Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Catatan Perjalanan Ke Jogjakarta (Sambungan)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:18 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Bila berjalan-jalan dan memerhati candi Borubudur tersebut, saya terfikir, mengapa sebuah tamadun yang 'hebat' ini menjadi bahan sejarah? Di manakah masyarakat asalnya? Seumpamanya kaum ini telah dihapuskan dan dilenyapkan dari muka bumi. Ya boleh jadi juga andaian saya ini, kerana mengikut sejarah, Sir Thomas Stamford Raffles yang merupakan Gabenor Jeneral Britania Raya di Jawa, mendengar adanya penemuan candi di desa Borubudur. Lokasi tersebut telah diselidiki oleh H.C Cornelius dan mendapati, lokasi berkenaan berupa bukit yang dipenuhi semak dan belukar (1).

Ditambahi lagi, jika diperhatikan gambar-gambar asal candi tersebut didapati strukturnya tidaklah sebaik yang ada sekarang. Struktur asalnya yang tidak teratur seperti kesan dari gempa bumi yang sering berlaku di Indonesia. Wallahua'lam. Boleh jadi ini suatu musibah yang berlaku kepada kaum musyrik di Borubudur. Dan jika kita perhatikan di kebanyakan peninggalan sejarah manusia, sangat banyak monumen-monumen yang dijumpai dalam keadaan tertimbus dan tidak berpenghuni. Ini menunjukkan kaum-kaum terdahulu telah dimusnahkan oleh Allah kerana tersebarnya kemusyrikan di kalangan mereka. Kerana itulah, kita diperintahkan oleh Allah azzawajalla untuk berjalan di muka bumi untuk menyaksikan sendiri kesan-kesan kemusnahan umat terdahulu. Semoga ia menjadi ibrah untuk kita semua.

Bermulanya Kelas Pengajian

Pada hari Isnin, 21 Disember 2009, maka bermulalah kelas pengajian kami di Jogjakarta yang diselenggara oleh teman-teman dari Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsari. Antara subjek-subjek yang kami pelajari di sini adalah, Nahwu (5.30 pagi - 7.00 pagi), Hadis (8.30 pagi - 9.30 pagi), Akidah (10.00 pagi - 11.00 pagi), Sorof (4.00 ptg - 6.00 ptg). Dan malamnya adalah waktu lapang bagi kami untuk mengikuti kuliah agama di masjid sekitar Universiti Gadjah Mada ini.

Teruja juga bila mendapat guru-guru yang muda. Boleh kata umur mereka lingkungan 25 hingga 29 tahun. Jadi, hubungan kami lebih rapat dan lebih mesra. Kuliah pun 'sempoi' ditambahi lagi dengan kualiti penyampaian mereka yang sangat ilmiah. Susah untuk kita perolehi kuliah agama yang ilmiah di Malaysia. Kebanyakan Ustaz-ustaz yang mengajar di masjid hanya menceritakan hukum tanpa membawa dalil dari Quran, Sunnah dan kata-kata Sahabat. Akhirnya, apa yang berlaku, masyarakat lebih cenderung untuk taqlid buta dalam agama tanpa menilai sesuatu ibadah atau hukum itu benar-benar tepat atau tidak berdasarkan Quran dan Sunnah. Alhamdulillah, dengan pendedahan pendidikan agama seperti ini telah menaikkan semangat sahabat-sahabat yang lain untuk mendalami ilmu agama. Ada antara sahabat-sahabat saya yang mengaku, selama mereka berada di kampus, tidak banyak ilmu agama yang diperolehi. Dan bila mereka didedahkan dengan pembelajaran seperti ini, mereka sangat-sangat bersyukur bila dapat mengenali agama ini dengan lebih mendalam berdasarkan dalil-dalil dari Quran dan Sunnah yang sahih. Semoga kita semua dapat membaiki diri dan mengajak masyarakat kepada amalan dan pemahaman agama yang lebih sahih.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, program ini kebanyakkannya dihadiri oleh mereka yang langsung tidak mempunyai asas bahasa Arab. Malah hendak kira 1, 2 dan 3 dalam bahasa Arab pun tak tahu. Tapi dengan kaedah-kaedah pembelajaran bahasa Arab yang telah dimudahkan oleh ulama-ulama di Indonesia, maka pembelajaran menjadi mudah. Ramai orang mengatakan bahasa Arab merupakan bahasa yang susah untuk dipelajari. Tetapi bila kami belajar bahasa Arab dengan kaedah-kaedah yang mudah ini, kami merasakan ianya tidaklah susah seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. Ya Bahasa Arab memang mudah. Kerana itu ia menjadi bahasa Al-Quran. Dan Allah tidak akan menyusahkan hamba-hambaNya untuk memahami kalam-kalamNya.

Ya memang diakui, ada bahagian-bahagian tertentu dalam pembelajaran kami ini yang akan agak rumit untuk difahami kerana ia bahasa Arab mempunyai disiplin bahasa yang sangat ketat. Dan kami sering diberi motivasi oleh Ust Didik (guru kami) supaya bersabar dan terus belajar bahasa Arab. Kerana itu, dalam setiap pembelajaran kami, Ustaz-ustaz selalu menyelitkan kata-kata para ulama dan peribahasa Arab sebagai satu penaik semangat untuk kami menuntut ilmu. "Yang berusaha pasti berjaya!" , itu lah salah satunya kata-kata yang menjadi pemangkin diri supaya rajin mentelaah bahan-bahan pembelajaran di waktu lapang. Semoga Allah permudahkan kami untuk memahami bahasa Al-Quran dan Sunnah NabiNya sallahua'laihi wa sallam.

Gambar sekitar di Jogja

Seperti yang dijanjikan pada posting yang lepas, saya tunjukkan beberapa gambar kami di Jogjakarta.

(Dari kiri: Gori, Yus Amir, Syafiq, Danish, Abg Aidil, Anas, Fikri, Humaizi)

Pemandangan biasa di jalanan

Sawah di sekitar kawasan kediaman

Rumah penginapan kami

Ni gambar 'lori sampah' di daerah Pogung

Terima kasih Pak Ayob (kanan sekali) kerana banyak membantu kami!














Categories:

0 Response for the "Catatan Perjalanan Ke Jogjakarta (Sambungan)"