Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Perbezaan Sikap di antara Ahlussunnah dengan Ahlul Batil (Ahlul Bid’ah)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:23 PG 7 komen


Oleh A.Humaizi


Ketahuilah wahai saudaraku, akidah Ahlussunnah wal Jamaah itu mempunyai prinsip-prinsip tertentu supaya ianya dapat dibezakan dengan akidah yang sesat iaitu akidahnya Ahlul Bid’ah. Selain seseorang itu mengetahui tentang bid’ah-bid’ah yang kecil iaitu bid’ah dalam amalan, dia juga perlulah mengetahui tentang bid’ah yang besar iaitu bid’ah di dalam akidah. Ini adalah kerana, bid’ah yang kecil itu, jika dibiarkan secara berterusan, ianya boleh menjadi penyakit kepada pemikiran seseorang muslim yang akhirnya mencelarukan akidahnya. Bagaimana penyakit yang kecil boleh merebak menjadi besar? Kerana mereka pada mulanya menganggap remeh bid’ah-bid’ah yang kecil sehingga akhirnya mereka membina prinsip-prinsip agama mengikut hawa nafsu sendiri untuk menghalalkan bid’ah kecil itu, lalu dengan prinsip-prinsip sesat itu, terjadilah pemikiran-pemikiran baru yang sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah. Lalu, prinsip-prinsip sesat tersebut menjadi doktrin dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.

Maka tidak hairanlah, banyak hadis-hadis Rasulullah sallallahua’laihiwassalam yang memperingatkan para sahabat tentang perpecahan umat yang bakal berlaku selepas kewafatan baginda. Ini adalah seperti sabdaan baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Najih Irbadh Bin Sariyah r.a. berkata:

Rasulullah saw pernah menasihati kami dengan nasihat perpisahan yang meluluhkan hati dan mencucurkan air mata. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, sepertinya ini adalah nasihat perpisahan kerana itu berilah kami nasihat”. Beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepada kalian untuk tetap menjaga ketaqwaan kepada Allah azza wajalla, tunduk dan taat (kepada pemimpin) meskipun kalian dipimpin oleh hamba sahaya. Kerana orang-orang yang hidup sesudahku akan melihat berbagai perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku, dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah kuat-kuat sunnah itu dengan gigi gerahammu dan hindarilah ajaran-ajaran yang baru (dalam agama), kerana semua bid’ah itu sesat.”(HR Abu Daud dan Tirmidzi, ia berkata, “Hadis ini Hasan Sahih”)

Dari hadis ini, dapatlah kita ketahui bahawa, perpecahan itu adalah sunnatullah dan pasti berlaku. Walaupun Nabi mengkhabarkan perpecahan yang bakal terjadi, tetapi, di dalam masa yang sama, Nabi saw memerintahkan para sahabat supaya tetap berpegang kepada sunnahnya dan sunnah Khulafaur Rasyidin. Dapatlah kita ketahui di sini, dua perkara yang berbeza, iaitu ketentuan Allah dan perintah Allah.

Allah telah menentukan, manusia di akhir zaman ini akan berpecah belah dan penuh dengan kerosakan, tetapi perintah dari Nabi saw adalah supaya para sahabat tetap berpegang teguh dengan sunnah dan tidak terikut-ikut dengan golongan-golongan yang sesat. Maka, janganlah ada dikalangan manusia ini yang menyalahkan suasana persekitarannya yang merosakkan dirinya. Tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya kerana dia tidak memelihara dirinya dari kerosakan yang ada.

Apakah permasalahannya jika manusia ini berpecah? Dan apakah kepentingan yang menyebabkan kita menghebah-hebahkan hadis tentang perpecahan ini? Atau, adakah kita suka dengan dengan perpecahan?

Tidak! Kita bukanlah gembira dengan perpecahan! Malah kita sangat meloba-lobakan kesatuan! Dan kita tidak akan menyebutkan permasalahan ini secara besar-besaran melainkan kerana ianya adalah hadis Rasulullah saw yang juga merupakan wahyu. Boleh jadi, jika perkataan perpecahan itu diucapkan oleh orang biasa, sudah tentu dia akan dihina dan dihamun. Tetapi, insan yang menyebutkan permasalahan ini adalah Rasulullah saw sang kekasih Allah! Bukanlah beliau menyebutkan hal ini dengan hawa nafsu semata-mata! Ianya adalah adalah wahyu dari Allah.

Permasalahannya bukanlah kepada takdir Allah itu yang menetapkan manusia itu berpecah, tetapi permasalahannya adalah, saya dan kalian berada di dalam kelompok mana? Sama ada kelompok yang mengikuti sunnah Nabi dan sunnah Khulafaur Rasyidin, atau di kelompok bid’ah yang sesat?

Maka dalam hal ini, sukalah saya berkongsi dengan kalian, apa yang disebutkan oleh Ibnu Qayyim r.h yang saya kutip dari sebuah buku yang bertajuk, ‘Merekalah Golongan Yang Selamat’. Antara sikap Ahlul Sunnah wal Jamaah yang membezakannya dengan ahlul bid’ah adalah;

1. Ahlussunnah meninggalkan perkataan manusia demi mengikuti sunnah, sedangkan ahli bid’ah meninggalkan sunnah demi mengikuti perkataan manusia. (pent- manusia di sini boleh jadi tokoh-tokoh, syaikh-syaikh mereka, ustaz-ustaz mereka dan lain-lain)

2. Ahlussunnah membandingkan perkataan manusia dengan sunnah. Apa yang sesuai dengannya, mereka terima, dan apa yang tidak sesuai dengannya, mereka tolak! Sementara ahli bid’ah membandingkan sunnah dengan pendapat para tokoh mereka. Apa yang sesuai dengan pandangan dan pendapat para tokoh mereka, mereka terima, dan yang menyelisihi pandangan mereka, mereka buang jauh-jauh.

3. Ahlussunnah jika mendapatkan sunnah yang sahih dari Nabi sallallahuaálaihiwassalam mereka tidak menunggu untuk mengamalkannya dan meyakini kesannya hingga ada yang menyepakatinya, mereka segera mengamalkan tanpa menghiraukan orang yang menyepakati atau menyelisihinya.

Asy-Syafie r.h berkata, “Manusia bersepakat bahawa siapa yang jelas baginya sunnah Rasulullah sallallahua’laihiwassalam, maka tidak ada alasan untuknya meninggalkan sunnah itu demi mengikuti pendapat orang lain.”

4. Mereka tidak menisbat kepada pendapat tertentu atau tokoh tertentu selain Rasulullah sallallahua’laihiwassalam. Mereka tidak mempunyai julukan tertentu yang dikenal dengannya, atau penisbatan yang mereka dinisbatkan kepadanya, ketika orang-orang selain mereka bernisbat kepada pendapat-pendapat tokohnya. Sebagaimana jawaban sebagian Ahlussunnah, ketika ditanya tentangnya, “As-Sunnah itu tidak memiliki nama lain kecuali hanya As-Sunnah”
Sedangkan ahlul bid’ah suatu kali bernisbat kepada pendapat, seperti Qadariyah dan Murjiáh, sesekali bernisbat kepada siapa yang berkata, seperti hasymiyah, Nijjariyah dan Dharawiyah dan pada waktu yang lain bernisbat kepada suatu perbuatan, seperti khawarij dan Rafidah. (pent: juga pada zaman ini, ada yang mengikuti mazhab-mazhab pemikiran tokoh-tokoh tertentu, parti politik, jamaah-jamaah tertentu, masing-masing di antara mereka kononnya mempunyai prinsip atau fikrah tersendiri, walhal sebenarnya, mereka telah membuat satu jalan yang boleh jadi terkeluar dari jalan As-Sunnah). Sementara Ahlussunnah terbebas dari semua penisbatan ini. Mereka hanyalah bernisbat kepada hadis dan sunnah!

5. Ahlussunnah hanya membela hadis sahih dan atsar-atsar salaf, sedangkan ahli bid’ah membela pendapat dan mazhab mereka.

6. Ahlussunnah jika menyebutkan sunnah dan menyerukan manusia kepadanya, maka hati para ahli bid’ah berpaling darinya. Mereka itu sebagaimana disebutkan oleh Allah dalam firmannNya yang bermaksud,

“Dan jika kamu menyebut nama Rabbmu sahaja dalam al-Quran, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana membencinya”(Al-Isra: 46)

Sedangkan ahli bid’ah, bila kita menyebutkan syaikh-syaikh dan pendapat-pendapat mereka, maka mereka merasa senang dengan hal iti. Mereka itu sebagaimana difirmankan oleh Allah yang bermaksud;

“Dan apabila nama Allah saja yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama sesembahan-sesembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati” (Az-Zumar: 45)

7. Ahlussunnah mengakui yang hak dan menyayangi para makhluk. Mereka memperoleh ilmu dan rahmat yang luas, dan Rabb mereka rahmat dan ilmuNya meliputi segala sesuatu.
Sedangkan ahlul bid’ah mendustkan kebenaran dan mengingkari para makhluk. Mereka tidak memiliki ilmu dan rahmat. Bila hujah Ahlussunnah ditegakkan dihadapannya, maka mereka memenjarakan para Ahlul Sunnah dan bahkan membunuhnya jika memungkinkan. Mereka mewarisi sifat Firaun, kerana ketika hujah Nabi Musa ‘alaihisalam ditegakkan di hadapannya dan tidak mungkin Firaun boleh menjawabnya, maka dia berkata;

“Sungguh jika kamu menyembah Allah selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan” (Asy-Syua’ra: 29)

8. Ahlussunnah hanya mencintai dan memusuhi atas dasar sunnah Nabi, sedangkan ahli Bid’ah mencintai dan memusuhi atas dasar pendapat yang mereka ada-adakan.

9. Ahlussunnah tidak membuat sendiri landasan dasar hukum lalu mereka berhukum dengannya, menghakimi para musuh mereka dengannya, dan menghukum siapa saja yang menyelishinya sebagai fasik atau kafir. Mereka mempunyai beberapa landasan, iaitu Kitabullah, Sunnah Rasulullah dan apa yang disepakati oleh para Sahabat.

10. Bila dikatakan kepada Ahlussunnah: “Allah swt berfirman atau Rasulullah sallallahua’laihiwassalam bersabda, maka hati mereka mantap padanya, tidak berpaling kepada seorang pun selainnya, dan tidak menghiraukan apa kata fulan dan fulan. Sementara ahli bidáh menyelisihi hal itu.

11. Ahli bid’ah itu mengambil sunnah yang sesuai dengan hawa nafsunya, baik sahih mahupun dhaif, dan mereka meninggalkan apa yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka walaupun hadis itu sahih. Bila mereka tidak berkuasa untuk menolak hadis tersebut, maka mereka menyimpangkannya dengan takwil-takwil aneh yang merupakan penyimpangan dari tempat-tempat yang semestinya. Sementara Ahlussunnah tidak keinginan selain apa yang disebutkan hadis-hadis tersebut.

Begitulah antara perbezaan sikap seorang Ahlussunnah dengan Ahlul Batil atau Ahlul Bidáh yang sesat. Moga-moga kita termasuk dikalangan orang-orang yang terselamat dari azab Allah swt dan semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Diharapkan dengan sebuah perkongsian yang sedikit ini membuka minda kita supaya dapat menilai sikap kita terletak di mana, sama ada dalam golongan yang selamat (Ahlussunnah), atau golongan yang sesat (Ahlul Bid’ah).



Wallahua’lam, Semoga bermanfaat.

Oleh:
Abu Bakr Ahmad Humaizi
Universiti Teknologi PETRONAS.



Sumber:

[1] Merekalah Golongan Yang Selamat, terjemahan dari kitab “Khasaish ahli al-Hadis wa as-Sunnah wa bayan manhajuhun wa fadhailihim wad difa’i ánhum” oleh Syaikh Muhammad Muhibbudin Abu Zayd, Pustaka at-Tazkia, Jakarta.