkan tentang bahaya bid'ah sehingga baginda mengatakan setiap bidáh itu sesat, dan setiap yang sesat itu di neraka. Tetapi malangnya ramai yang tidak mengerti erti sebenar bid'ah. Lalu, disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang bid'ah ini, mereka lebih suka menentang orang yang memerangi bidáh walhal mereka bersetuju tentang faktor kesesatan sesuatu agama itu disebabkan adanya pengubahsuaian di dalam agama tersebut. Dan lebih malang lagi, walaupun mereka tahu, kerosakan pada agama-agama lain itu disebabkan pengubahsuaian di dalam agama, sayang sekali, mereka pula secara tidak sedar telah menjadi tekong-tekong dalam melakukan hal-hal yang baru di dalam agama Islam. Rupa-rupanya, mereka juga telah menjadi perubah-perubah agama Islam ini!


Ketahuilah wahai saudaraku, keselamatan itu adalah, apabila kita mengamalkan apa yang ditunjukkan oleh Nabi sallahua'laihiwassalam dan meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh beliau yakni dalam urusan agama. Oleh itu, hendaklah setiap daripada kita ini memeriksa sama ada amalan kita di dalam agama ini benar-benar sesuai dengan petunjuk Nabi sallahua'alaihiwassalam atau tidak.


Di dalam solat misalnya, adakah benar kita merapatkan saf seperti yang Nabi sallahua'laihiwassalam ajarkan kepada para sahabatnya? Cari bertakbir, cara rukuk dan sujud, dan bacaan-bacaannya, pernahkah kita meneliti amalan kita itu sesuai dengan petunjuk Rasul? Di kala berzikir, pernahkah Nabi menjaharkan bacaan zikirnya setiap masa sehingga mengganggu orang lain ingin melakukan ibadat? Di dalam bertauhid, adakah Nabi mentakwil sifat-sifat Allah? Wahai saudaraku, carilah jawapan-jawapan ini!


Jika anda telah mengetahui tunjuk ajar Nabi sallahua'laihiwassalam, mungkinkah ada pilihan lain bagi anda untuk mendapat petunjuk? Jika ada, adakah mereka itu benar-benar mendapat jaminan pembelaan dari Allah di akhirat kelak?
Katakanlah wahai saudaraku,"Cukuplah Allah dan Rasul sebagai petunjuk bagi kami! Apabila datangnya dalil dari Quran dan Sunnah yang sahih, kami akan mendengarnya dengan khusyuk dan merendah diri. Kami tidak akan mendahulukan kata-kata sesiapapun di hadapan kalam Allah dan hadis Rasulullah. Kami menganggap, apabila kami mendengar hadis Rasulullah, kami merasakan kami mendengar secara lansung dari Nabi sallahua'laihiwassalam. Dan tidaklah ketika itu kami berani membantahnya. Kerana hadis-hadis yang sahih dari baginda juga merupakan wahyu dari Allah. Lalu kerana itu, tiadalah perkataan lain bagi kami untuk berkata kecuali, kata-kata "Kami dengar dan kami taat"

Semoga kita membersihkan diri kita dari syirik, khurafat dan bidáh di dalam amalan kita seharian. Kerana dengan terhindarnya seseorang dari penyakit-penyakit tersebut, akan menyelamatkannya di dunia dan di akhirat.


Wallahua'lam.


Semoga bermanfaat.

Syaikh Muhammad Said Solih Abul Rubi' di UTP

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 3:03 PTG 2 komen



All are invited to our program!

Call: Humaizi 013-4719722 for more information

Organized by:

Kenapa Saya Tidak Baca Al-Mathurat Secara Jama'e?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:39 PG 11 komen

Oleh A.Humaizi


Dahulu saya pernah tertanya-tanya, kenapa para Ustaz jarang sekali bersama-sama orang ramai dalam majlis zikir seperti halaqah mathurat, membaca surah Yassin setiap Khamis malam Jumaat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai pada setiap malam, membuat majlis tahlil dan pelbagai amalan-amalan lain yang menjadi tradisi masyarakat Melayu.

Setelah saya mengetahui sebabnya dan saya meninggalkan amalan-amalan tersebut, mungkin ada yang kehairanan, kenapa saya tidak hadir ke majlis-majlis seperti majlis membaca al-mathurat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai (Liqa’ Al-Mulk), membaca yassin pada setiap malam Jumaat, majlis tahlil (sedekahkan pahala kepada orang mati) dan lain-lain majlis seumpamanya. Sepertinya saya ini tidak suka dengan majlis mengingat Allah swt. Ianya membuat saya tersenyum jika ada orang yang berprasangka sedemikian.

Syarat-syarat Ibadah Diterima oleh Allah(1)

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, telah banyak disebutkan oleh para ulama muktabar tentang syarat-syarat diterimanya sesuatu ibadah oleh Allah swt. Sesuatu amalan itu tidak akan diterima oleh Allah swt sekiranya tidak menepati kesemua syarat-syarat tersebut.

Syarat-syarat asas penerimaan sesuatu ibadah itu ada dua iaitu;

1. Ikhlas

Sesuatu amalan tidak akan diterima selagi tidak ikhlas hanya kerana Allah swt. Maksud ikhlas dalam ibadah ialah meniatkan segala ibadah semata-mata kerana Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu dan tanpa sebarang riya’ dan takabbur dalam mengerjakannya. Allah swt telah berfirman yang bermaksud;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. – (Surah Az-Zumar: 11)

Kemudian sabda Nabi s.a.w yang bermaksud;

” Sesungguhnya segala amalan-amalan adalah atas niatnya masing-masing dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu adalah apa yang telah dia niatkan. Barangsia yang hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya (akan diterima) kerana Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan ia perolehi dan wanita yang hendak dinikahinya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju (dunia dan wanita)” – (HR Bukhari dan Muslim)(2)

2. Mengikuti sunnah Rasulullah saw

Sesuatu amalan ibadah tidak akan diterima selagi tidak menepati petunjuk (Sunnah) Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud;

”Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (Surah Al-Hasyr: 7)

Oleh kerana itu, Rasulullah saw pernah memberi amaran bahawa sesuatu amalan ibadah itu akan ditolak sekiranya tidak bersumber/bertepatan dengan pentunjuknya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

”Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan tanpa dasar perintah kami, maka ianya tertolak” (HR Muslim)

Oleh kerana itu, dalam menafsirkan ayat ke-2 surah Al-Mulk yang bermaksud;

”Untuk menguji kamu, siapa yang lebih baik amalnya”

Maka Al-Fudhail Bin Iyadh (wafat: 187H) seorang ulama generasi tabi’ut tabieen yang masyhur telah berkata:

”Seikhlas-ikhlasnya dan sebenar-benarnya.” Kemudian beliau ditanya: ”Apakah seikhlas-ikhlas dan sebenar-benarnya?” Jawabnya: ”Sesungguhnya amalan-amalan yang ikhlas tetapi tidak benar, maka ianya tidak diterima. Dan sekiranya amalan itu benar, tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak diterima. Sehinggalah (sesuatu amalan itu) mempunyai ikhlas dan benar (barulah diterima oleh Allah). Ikhlas itu ialah diamalkan kerana Allah dan benar itu ialah mengikuti sunnah (Rasulullah saw).”

Setelah seseorang mengetahui syarat-syarat sesuatu ibadah itu diterima oleh Allah swt, maka hendaklah dia berusaha mengikhlaskan niat kerana Allah swt dan belajar beribadah sesuai dengan tuntutan sunnah Rasulullah saw.

Masalah-masalah amalan masyarakat Melayu

Jadi, apakah sebabnya saya meninggalkan amalan-amalan yang saya nyatakan diatas? Saya tidak akan menyentuh bab ikhlas, kerana ikhlas itu dinilai oleh Allah swt. Tetapi sebagai seorang manusia, kita boleh menilai sesuatu itu dengan melihat zahir perlakuan/amalan seseorang sama ada betul atau tidak.

1. Membaca Al-Mathurat secara berjemaah - Membaca doa-doa yang mathur dari Nabi saw itu adalah sunnah, TETAPI membaca doa secara beramai-ramai dengan membuat halaqah (bulatan), membacanya dengan kuat (jahar), dan terdapat pula seorang yang mengepalai bacaan doa sambil diselang-seli dengan wirid Rasulullah maka kesemua itu tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Maka kerana itu, membaca doa tersebut adalah benar, tetapi CARAnya telah menyanggahi sunnah Rasul saw.

2. Membaca surah Al-Mulk secara berjemaah (Liqa’ Al-Mulk) – Membaca surah al-Mulk itu sunnah, tetapi melakukannya secara beramai-ramai secara jahar, dan diketuai oleh ketua (tekong), maka itu bukan pentunjuk dari Rasulullah.

Anda memang digalakkan membaca surah Al-Mulk berdasarkan hadis;

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: ”Dari sebahagian al-Quran adalah satu surah yang terdiri dari tiga puluh (30) ayat, dia memberi syafaat pada seseorang hingga diampuni (dosa-dosa) untuknya, iaitu surah’ tabarakal lazi biyadihi mulk’ (Surah al-Mulk)” – (HR Abu Daud dan Tirmidzi, dia berkata ”Hadis Hasan”)(3)

Juga terdapat juga hadis yang menyebutkan kelebihan membaca surah al-Mulk ini pada setiap malam sebelum tidur tetapi saya tidak memasukkan hadisnya di sini kerana tidak mengetahui darjat hadis berkenaan.

3. Membaca Yassin berjemaah setiap khamis malam jumaat – sama halnya seperti di atas, membaca surah yassin dan juga surah-surah di dalam al-Quran itu adalah sunnah dan digalakkan. TETAPI tidak pernah diajarkan oleh Nabi saw untuk mengkhususkan membaca Surah Yassin pada hari-hari tertentu, malah Rasulullah melarang kita mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat selain apa yang telah beliau khususkan seperti menunaikan solat Jumaat, membaca surah al-Kahfi dan banyakkan berdoa. Hadis yang menunjukkan haramnya mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat adalah;

"Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk berqiam dari malam-malam lain, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa dari hari-hari lain, melainkan telah menjadikan puasa kebiasaan dikalangan kamu" [hadith Riwayat Muslim; #1144)(4)

”Kami Buat Amalan Tersebut Untuk Tujuan Didikan”

Ramai pelaku-pelaku amalan tersebut beralasan, mereka melakukan amalan-amalan fardhi (individu) secara berjemaah bertujuan mendidik masyarakat.

Maka saya menjawab,

”Benar, Rasulullah pun pernah zikir selepas solat secara jahar bertujuan mengajar makmum (para sahabat). Tetapi Rasulullah saw memberhentikannya setelah mendapati para sahabatnya telah mengetahui zikir-zikir yang disunnahkan. Kemudian mereka berzikir secara sendiri-sendiri (5). Maka di sini jelaslah kepada kita, proses pendidikan itu hendaklah diberhentikan setelah mendapati orang-ramai telah mengetahuinya. Sayangnya, masyarakat sekarang ini umpamanya masih belum pandai berzikir sehingga imam terpaksa membacanya secara jahar. Lebih memburukkan lagi, zikir secara jahar ini telah menjadi amalan berterusan dan kebiasaan masyarakat kita. Dan dikhuatiri, ianya boleh menjatuhkan kita ke dalam bid’ah.

Oleh kerana itu, jika anda beralasan amalan-amalan tersebut sebagai pendidikan, maka beritahukan kepada saya, bila waktunya untuk anda memberhentikan amalan tersebut (secara berjemaah). Bukankah orang ramai yang mengikuti majlis anda (majlis zikir) tersebut sudah pandai membaca mathurat, membaca quran dan zikir? Jadi, jika benar amalan itu sebagai pendidikan, maka saya menunggu ’anak didikan’ anda pandai berzikir sendiri tanpa perlu diajar lagi. Jika tidak, maka nampaknya pendidikan yang anda terapkan gagal memandaikan mereka berzikir mengikut sunnah Rasulullah saw.

Wallahua’lam.

Semoga bermanfaat


Rujukan

1. Ismail Bin Omar, Manhaj Aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah, Access Infotech Sdn Bhd, Malaysia.

2. Hadis 40, Imam An-Nawawi. Media Insani, Indonesia.

3. Terjemahan Riadhus Solihin, Imam An-Nawawi. Duta Ilmu Surabaya. Indonesia.

4. Soal Jawab Doa dan Zikir, http://qazikirdandoa.blogspot.com/

5. Kitab Fikh Mazhab Syafie, Bab Solat, Pustaka Darus Salam, Malaysia)

Palsunya Hadis Doa Malaikat Jibril Sempena Ramadhan

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:51 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi
Bila sampai sahaja bulan Ramadhan, ramai manusia berlumba-lumba inginkan kebaikan. Maka ramailah orang mengajak manusia beramal soleh dengan amalan-amalan tertentu. Ada yang menyebarkan hadis Nabi melalui email mahupun sms. Niatnya tidak lain hanya untuk mencari kebaikan.

Tetapi tahukah anda, seseorang yang berniat baik, belum tentu amalannya diterima?

Inilah yang disebutkan oleh Ibnu Mas'ud kpd satu kelompok manusia yang melakukan bid'ah pada zamannya yang berkumpul beramai-ramai di masjid, lalu salah seorang dari mereka mengetuai majliz berzikir itu seperti yang masyarakat kita sering lakukan iaitu majlis tahlil, doa selamat dan macam-macam lagi... Apabila Ibnu Mas'ud menegah mereka dari melakukan perkara tersebut, lalu mereka berkata kepada Ibnu Mas'ud,

"Wahai Abu Abdurrahman, apakah kesalahan kami? Bukankah kami ini melakukan kebaikan (iaitu berzikir kpd Allah)?"

Jawab Ibnu Mas'ud, "Ramai orang yang mahu melakukan kebaikan, tetapi tidak kena pada caranya (iaitu cara ibadatnya Rasulullah saw)"

Kisah tersebut diriwayatkan oleh ad-Darimi dgn sanad yang sahih.

Begitu juga yang dimaksudkan oleh Allah swt dalam surah Al-Mulk ayat ke 2 yang bermaksud,

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya." (Surah al Mulk: 2)

Disebutkan "siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya". Iaitu sesuatu amalan yang baik itu mestilah secocok dgn amalan Nabi saw, dan benar niatnya ikhlas kerana Allah.

Maka dari kedua dalil tersebut dapatlah kita mengetahui, dua syarat amalan itu diterima di sisi Allah, iaitu mestilah ikhlas kerana Allah (tidak mensyirikkan Allah dlm pengibadatan), dan yang kedua, mesti sesuai dgn sunnah Rasulullah saw.

Kepalsuan Hadis doa malaikat Jibril supaya diabaikan puasa umat Nabi muhammad

Maka di sini, saya ingin tekankan betapa pentingnya ilmu yang benar dalam menyebarkan ilmu kepada manusia lainnya. Boleh jadi seseorang itu berniat baik, tetapi perbuatan yang disangka baik itu rupa-rupanya mendatangkan kerosakan kepada agama dan kaum muslimin sekalian. Inilah akibatnya bila seseorang beramal tanpa dilandasi dgn ilmu yang benar.

Oleh kerana itu, Nabi saw pernah memberi amaran kpd sesiapa yang berdusta ke atas namanya dgn sabda baginda yg bermaksud "Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka”. (Hadits shahih dikeluarkan oleh Imam Bukhari (1/36) dan Muslim (1/8) dll)

di dalam artikel ini saya copy dan pastekan satu soal jawab mengenai status hadis "Doa Malaikat Jibril Supaya Puasa Umat Nabi Muhammad diabaikan" .
Sumber : http://soaljawabquranhadis.blogspot.com/search?q=doa+malaikat+jibril

Semoga kita beramal dengan ikhlas berdasarkan ilmu yang benar.

Semoga bermanfaat.

------------------------------------------------------
Soalan;

Assalamualaikum.
Boleh tolong saya carikan petikan di bawah samada dari hadis atau mana2 riwayat.
"Doa Malaikat Jibril Menjelang Ramadhan"
Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami istri;
*Tidak berma'afan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.
"Sekian. Terima kasih.
Wassalam
Jawapan #1:
Kami yakini ianya palsu. kami akan berusaha menjejakinya dan jika ditemui, InsyaAllah akan dikhabarkan kemudian (KIV). Kenapa kami berani berkata ia palsu? Kerana sekiranya meminta ma'af kepada ibubapa, suami-isteri dan penduduk sekitar itu benar dan syarat memasuki bulan Ramadhan, sudah tentu kita akan temui dalam kitab-kitab feqah, walhal tidak pernah dibincangkan. sekian
Jawapan #2:
Assalamu'alaikum. Alhamdulillah.Sekadar tambahan, Kemungkinan hadith yang hampir kepada hadith diatas adalah seperti berikut :
Dari Abu Hurairah ra. berkata (maksudnya) :
"Sesungguhnya Nabi saw telah naik ke mimbar dan berkata : Amin, Amin, Amin. Seorang bertanya kepada dia : Ya Rasulullah, Apa yang engkau lakukan ini? Baginda menjawab : Telah berkata Jibril kepadaku : Hambanya yang sombong, sempat bersama ibu-bapanya atau salah seorang darinya, tidak akan masuk syurga (kerana kesombongan terhadap mereka), Aku berkata : Amin, kemudian berkata malaikat: hambanya yang sombong apabila masuk Ramadhan tidak akan diampun dosanya (oleh Allah), Maka Aku berkata : Amin. Kemudian malaikat berkata : Seseorang yang sombong dimana nama engkau (Nabi saw) disebut kepadanya akan tetapi dia tidak berselawat kepada engkau, maka aku berkata : Amin."
[Hadith Riwayat al-Bukahri didalam Adabul Mufrad. Syiekh al-Albani menilai hadith ini sebagai Hasan Sahih (Sahih Adabul Mufrad LiImam Bukhari, #503/646)].
Hadith ini memberi amaran dan pengajaran agar :-
a. berbuat baik kepada kedua ibu-bapa semasa mereka masih hidup
b. lakukan amalan-amalan yang baik dan mohon banyak2 agar Allah mengampunkan dosa2 kita didalam bulan Ramadhan dengan melakukan ibadat dengan ikhlas, jangan sombong.
c. seseorang yang apabila disebut Nabi saw kepadanya. langsung tidak berselawat kepada baginda; maka inilah dikatakan orang yang berhidung tinggi/sombong!!
Sekian, wassalam

Idea "Kebebasan" Meracuni Masa Depan Ummah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:00 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Idea “Kebebasan” meracuni masa depan ummah.

Kita sering terdengar laungan dan pekikan suara menuntut pelbagai perkara atas dasar kebebasan. Antaranya, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan beragama dan juga kebebasan dalam hal-hal lain. Semuanya ini dilaungkan oleh orang-orang yang mengaku sebagai aktivis, pendakwah, ahli politik malah orang biasa pun ada.

Tetapi tahukah kita, dari mana asalnya idea “kebebasan” ini muncul?

Di dalam buku “Protokol-protokol Mesyuarat Para Pemimpin Ilmiah Zionis” terbitan Thinkers Library, telah digariskan pelbagai protokol Yahudi Zionis untuk menakluki dunia. Protokol tersebut merupakan prinsip atau strategi asas bagi para ilmuan zionis untuk melakukan sesuatu semata-mata untuk mencapai tujuan makar si Yahudi tersebut. Buku ini merupakan terjemahan penuh dari teks Bahasa Rusia ke Bahasa Inggeris oleh Victor E Marsden, bekas wartawan Akhbar Rusia “The Morning Post” 1934.

Di dalam buku ini disebutkan

“Kebebasan politik merupakan suatu idea tetapi bukan suatu fakta. Seseorang mestilah tahu untuk menggunakan idea ini, bila mana diperlukan sebagai umpan untuk menarik ramai orang kepada satu pihak dengan tujuan menghancurkan pihak yang lain, iaitu pihak berkuasa. Tugas ini menjadi lebih mudah jika pihak lawan sendiri telah terpengaruh dengan idea kebebasan, yang dipanggil liberalisme, dan demi suatu idea, pemerintah sanggup menyerahkan sebahagian dari kuasanya. Di sinilah terserlahnya kejayaan teori kita; pengurangan kuasa memerintah melalui kerajaan akan berlaku serta-merta, oleh undang-undang kehidupan, diburu dan dikumpul oleh suatu kuasa baru, kerana sesebuah Negara yang tiada pedoman tidak boleh wujud tanpa bantuan walaupun hanya untuk sehari, dan hanya penguasa baru sahajalah yang layak beraa di tempat orang yang terdahuluy yang telah dimahkan oleh liberalisme.

Di masa ini, kuasa yang telah menggantikan pemerintah yang liberal adalah kuasa Emas (bersifat materialisme). Masa adalah apabila Kepercayaan memerintah. Idea kebebasan adalah mustahil untuk direalisasikan kerana tiada sesiapun yang tahu untuk menggunakannya dengan kesederhanaan. Dengan menyerahkan kepada sekumpulan manusia untuk berkerajaan sendiri bagi suatu jangka masa tertentu sudah mencukupi untuk menukar kumpulan tersebut menjadi perusuh yang bercelaru. Pada saat itulah, kita mulakan persengketaan yang saling hancur dan menghancurkan yang akan merebak menjadi peperangan di antara kelas masyarakat yang berbeza, yang mana Negara akan hancur kerananya dan kepentngannya tinggal sebagai timbunan debu.”


Maka telah jelas, golongan Yahudi Zionis telah menjalankan usaha mereka dalam mempromosikan idea kebebasan. Mereka tahu bahawa idea kebebasan tidak dapat dilaksanakan secara sederhana oleh sesiapapun. Oleh itu, perlulah masyarakat sekalian peka dengan slogan-slogan ke arah “HAK KESAMA RATAAN”, “Pejuangan hak asasi manusia”, “Kebebasan Media dan Kebebasan Politik”, dan yang sewaktu dengannya.
Semua ini merupakan akibat daripada pengaruh politik yang dicanangkan oleh puak-puak Yahudi Zionis dan telah diimani oleh sebahagian besar umat manusia.

Prinsip Islam

Kesederhanaan (Al- Wasatiyyah) merupakan salah satu ciri Islam yang istimewa. Al-Wasatiyyah bermaksud pertengahan antara dua keadaan atau pihak. Maksudnya, ketika menjaga kepentingan satu pihak atau keadaan, kepentingan pihak yang satu lagi tidak diabaikan. Dalam erti kata lain, tidak ifrat (melampau) dan tidak tafrit (Cuai) [1]

Itulah prinsip yang terkandung dalam ajaran Islam, segala perkara yang hendak dilakukan hendaklah secara sederhana. Sifat sederhana inilah yang menjamin kelangsungan sesuatu perjuangan dan amalan. Sikap berlebih-lebihan dan melampau ataupun cuai dan tidak mengambil peduli merupakan suatu sikap yang tercela di dalam Islam.

Wallahua’lam.




[1] Membela Islam: Tanggungjawab dan Disiplin. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Karya Bestari Sdn Bhd 2006

Dakwah Kepada Sunnah dan Menjauhi Bid'ah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 2:34 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Saya terbaca satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya dari Jabir Bin Abdillah r.a. dia berkata, 'Rasulullah saw apabila sedang berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya keras, serta amat sangat tampak kemerahannya sehingga seakan-akan sedang mengatur barisan tentera, baginda berkata;

"Ketahuilah oleh kalian dan ketahuilah.!!

Kemudian baginda melanjutkan

"Amma ba'du, sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan, dan setiap bid'ah adalah sesat"

(Pokok-pokok Dakwah Manhaj Salaf, m/s 132 - 133, Fawaz bin Hulail, Griya Ilmu, Indonesia)

Setelah saya baca hadis tersebut, timbul persoalan dalam minda saya,
"Apakah yang menyebabkan Rasulullah begitu tegas dalam menyampaikan khutbahnya sehinggakan digambarkan oleh sahabat seperti Nabi sedang mengaturkan barisan tentera?"

Rupanya, Nabi saw ingin menegaskan tentang tiga perkara penting yang tersebut di dalam hadis di atas.
1. Sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah
2. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad
3. Sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan, dan setiap bid'ah adalah sesat

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam kitab Sunnah dan Tirmidzi dalam kitab Ilmu, Nabi saw bersabda;

"Aku wasiatkan kepada kalian agar kalian bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat, sekalipun kepada seorang budak Habasyi. Sesungguhnya orang yang hidup dari kalian setelahku nanti akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu, berpegangteguhlah kalian terhadap sunnahku dan sunnah para khulafaur rasyiddin yang telah mendapat petunjuk dan bimbingan. Gigitlah ia dengan gigi geraham kalian serta waspadalah terhadap perkara-perkara yang diada-adakan. Sesungguhnya setiap perkara yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat"

Dan juga sabda Nabi Saw,

"Biarkan apa yang telah aku tinggalkan utk kalian. Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum kalian telah menjadi binasa disebabkan banyaknya pertanyaan mereka dan banyaknya penyelisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila sudah aku tinggalkan untuk kalian dengan sesuatu, maka lakukanlah menurut kemampuan kalian. Dan apabila sudah aku larang untuk kalian dengan sesuatu, maka tinggalkanlah! " (HR Muslim dan kitab Haji)

Dari hadis-hadis di atas jelaskan kepada kita bahawa suatu kemuliaan dan keselamatan adalah apabila kita mengikut sunnah dan kebinasaanlah bagi mereka yang menyalahi manhaj ini. Sesungguhnya para sahabat dan tabi'en sgt memperhatikan makna ini dan mereka selalu memberi anjuran untuk berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah saw dan memberi peringatan dari kebid'ahan-kebid'ahan.

Umar r.a. pernah berkata "Waspadalah kalian terhadap orang-orang yang mengikuti ra'yu-nya sebab mereka adalah musuh sunnah. Mereka itu telah diingatkan beberapa hadis agar berpegang kepada Sunnah, tetapi mereka malah berkata "kami ikuti rasional kami', sehingga mereka pun sesat dan menyesatkan" (Sunan Daruquthni dalam kitab Washaya)

Maka sewajibnya bagi para pendakwah yang ingin mengajak dan menggalakkan manusia untuk beribadat, mereka mestilah mengajak manusia tersebut beribadat mengikut cara nabi, bukan mengikut cara-cara ahlul bid'ah yang sesat.

Jika ada amalan-amalan harian nabi terdapat tokok tambah dari golongan-golongan tertentu, maka sewajibnya para pendakwah memberitahu cara yang sebetulnya beramal dengan sunnah nabi.

Wahai pendakwah, apabila ada dikalangan kalian mengajak manusia mendekati sunnah, maka sokonglah ia.

Memang tidak dinafikan dalam ibadat-ibadat fardi tertentu, para ulama ada memberi ruang untuk dilaksanakan secara berjemaah supaya dapat menggalakkan orang mengamalkannya. Seperti contoh;

1. Imam meninggikan suara ketika berzikir selepas solat tujuannya untuk mengajar makmum
2. Baca al-mathurat beramai-ramai
3. Qiamualiail secara berjemaah, dan lain-lain.

Tetapi seharusnya, para pendakwah mesti membiasakan mad'unya dengan sunnah nabi. Keringanan-keringanan yang dibuka oleh para ulama tersebut tidak bermakna ianya perlu diamalkan secara terus menerus. Kerana dikhuatiri ianya menjadi suatu yang bid'ah sebabnya cara amalan itu ditelah ditukar dari amalan yang dilakukan secara sendirian, dan diubah menjadi secara berjemaah.

Perlulah umat Islam sekalian mengetahui, sekiranya anda mengetahui tentang sunnah nabi dan sewaktu itu ada segolongan manusia melakukan amalan-amalan bertujuan utk 'mendidik', maka seharusnya anda yang telah terdidik itu mengamalkan apa yang anda tahu tentang sunnah nabi. Misal contoh, membaca zikir al mathurat, sekiranya anda mengetahui cara sebetulnya adalah secara sendirian, dan ianya menhampiri sunnah nabi, maka seeloknya anda mengamalkan mengikut sunnah nabi.

Hendaklah setiap umat Islam menjadi penggalak kepada umat Islam lain untuk mengamalkan sunnah dan menjauhi perkara-perkara bid'ah.

Umar bin Abd Aziz r.h. berkata "Sunnah itu hanya dijadikan tuntutan oleh orang-orang mengetahui sesuatu yang menyelisihi Sunnah, sedangkan mereka adalah orang-orang yang lebih mampu menolak dan membantah daripada kalian" (al Ibanah)

Jadi di sini, saya ingin menyeru sahabat-sahabat yang MENGETAHUI tentang sunnah , untuk beramal dengan amalan yang mendekati sunnah, adalah diharapkan, masyarakat yang akan kita bina ini tidak perlu lagi "dididik" sepanjang masa, kerana dalam pendidikan, hakikat dari pendidikan itulah yang diperlukan iaitu mengamalkan sunnah dan masyarakat mengamalkan sunnah. Bukan method atau kaedah pendidikan itu menjadi pengamalan kita.

Wallahua'lam.

Sebarang komen dipersilakan.