Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Pesta Lelayangan di UTP

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 6:57 PTG 2 komen


Oleh A.Humaizi

Petang tadi duk tengah menaip email, Mr Abang mengajak saya pergi ke sekitar Taman Tasik UTP untuk menyaksikan satu pesta layang-layang. Nampaknya cuaca pun berangin seperti hari nak hujan. Boleh jadi akan naik ler lelayangan budak-budak UTP nanti.

Sampai saja di sana, Mr Sarjan pun mengeluarkan teropongnya untuk menangkap gambar sekitar pesta tersebut.

Komen

Nampaknya penganjur bijak memilih acara yang menarik dan tertarik. Taniah diucapkan. Rasanya hiburan seperti ini lebih baik berbanding konsert-konsert yang sering dianjurkan atas tiket 'seni' dan 'hiburan'. Setuju? Hehe.. Sebab saya tak minat konsert. Sebab ianya menghakis budaya Melayu dan Islam saya.

Jadi, kalau nak anjurkan program-program persatuan, pastikan ianya akan menguatkan lagi jati diri anda sebagai seorang manusia yang beragama, berbudaya dan bernegara.

Tapi kalau buat konsert dan pertandingan ala-ala barat, nampaknya anda tidak sedikit pun menguatkan jati diri anda sebagai seorang yang beragama dan berbudaya dengan agama dan bangsa anda. Oleh itu, fikir-fikirkan kesan dan akibat bila anda menganjurkan program. Sama ada ianya bermanfaat untuk pembinaan sahsiah dan jati diri, atau makin meruntuhkan sahsiah, budaya dan jati diri masyarakat anda. Fikir-fikirkan.

Semoga bermanfaat.

Sekian. Terima kasih.

Gambar-gambar sekitar Pesta Lelayangan.

Lelayangan

Kayo la pakcik!

Mr Abang

Mr Bulan (Hilal)

Susah juga naikkan layang-layang

Langkah Pencegahan H1N1 di UTP

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 2:55 PTG 2 komen

Oleh: A. Humaizi

Semalam, saya mendapat berita tentang beberapa orang sahabat-sahabat saya telah dikuarantin kerana disyaki mengidap H1N1 dan pada petangnya pula, mak saya yang merupakan seorang Ketua Jururawat di Hospital Seri Manjung menelefon saya untuk memberi tahu tentang satu kes pelajar UiTM yang sedang bercuti telah pengsan di pasaraya Billion dan pelajar berkenaan telah disahkan mengidap H1N1 dan dimasukkan ke Hospital Seri Manjung.

Begitulah kes-kes yang terjadi di sekitar saya. UiTM Seri Iskandar telah ditutup kerana penularan wabak ini begitu juga kampus-kampus yang lain.


Pada pendapat saya, jika sesuatu kampus itu telah dilanda wabak ini, pelajar-pelajarnya tidak sepatutnya diberi kelepasan untuk pulang ke rumah kerana dikhuatiri mereka boleh menjadi ajen penyebaran penyakit ini kepada masyarakat di luar kampus. Itulah yang berlaku kepada pelajar UiTM seperti saya sebutkan di atas. Mereka sepatutnya tinggal di rumah, tetapi kerana tiadanya pengawasan yang ketat, maka mereka bebas ke sana sini yang akhirnya menyebabkan orang ramai gelisah bila mendapat berita pesakit H1N1 berada di sekitar mereka.


Disebabkan itu, jika sesuatu tempat itu dilanda wabak penyakit yang berjangkit, kita seharusnya menyekat orang yang berada di luar untuk masuk ke kawasan berpenyakit dan juga, orang yang di dalam kawasan berpenyakit tidak dibenarkan keluar dari kawasan mereka. Inilah yang disebut kuarantin.


Wallahua'lam mungkin perlu dikaji semula tindakan-tindakan pihak universiti yang membuat keputusan memberi kelepasan kepada pelajar-pelajar mereka bercuti ketika wabak ini menular di kalangan pelajarnya.


Universiti Teknologi PETRONAS


Kampus saya pun tidak terlepas dari penularan wabak ini, wallahua'lam entah berapa orang yang telah dikuarantin sebagai langkah penyekat penularan penyakit ini. Pihak pentadbiran universiti telah menyediakan satu asrama khas bagi pesakit-pesakit supaya benar-benar diasingkan dari pelajar-pelajar lain dan mereka juga telah menyediakan makanan secara percuma kepada pesakit-pesakit berkenaan.


Alhamdulillah, pada hari ini, pihak universiti telah membekalkan warganya dengan topeng muka sebagai langkah pencegahan individu. Memang sesuatu yang menarik dan unik bila melihat ramai warga kampus memakai topeng berkenaan. Bila berada dalam kuliah, boleh kata semua pelajar memakai topeng. Kelihatan seperti kelas NINJA pula. Apa pun, syabas kepada semua warga kampus kerana mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pencegahan penyakit ini.


Penutup


Sebagai penutup, marilah sama-sama kita menginsafi apa yang melanda kampus kita pada hari ini. Ditambah lagi dengan jerebu yang berlaku sejak kebelakang ini. Semestinya ada sesuatu yang perlu kita mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.


Siapakah yang memberi penyakit? Dan siapakah yang menghilangkan penyakit? Semestinya Allah. Kenapa Allah menguji kita sedemikian rupa? Boleh jadi kerana banyaknya kemasiatan yang telah kita lakukan. Dan ujian-ujian ini merupakan satu peringatan kepada kita semua.


Semoga kita redha dan sabar dengan ketentuan Allah ini, kemudian kita berusaha membaiki diri dan keadaan kita semua. Mohonlah kepada Allah swt agar kita dijauhi dari penyakit-penyakit yang merbahaya ini. Dan mohonlah keampunan daripada Allah swt atas segala kesilapan kita selama ini. Semoga kita insaf dan kembali kepada Allah azzawajalla.



Wallahua'lam.


Semoga bermanfaat.







Pekerja Cafe Pun Memakai Mask




Pakailah Topeng Muka ketika hendak ke kuliah. Macho jugak!









































Hari Yang Indah Di UTP

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 6:03 PTG 2 komen

Oleh A.Humaizi

Pada Jumaat lepas, cuaca di UTP sangat nyaman. Udaranya yang segar, langitnya yang cerah menampakkan pemandangan sekitar UTP yang sememangnya memukau pandangan bagi sesiapa yang memandang. Sejak berhari-hari negeri Perak dilanda jerebu, alhamdulillah, dengan turunnya hujan yang dikurniakan Allah, dapat lagiku merasai nikmat alam sekitar yang indah.

Sememangnya hari itu memang hari yang mengembirakan bagiku kerana diawal paginya hujan, kemudian disusuli dengan suasana nyaman dan segar. Ditambah lagi cerahnya penglihatan mata memandang daun-daunan yang menghijau, dan kicau-kicauan burung yang asyik dengan kegembiraannya setelah sekian lama bumi Perak ini diselubungi kabus yang entah dari mana datangnya.

Bila bumi ini dilanda jerebu tebal, aku teringat firman Allah swt yang bermaksud;

"Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata. Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, lenyapkanlah dari kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman." (Surah Ad-Dukhon: 10-12)

Sabda Nabi saw bermaksud;

"Hari kiamat tidak akan datang sebelum kalian melihat sepuluh (tanda-tandanya);

1) Terbitnya matahari dari barat;
2) Asap tebal
3) Binatang melata
4) Keluarnya Ya'juj dan Ma'juj
5) Turunnya Isa Putera Maryam
6) Dajjal
7,8,9 ) tiga khasf (penenggelaman) iaitu di bahagian timur, di bahagian barat dan di Jazirah Arab
10) api muncul dari lembah 'Adn (kota terkenal di Yaman) yang akan mengiring manusia. Api itu bersama mereka setiap saat, baik ketika mereka (tidur) di malam hari mahupun disaat mereka beristirehat disiang hari" (Riwayat Muslim no. 2901)

Kata Ibnu Katsir dalam tafsir beliau iaitu Tafsir Ibnu Katsir;

"Terdapat berbagai hadis marfu' (sampai kepada Nabi) dan mauquf (hanya sampai pada sahabat), ada yang sahih dan ada yang hasan yang dirasa sudah cukup membuat puas dan memberikan petunjuk yang pasti bahawa asap tebal merupakan salah satu tanda-tanda besar bagi kejadian hari kiamat yang ditunggu kedatangnya, dan itulah yang nampak dari zahir ayat al-Quran. Allah swt berfirman (maksudnya) "Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata". NYATA, yakni jelas dan terang dimana setiap orang mampu melihatnya." (Sahih Tafsir Ibnu Katsir m/s 254, jilid 8)

Wallahua'lam. Moga-moga sedikit perkongsian memberi kita sedikit peringatan tentang hari kiamat.

Sahabat dan juga guru saya, Ust Alfir pernah berpesan kepada saya semasa bersama-sama menaiki motosikal. Dikala kami melewati pasangan-pasangan lelaki dan wanita yang berdua-duaan, beliau berpesan kepada saya, katanya;

"Antum di sini telah dikurniakan Allah nikmat yang terlalu banyak, maka peliharalah ia sebelum ditarik oleh Allah"

Begitulah komennya bila melihat pelajar-pelajar Muslim juga Non muslim ramai yang berdua-duaan dikala malam. Sepertinya mereka ini tidak tahu erti malu untuk berdua-duaan di tempat gelap. Dikhuatiri kerana banyaknya maksiat di bumi ini, akan turunnya azab Allah swt. Boleh jadi azab itu juga akan menimpa orang-orang soleh yang lain. Seperti firman Allah yang bermaksud "Yang meliputi manusia, inilah azab yang pedih" (Ad-Dukhon: 11)

Indahnya UTP pada hari itu

Pada Jumaat itu, aku tidak lepas mengambil kesempatan untuk merakamkan keindahan alam ciptaan Allah swt. Sungguh nikmat alam yang indah ini merupakan satu nikmat yang berharga bagi mereka yang mahu menikmatinya.

Sekadar berkongsi cerita dan pengalaman di UTP.
Semoga ada manfaat bagi semua. :)


Pemandangan Cafe V5
Nazri

Track Joging di sekitar tasik UTP


Humaizi dan Nazri
Masjid An-Nur Sewaktu Maghrib
Masjid An-Nur UTP (Tengah Malam)
Suhaimi

Ust Alfir Menyampaikan Kuliah di Masjid An-Nur

Idea "Kebebasan" Meracuni Masa Depan Ummah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:00 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Idea “Kebebasan” meracuni masa depan ummah.

Kita sering terdengar laungan dan pekikan suara menuntut pelbagai perkara atas dasar kebebasan. Antaranya, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan beragama dan juga kebebasan dalam hal-hal lain. Semuanya ini dilaungkan oleh orang-orang yang mengaku sebagai aktivis, pendakwah, ahli politik malah orang biasa pun ada.

Tetapi tahukah kita, dari mana asalnya idea “kebebasan” ini muncul?

Di dalam buku “Protokol-protokol Mesyuarat Para Pemimpin Ilmiah Zionis” terbitan Thinkers Library, telah digariskan pelbagai protokol Yahudi Zionis untuk menakluki dunia. Protokol tersebut merupakan prinsip atau strategi asas bagi para ilmuan zionis untuk melakukan sesuatu semata-mata untuk mencapai tujuan makar si Yahudi tersebut. Buku ini merupakan terjemahan penuh dari teks Bahasa Rusia ke Bahasa Inggeris oleh Victor E Marsden, bekas wartawan Akhbar Rusia “The Morning Post” 1934.

Di dalam buku ini disebutkan

“Kebebasan politik merupakan suatu idea tetapi bukan suatu fakta. Seseorang mestilah tahu untuk menggunakan idea ini, bila mana diperlukan sebagai umpan untuk menarik ramai orang kepada satu pihak dengan tujuan menghancurkan pihak yang lain, iaitu pihak berkuasa. Tugas ini menjadi lebih mudah jika pihak lawan sendiri telah terpengaruh dengan idea kebebasan, yang dipanggil liberalisme, dan demi suatu idea, pemerintah sanggup menyerahkan sebahagian dari kuasanya. Di sinilah terserlahnya kejayaan teori kita; pengurangan kuasa memerintah melalui kerajaan akan berlaku serta-merta, oleh undang-undang kehidupan, diburu dan dikumpul oleh suatu kuasa baru, kerana sesebuah Negara yang tiada pedoman tidak boleh wujud tanpa bantuan walaupun hanya untuk sehari, dan hanya penguasa baru sahajalah yang layak beraa di tempat orang yang terdahuluy yang telah dimahkan oleh liberalisme.

Di masa ini, kuasa yang telah menggantikan pemerintah yang liberal adalah kuasa Emas (bersifat materialisme). Masa adalah apabila Kepercayaan memerintah. Idea kebebasan adalah mustahil untuk direalisasikan kerana tiada sesiapun yang tahu untuk menggunakannya dengan kesederhanaan. Dengan menyerahkan kepada sekumpulan manusia untuk berkerajaan sendiri bagi suatu jangka masa tertentu sudah mencukupi untuk menukar kumpulan tersebut menjadi perusuh yang bercelaru. Pada saat itulah, kita mulakan persengketaan yang saling hancur dan menghancurkan yang akan merebak menjadi peperangan di antara kelas masyarakat yang berbeza, yang mana Negara akan hancur kerananya dan kepentngannya tinggal sebagai timbunan debu.”


Maka telah jelas, golongan Yahudi Zionis telah menjalankan usaha mereka dalam mempromosikan idea kebebasan. Mereka tahu bahawa idea kebebasan tidak dapat dilaksanakan secara sederhana oleh sesiapapun. Oleh itu, perlulah masyarakat sekalian peka dengan slogan-slogan ke arah “HAK KESAMA RATAAN”, “Pejuangan hak asasi manusia”, “Kebebasan Media dan Kebebasan Politik”, dan yang sewaktu dengannya.
Semua ini merupakan akibat daripada pengaruh politik yang dicanangkan oleh puak-puak Yahudi Zionis dan telah diimani oleh sebahagian besar umat manusia.

Prinsip Islam

Kesederhanaan (Al- Wasatiyyah) merupakan salah satu ciri Islam yang istimewa. Al-Wasatiyyah bermaksud pertengahan antara dua keadaan atau pihak. Maksudnya, ketika menjaga kepentingan satu pihak atau keadaan, kepentingan pihak yang satu lagi tidak diabaikan. Dalam erti kata lain, tidak ifrat (melampau) dan tidak tafrit (Cuai) [1]

Itulah prinsip yang terkandung dalam ajaran Islam, segala perkara yang hendak dilakukan hendaklah secara sederhana. Sifat sederhana inilah yang menjamin kelangsungan sesuatu perjuangan dan amalan. Sikap berlebih-lebihan dan melampau ataupun cuai dan tidak mengambil peduli merupakan suatu sikap yang tercela di dalam Islam.

Wallahua’lam.




[1] Membela Islam: Tanggungjawab dan Disiplin. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Karya Bestari Sdn Bhd 2006

PATUT ATAU TAK PATUT?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 6:49 PTG 0 komen


Oleh A.Humaizi

Patut atau Tak patut?


Berhibur,

Tak berani aku katakan hiburan itu haram secara total,

Kerana jiwa manusia itu suka dengan berhibur.

Terkadang aku terfikir,

Mengapa manusia bersungguh-sungguh mencari hiburan,

Seoalah-olah hiburan itu di tangga yang pertama.

Hari-hari entah berapa jam telinganya didengarkan dengan muzik,

Ada yang rock, balada, nasyid, hiphop dan lain-lain lagi.

Entah berapa jam pula mata mereka dihidangkan dengan cerita-cerita seram, kelakar dan kesedihan.

Entah berapa ringgit pula wang mereka di habiskan semata-mata mencari hiburan, tiket wayang, beli kaset, beli cd, komik dan macam-macam lagi.

Ah, sepertinya manusia ini hidupnya untuk berhibur!

Bukanlah aku ingin katakan hiburan itu haram.

Tapi aku ingin nyatakan,

ADAKAH PATUT atau TIDAK PATUT?

Adakah patut muzik tidak kira apa jenis lagunya didengari lebih banyak dari bunyinya alunan Quran? Sedangkan Quran itulah penenang jiwa.

Adakah patut kita mendengar nasyid sampai dua jam sehari, tapi mendengar bacaan al-Quran hanya 10 minit sehari?

Nampaknya nasyid itu mungkin lebih baik dari lagu-lagu lain, tapi adakah patut nasyid itu lebih banyak didengari berbanding bacaan Quran?

Sekali lagi aku nyatakan,

Bukanlah aku ingin katakan hiburan itu haram.

Tapi aku Cuma ingin bertanya kepada diri,

ADAKAH PATUT, atau TIDAK PATUT?

Adakah patut engkau suapkan jiwa engkau dengan muzik berbanding Al-Quran?

Adakah patut engkau isi minda engkau dengan muzik berbanding al-Quran?

Wahai insan yang mempunyai jiwa,

Bukanlah aku ingin katakan hiburan itu haram.

Tapi ambillah ia sekadarnya sahaja.

Dan tidak berlebih-lebihan.

Lebihkanlah hal-hal yang lebih bermanfaat dalam dirimu,

Lebihkan mendengar al-Quran berbanding Nasyid atau muzik-muzik yang lain,

Lebihkan mendengar majlis-majlis ilmu berbanding menonton cerita-cerita di TV.

Lebihkan wang anda untuk bahan-bahan ilmu berbanding bahan-bahan hiburan.

Kesimpulannya,

Lebihkan masamu untuk hal-hal yang lebih berfaedah untuk dunia dan akhiratmu.

Semoga umur kita ini banyak diisi dengan hal-hal yang bermanfaat, berbanding hal yang kurang bermanfaat.

Moga-moga dengan soalan PATUT atau TIDAK PATUT,

Menjadikan kita berubah ke arah yang lebih baik secara beransur-ansur.

Wallahua’lam

Semoga bermanfaat.

Melayu - Oleh Usman Awang

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:34 PG 0 komen

Oleh Zaini Hassan

SASTERAWAN Negara, Datuk Dr. Usman Awang (12 Julai 1929 - Ramadan 29 November 2001) mencoret sajak bertajuk Melayu dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Renungilah, hayatilah setiap patah ayat-ayat keramat bekas wartawan Utusan Melayu ini; yang segenap hidupnya dikorbankan demi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Allahyarham seorang penulis yang berani. Beliau menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa bangsanya, agamanya dan tanah airnya. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis apabila sudah berani menyatakan sikap.

“Kalau tak berani tak payah jadi penulis,” kata Tongkat Warrant.

Demi orang Melayu yang amat mengharapkan gagasan perpaduan UMNO-Pas - yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk apa yang dikenalinya sebagai ‘kerajaan perpaduan’ - sekali lagi, bacalah, hayatilah sajak ini...



Melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mua‘alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

Usman Awang

(Dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_08.htm)

Pendakwah Pemaki Hamun

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:59 PG 6 komen

Oleh A.Humaizi

Pernahkah anda terjumpa dengan pendakwah yang suka memaki hamun?
Ya, saya pun biasa menjumpainya. Kita nampak mereka biasa menuturkan ayat-ayat Quran dibibirnya, lalu dengan begitu mudah menabur fitnah, mencaci, menyesatkan orang, mengatakan orang lain munafik, tidak kurang jugak yang mengatakan orang lain musyrik dan kafir!

Sikap seperti ini sama seperti sikap puak Khawarij. Pihak Khawarij suka mengkafirkan orang-orang yang melakukan dosa besar. Mungkin di negara kita ini amat jarang sekali kita menjumpai orang mengkafirkan puak-puak lain, tetapi kita sering jumpa dengan orang yang suka label orang lain sebagai "Puak Munafiq"!

Waa, sungguh hebat mereka ini! Sedangkan pada zaman Rasulullah pun, walaupun Rasulullah tahu Abdullah Bin Ubai seorang yang Munafik Tulen, tetapi baginda tidaklah menghebah-hebahkannya kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Hanya sahabat tertentu sahaja yang tahu perihal siapakah orang munafik di zaman Rasulullah saw.

Tapi di zaman kita, ada pihak yang begitu mudah mulutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kononnya nampak 'Islam', tapi hakikatnya penuh dengan sifat kemunafikan. Alasan mereka untuk menghalalkan semua itu adalah "Menentang Kezaliman".

Marilah kita hayati firman Allah yang bermaksud

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya." - (Al-Baqarah : 11-12)

Berhati-hatilah wahai kita semua! Mungkin apa ya
ng kita ucapkan nampak ringan di mulut kita, tapi ianya berat di sisi Allah swt.

Hayati firman Allah swt bermaksud;

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." (An-Nur: 15)

Dan juga sama-sama kita hayati hadis Nabi saw di bawah ini;

Nabi saw bertanya kepada Muaz Ibn Jabal "Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala perkara tersebut? Aku (Muaz) berkata: Mahu ya Rasulullah! Lalu Baginda memegang lida
hnya seraya bersabda: Peliharalah benda ini! Aku berkata: Ya Nabi Allah! Adakah kita akan diseksa lantaran apa yang dibicarakannya? Baginda bersabda: lbumu akan kehilanganmu wahai Mu'az! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya - atau Baginda bersabda - dihumbankan batang hidungnya ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanaman lidah-lidah mereka.
(HR Tirmidzi - Sahih. Sumber Hadis ke 29 dari kitab hadis 40 oleh Imam Nawawi)

Oleh itu, marilah kita menjadi seorang mukmin yang sentiasa memelihara lidah kita dari berkata perkara-perkara yang tidak sepatutnya diucapkan
oleh seorang muslim.

Semoga bermanfaat.

P/s:

Saja nak share satu gambar sebagai pengajaran. Saya tidak tahulah apa niat sebenar saudara kita seorang ni menulis statusnya seperti ini. Tetapi, menyamakan pihak-pihak tertentu yang semuanya muslim dengan MUSYRIK adalah satu sika
p yang melampau. Wallahua'lam, semoga Allah mengampuni penulis status tersebut.



"Bercinta Sampai Ke Syurga"

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:33 PG 2 komen


Oleh A.Humaizi

Semalam selepas Isyak, saya ke kedai buku Popular di Jusco Bukit Raja. Ada orang pesan suruh beli buku Ust Hasrizal "Aku Terima Nikahnya 2; Bercinta Sampai ke Syurga"

Dulu saya ada baca buku "Aku terima Nikahnya" edisi pertama. Memang best pun buku tu, tapi saya belum habis baca sampai ke kulit akhir buku tersebut :).

Tapi untuk kali ini, saya hanya belikan atas pesanan orang lain aje. Dapat baca sikit-sikit ja.

Berikut ada sedikit ulasan dari penerbit buku ini.

"Buku kedua Ust Hasrizal ini mengandungi rakaman kisah realiti alam rumah tangga dan nasihat yang tersendiri, mencuit hati, geram, sinis, marah; kesemuanya diadun dalam nada bersahaja namun isinya tetap tajam dan mantap! Barangkali bagi yang membacanya ada yang terkena batang hidung sendiri, tak kurang yang lega kerana isi hati yang terbuka akhirnya mendapat suara."

Jadi siapa-siapa yang berminat, bolehlah membelinya di kedai-kedai2 buku berhampiran. Sekarang ni di kedai buku popular ada diskaun 15%.. Rugi kalau tak beli. :)

Penyejuk Mata

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:51 PTG 0 komen

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:57 PTG 2 komen


Oleh: Abu Bakr Al-Humaidi

Benarkah Berguru Dengan Buku, Ibarat Berguru Dengn Syaitan?

Pernah sekali di kampus, saya membawa buku Kitab Fikih Mazhab Syafie ke Masjid di kampus saya untuk berbincang dengan Ustaz tentang suatu permasalahan agama kerana saya mempunyai beberapa kekeliruan semasa membaca kitab berkenaan. Semasa sesi perbincangan, ada beberapa orang jemaah masjid yang sama-sama mengikuti sesi perbincangan bersama Ustaz. Di akhir sesi perbincangan tersebut, seorang senior membelek-belek buku berkenaan lalu menasihati saya supaya berguru jika mahu membaca kitab-kitab fikih. Saya hanya tersenyum bila mendengar nasihatnya sambil timbul dalam benak fikiran saya beberapa persoalan untuk menjawab semula nasihatnya seolah-olah tidak boleh membaca kitab fikih secara sendirian.

Saya pernah juga berhujah dengan seorang senior saya di dalam email mengenai hal-hal berkaitan wajibnya mentaati pemerintah walaupun mereka zalim (iaitu dalam hal-hal yang ma’ruf). Dalam perbincangan tersebut banyak juga dalil yang saya kemukakan.Sebenarnya bukan semua dalil saya hafal, saya hanya copy dan paste dari internet dan sempat merujuk buku-buku yang ada di hadapan saya semasa itu sebagai bahan hujah saya. Yang sangat menggelikan hati saya adalah, dalam sesi berhujah itu, senior saya ada mengugut saya dengan perkataan “kuarantin” dari jemaah/organisasi kerana selalu memberi pendapat yang berbeza dengan sebahagian ahli-ahli organisasi. Akhir dari sesi perbincangan tersebut, senior saya memberi amaran kepada saya sekali lagi dengan satu ungkapan yang katanya merupakan hadis Nabi saw (padahal ianya bukan hadis), katanya “Barangsiapa yang berguru dengan buku, ia ibarat berguru dengan syaitan”.

Saya begitu terkejut dengan perkataan beliau yang menyatakan ayat tersebut adalah hadis nabi, lalu saya terus search di internet dan mendapat beberapa artikel berkenaan ungkapan berkenaan. Ternyata, ianya bukanlah perkataan Nabi mahupun perkataan sahabat Nabi saw. Lalu saya pun memberi amaran kepada beliau dengan hadis Nabi saw yang bermaksud “Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka” (HR Bukhari dan Muslim). Selepas dari posting tersebut, senior saya terus tidak membalas email saya. Moga-moga dia mengambil pelajaran betapa bahayanya mencipta hadis palsu dan perlunya berhati-hati menukilkan kata-kata Nabi saw.

Buku Karangan Manusia Vs Quran Al-Karim

Ternyata, jika kita membezakan darjat buku-buku yang dikarang oleh manusia biasa (termasuklah para ulama), maka ianya tidaklah boleh menandingi darjat Kitab Al-Quran yang merupakan perkataan-perkataan Allah. Tetapi, ternyata Nabi saw menyarankan kita supaya membaca Al-Quran seperti sabdanya;

“Dari Abu Umamah r.a dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (HR Muslim).

Malah, Nabi saw menyarankan para sahabatnya supaya membaca al-Quran walaupun masih merangkak-rangkak seperti dalam sabdaannya yang bermaksud;

“Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dalam membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia lagi sangat taat. Sedangkan yang membaca al-Quran dengan bertatih-tatih dan bacaan itu terasa sulit baginya mendapat dua pahala” (HR Bukhari dan Muslim)

Sudah pastilah yang mendapatkan kebaikan dari pembacaan Quran itu mestilah memahami isi kandungan Quran dan mengamalkan ajarannya. Dan yang dimaksudkan mendapat dua pahala itu adalah pahala membaca Quran dan satu lagi pahala belajar membaca al-Quran. Wallahua’lam.

Maka di sini jelas, Quran yang sangat tinggi darjatnya pun dituntut untuk dibaca sendiri-sendiri sebagai sumber peringatan, inikan pula buku-buku karangan manusia yang berlambak di atas muka bumi ini. Maka boleh jugalah dibaca untuk mendapatkan peringatan dan ilmu-ilmu yang lain.

Bertanya Kepada Ahli Ilmu Jika Tidak Tahu

Allah swt mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah swt menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;

“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)

Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.

Anjuran Berkata “Allah lebih mengetahui” (Allahu A’lam)

Salah satu dari tuntutan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah mengatakan “Allah lebih mengetahui” dalam perkara-perkara yang tidak jelas kepada kita. Inilah tuntutan disiplin ilmu dalam Islam. Kita hanya boleh berkata dalam ruang lingkup yang kita tahu sahaja, sebaliknya jika kita tidak tahu hendaklah kita mengatakan Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui) dan berdiam diri dari menambah-nambah perkara yang dia tidak tahu.

Pernah sekali Imam Malik r.h didatangi oleh seorang lelaki untuk bertanya kepadanya tentang empat puluh persoalan. Akan tetapi beliau hanya menjawab empat daripada empat puluh persoalan tersebut. Selebihnya beliau menyatakan “Saya tidak tahu”. Sehingga lelaki yang bertanya itu mengatakan, “Saya datang dari negeri yang jauh dengan tungganganku dan anda hanya mengatakan ‘Saya tidak tahu’

Imam Malik lalu berkata “Naikilah tungganganmu, dan kembalilah ke negeri asalmu dan katakanlah “Saya telah bertanya kepada Malik, dan dia hanya mengatakan “Saya tidak tahu”.

Demikian juga Nabi saw, apabila ditanya sesuatu yang belum diturunkan wahyu kepadanya, beliau akan menunggu sehingga ada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepadanya.

Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pedengaran, penglihatan dan hati semua itu akan diminta petanggungajawabannya” (Al-Isra’ :36)

Penutup

Oleh itu, kepada para pembaca. Marilah kita menuntut ilmu terutamanya ilmu berkaitan dengan agama. Yang dikatakan agama itu adalah al-Quran dan As-Sunnah.

Sumber mendapatkan ilmu itu ada pelbagai. Melalui kuliah agama di masjid secara bertalaqi, mendengar mp3 taupun rakaman video, malah melalui pembacaan. Semua memberi manfaat kepada kita semua.

Usah takut untuk membaca, kerana membaca itu adalah kunci ilmu. Kejayaan sesuatu tamadun adalah kerana tingginya budaya membaca dalam masyarakatnya. Yang penting, kita mestilah mengikuti adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.

Usahlah percaya dengan slogan-slogan orang yang lemah fikirannya. Mereka melarang manusia membaca kitab-kitab agama dengan alasan “Berguru dengan buku ibarat berguru dengan syaitan”. Dari perbuatan mereka ini, ternyata mereka mengharamkan apa yang tidak diharamkan oleh Allah. Semoga Allah mengampuni kesilapan kita semua atas kejahilan kita yang terdahulu.

Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Sumber:


1. Penjelasan Ringkas Matan Akidah At-Thahawiyah, Akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Syaikh Salih bin Fauzan, ms 269. Pustaka Asy-Syifa, Indonesia.

2. Riadus Solihin, Imam Nawawi, Bab Keutamaan Membaca Al-Quran, ms 211.