Dahulu saya pernah tertanya-tanya, kenapa para Ustaz jarang sekali bersama-sama orang ramai dalam majlis zikir seperti halaqah mathurat, membaca surah Yassin setiap Khamis malam Jumaat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai pada setiap malam, membuat majlis tahlil dan pelbagai amalan-amalan lain yang menjadi tradisi masyarakat Melayu.
Setelah saya mengetahui sebabnya dan saya meninggalkan amalan-amalan tersebut, mungkin ada yang kehairanan, kenapa saya tidak hadir ke majlis-majlis seperti majlis membaca al-mathurat, membaca surah al-Mulk beramai-ramai (Liqa’ Al-Mulk), membaca yassin pada setiap malam Jumaat, majlis tahlil (sedekahkan pahala kepada orang mati) dan lain-lain majlis seumpamanya. Sepertinya saya ini tidak suka dengan majlis mengingat Allah swt. Ianya membuat saya tersenyum jika ada orang yang berprasangka sedemikian.
Syarat-syarat Ibadah Diterima oleh Allah(1)
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, telah banyak disebutkan oleh para ulama muktabar tentang syarat-syarat diterimanya sesuatu ibadah oleh Allah swt. Sesuatu amalan itu tidak akan diterima oleh Allah swt sekiranya tidak menepati kesemua syarat-syarat tersebut.
Syarat-syarat asas penerimaan sesuatu ibadah itu ada dua iaitu;
1. Ikhlas
Sesuatu amalan tidak akan diterima selagi tidak ikhlas hanya kerana Allah swt. Maksud ikhlas dalam ibadah ialah meniatkan segala ibadah semata-mata kerana Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu dan tanpa sebarang riya’ dan takabbur dalam mengerjakannya. Allah swt telah berfirman yang bermaksud;
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. – (Surah Az-Zumar: 11)
Kemudian sabda Nabi s.a.w yang bermaksud;
” Sesungguhnya segala amalan-amalan adalah atas niatnya masing-masing dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu adalah apa yang telah dia niatkan. Barangsia yang hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya (akan diterima) kerana Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan ia perolehi dan wanita yang hendak dinikahinya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju (dunia dan wanita)” – (HR Bukhari dan Muslim)(2)
2. Mengikuti sunnah Rasulullah saw
Sesuatu amalan ibadah tidak akan diterima selagi tidak menepati petunjuk (Sunnah) Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud;
”Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (Surah Al-Hasyr: 7)
Oleh kerana itu, Rasulullah saw pernah memberi amaran bahawa sesuatu amalan ibadah itu akan ditolak sekiranya tidak bersumber/bertepatan dengan pentunjuknya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;
”Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan tanpa dasar perintah kami, maka ianya tertolak” (HR Muslim)
Oleh kerana itu, dalam menafsirkan ayat ke-2 surah Al-Mulk yang bermaksud;
”Untuk menguji kamu, siapa yang lebih baik amalnya”
Maka Al-Fudhail Bin Iyadh (wafat: 187H) seorang ulama generasi tabi’ut tabieen yang masyhur telah berkata:
”Seikhlas-ikhlasnya dan sebenar-benarnya.” Kemudian beliau ditanya: ”Apakah seikhlas-ikhlas dan sebenar-benarnya?” Jawabnya: ”Sesungguhnya amalan-amalan yang ikhlas tetapi tidak benar, maka ianya tidak diterima. Dan sekiranya amalan itu benar, tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak diterima. Sehinggalah (sesuatu amalan itu) mempunyai ikhlas dan benar (barulah diterima oleh Allah). Ikhlas itu ialah diamalkan kerana Allah dan benar itu ialah mengikuti sunnah (Rasulullah saw).”
Setelah seseorang mengetahui syarat-syarat sesuatu ibadah itu diterima oleh Allah swt, maka hendaklah dia berusaha mengikhlaskan niat kerana Allah swt dan belajar beribadah sesuai dengan tuntutan sunnah Rasulullah saw.
Masalah-masalah amalan masyarakat Melayu
Jadi, apakah sebabnya saya meninggalkan amalan-amalan yang saya nyatakan diatas? Saya tidak akan menyentuh bab ikhlas, kerana ikhlas itu dinilai oleh Allah swt. Tetapi sebagai seorang manusia, kita boleh menilai sesuatu itu dengan melihat zahir perlakuan/amalan seseorang sama ada betul atau tidak.
1. Membaca Al-Mathurat secara berjemaah - Membaca doa-doa yang mathur dari Nabi saw itu adalah sunnah, TETAPI membaca doa secara beramai-ramai dengan membuat halaqah (bulatan), membacanya dengan kuat (jahar), dan terdapat pula seorang yang mengepalai bacaan doa sambil diselang-seli dengan wirid Rasulullah maka kesemua itu tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Maka kerana itu, membaca doa tersebut adalah benar, tetapi CARAnya telah menyanggahi sunnah Rasul saw.
2. Membaca surah Al-Mulk secara berjemaah (Liqa’ Al-Mulk) – Membaca surah al-Mulk itu sunnah, tetapi melakukannya secara beramai-ramai secara jahar, dan diketuai oleh ketua (tekong), maka itu bukan pentunjuk dari Rasulullah.
Anda memang digalakkan membaca surah Al-Mulk berdasarkan hadis;
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: ”Dari sebahagian al-Quran adalah satu surah yang terdiri dari tiga puluh (30) ayat, dia memberi syafaat pada seseorang hingga diampuni (dosa-dosa) untuknya, iaitu surah’ tabarakal lazi biyadihi mulk’ (Surah al-Mulk)” – (HR Abu Daud dan Tirmidzi, dia berkata ”Hadis Hasan”)(3)
Juga terdapat juga hadis yang menyebutkan kelebihan membaca surah al-Mulk ini pada setiap malam sebelum tidur tetapi saya tidak memasukkan hadisnya di sini kerana tidak mengetahui darjat hadis berkenaan.
3. Membaca Yassin berjemaah setiap khamis malam jumaat – sama halnya seperti di atas, membaca surah yassin dan juga surah-surah di dalam al-Quran itu adalah sunnah dan digalakkan. TETAPI tidak pernah diajarkan oleh Nabi saw untuk mengkhususkan membaca Surah Yassin pada hari-hari tertentu, malah Rasulullah melarang kita mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat selain apa yang telah beliau khususkan seperti menunaikan solat Jumaat, membaca surah al-Kahfi dan banyakkan berdoa. Hadis yang menunjukkan haramnya mengkhususkan sesuatu amalan pada hari Jumaat adalah;
"Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk berqiam dari malam-malam lain, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa dari hari-hari lain, melainkan telah menjadikan puasa kebiasaan dikalangan kamu" [hadith Riwayat Muslim; #1144)(4)
”Kami Buat Amalan Tersebut Untuk Tujuan Didikan”
Ramai pelaku-pelaku amalan tersebut beralasan, mereka melakukan amalan-amalan fardhi (individu) secara berjemaah bertujuan mendidik masyarakat.
Maka saya menjawab,
”Benar, Rasulullah pun pernah zikir selepas solat secara jahar bertujuan mengajar makmum (para sahabat). Tetapi Rasulullah saw memberhentikannya setelah mendapati para sahabatnya telah mengetahui zikir-zikir yang disunnahkan. Kemudian mereka berzikir secara sendiri-sendiri (5). Maka di sini jelaslah kepada kita, proses pendidikan itu hendaklah diberhentikan setelah mendapati orang-ramai telah mengetahuinya. Sayangnya, masyarakat sekarang ini umpamanya masih belum pandai berzikir sehingga imam terpaksa membacanya secara jahar. Lebih memburukkan lagi, zikir secara jahar ini telah menjadi amalan berterusan dan kebiasaan masyarakat kita. Dan dikhuatiri, ianya boleh menjatuhkan kita ke dalam bid’ah.
Oleh kerana itu, jika anda beralasan amalan-amalan tersebut sebagai pendidikan, maka beritahukan kepada saya, bila waktunya untuk anda memberhentikan amalan tersebut (secara berjemaah). Bukankah orang ramai yang mengikuti majlis anda (majlis zikir) tersebut sudah pandai membaca mathurat, membaca quran dan zikir? Jadi, jika benar amalan itu sebagai pendidikan, maka saya menunggu ’anak didikan’ anda pandai berzikir sendiri tanpa perlu diajar lagi. Jika tidak, maka nampaknya pendidikan yang anda terapkan gagal memandaikan mereka berzikir mengikut sunnah Rasulullah saw.
Wallahua’lam.
Semoga bermanfaat
Rujukan
1. Ismail Bin Omar, Manhaj Aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah, Access Infotech Sdn Bhd, Malaysia.
2. Hadis 40, Imam An-Nawawi. Media Insani, Indonesia.
3. Terjemahan Riadhus Solihin, Imam An-Nawawi. Duta Ilmu Surabaya. Indonesia.
4. Soal Jawab Doa dan Zikir, http://qazikirdandoa.blogspot.com/
5. Kitab Fikh Mazhab Syafie, Bab Solat, Pustaka Darus Salam, Malaysia)