Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Orang Musyrik Dahulu Pun Mengenal Allah, TETAPI....

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:58 PG 3 komen



Oleh Abu Bakr Al-Humaidi

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, akidah Islam dengan akidah agama lain mempunyai perbezaan yang amat ketara. Oleh itu, hendaklah kita mengetahui, apakah pokok ajaran agama Islam ini sehingga menyebabkan orang-orang yang Islam akan masuk syurga, manakala orang-orang kafir itu akan kekal di neraka.

Marilah sama-sama kita melihat kejelasan akidah Islam berbanding agama-agama sesat yang lain.

1. Ketahuilah wahai saudaraku, orang-orang kafir musyrik itu pun sebenarnya MENGENAL ALLAH sebagai pencipta alam ini dan memberi rezeki kepada makhluk-makhlukNya. Ini disebutkan oleh Allah swt di dalam Quran yang bermaksud;

"Katakanlah (wahai Muhammad), "Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapa yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati , dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka (orang-orang musyrik) akan menjawab, "Allah!". Maka, katakahlah: "Mengapa kamu tidak bertakwa (kepadaNya?)" - (Surah Yunus ayat 31)

Dari ayat tersebut, ternyatalah, orang-orang kafir Quraisy yang menyembah berhala di keliling Ka'bah itu pun mengaku bahawa Allahlah sebagai Pencipta, Allahlah yang menghidup dan mematikan, dan Allah yang memberi rezeki. Lalu mengapa mereka menyembah dan meminta kepada selain Allah sedangkan mereka telah mengetahui hakikat tersebut?


2. Ketauhilah mereka menyembah berhala-berhala itu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Allah swt telah menyatakan sebab mereka menyembah dan meminta kepada patung-patung berhala itu dalam firmanNya:

"Orang-orang yang menjadikan para wali sebagai sesembahan selain Allah (mereka menyatakan): "Tidaklah kami menyembah mereka kecuali agar mereka mendekatkan diri kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya" (Surah Az-Zumar ayat 3)

dan lagi firman Allah bermaksud:

"Mereka (orang-orang musyrik) mengatakan: "Mereka adalah pemberi-pemberi syafaat bagi kami di sisi Allah" (Surah Yunus ayat 18)

Maka, jelaslah bagi kita, orang-orang musyrik itu telah menjadikan ibadah mereka kepada berhala-berhala (yang berbentuk benda hidup atau mati) itu sebagai satu medium untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Maka hendaklah kita ketahui bahawa ibadah itu bukan sahaja berbentuk sujud dan ruku', tetapi ibadah itu juga termasuk meletakkan pengharapan, meminta pertolongan, berdoa, rasa takut dan tunduk dan pelbagai lagi.

3. Seruan para Nabi dan Rasul adalah supaya manusia mentauhidkan Allah dalam pengibadatan dan menghindarkan diri dari menyekutukan sesuatu apapun denganNya.

Setelah kita semua mengetahui hakikat kesyirikan ini, ketauhilah, bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahuala'iwassalam itu adalah satu seruan supaya orang-orang musyrik memurnikan ibadah mereka hanya kepada Allah semata tanpa memerlukan perantaraan sesiapa pun sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Janganlah kalian menyeru kepada seorang pun bersama Allah!" (Surah al Jin ayat 18)

dan juga firmanNya yang bermaksud:

"Hanya bagi Allah sahajalah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah itu tidak dapat memperkenankan sesuatu pun untuk mereka" (Surah Ar-Rad ayat 14)

4. Hendaklah kita semua mengetahui, apakah penyimpangan-penyimpangan agama pada masa kini.

a) Agama Kristian/Nasrani - Mereka mengenal Allah, tetapi dalam masa yang sama mereka menyatakan Allah mempunyai anak iaitu Nabi Isa. Kemudian mereka mengatakan tuhan itu ada tiga, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruhul Quddus. Nah! Inilah yang dinamakan sebagai menyirikkan Allah!

Kerana itu, Allah swt membantah golongan Nasrani ini di dalam surah al-Ikhlas yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad)!: Dialah Allah, yang Maha Esa!. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia." (Surah Al-Ikhlas: 1 - 4)

b) Agama-agama yang menyembah berhala, patung, manusia dan benda-benda lain seperti Buddha, Hindu, Animisme, dan lain-lain.

Agama-agama di atas memang sudah jelas kemusyrikan mereka. Mereka telah menjadikan patung yang dibuat sendiri oleh tangan mereka sebagai sesembahan. Malah kebodohan mereka terserlah kerana mereka telah berharap kepada sesuatu yang tidak mampu menciptakan dirinya sendiri!

Mungkinkah patung berhala mereka itu mengukir dirinya sendiri? Mungkinkah patung berhala itu berkata-kata? Nah! Mereka telah menyembah sesuatu yang mati!

Wahai manusia, tidakkah kamu ingin berfikir? Janganlah biarkan dirimu dalam kebodohan dan kesesatan!

5. Maka setelah kita semua mengenali hakikat tauhid dan kesyirikan, ketahuilah wahai saudara-saudaraku! Ada dikalangan orang-orang yang mengaku Islam, tetapi mereka itu telah jatuh kepada kesyirikan yang besar! Malah, mereka itu kadang-kadang beserban dan berjubah! Maka berhati-hatilah kalian terhadap mereka supaya kau tidak jatuh dalam kesyirikan, kerana dosa mensyirikkan Allah itu tidak akan diampunkan oleh Allah swt sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendakinya." (Surah An-Nisa ayat 48)

Ketahuilah, bahawa dosa penzina, peminum arak itu adalah dosa besar! Tetapi ianya tidaklah sebesar dosa mensyirikkan Allah! Kerana Allah swt tidak akan mengampuni orang-orang yang mensyirikkan Allah selagi dia tidak bertaubat sebelum kematiannya. Tetapi, orang-orang yang bermaksiat dan melakukan dosa-dosa besar selain syirik, jika tidak bertaubat pun, boleh jadi Allah akan mengampuni dosa mereka (jika dikehendaki Allah) di akhirat nanti atas rahmat Allah selagi mereka mentauhidkan Allah.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku! Ada dikalangan orang yang mengaku Islam itu telah menyesatkan ramai manusia dengan mengajarkan manusia supaya memohon pertolongan dari orang yang telah mati di kalangan orang-orang soleh mahupun Nabi-nabi!

Apakah kebodohan yang telah menimpa umat ini sehingga mereka berharap kepada manusia yang telah mati?

Wahai manusia, ketahuilah! Di masa Nabi Muhammad sallallahualaihiwassalam hidup pun, beliau sentiasa memohon pertolongan dari Allah! Tidakkan kalian berfikir, sedangkan sewaktu hidup pun beliau mengharap pertolongan Allah, inikan pula setelah kewafatan beliau yang tidak berdaya berdiri dan hidup semula? Maka, hanya orang-orang bodoh sahajalah yang meminta kepada orang-orang yang telah mati!

6. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, kesyirikan yang berlaku pada zaman sekarang lebih teruk berbanding zaman dahulu.

Orang zaman dahulu, walaupun mereka menyembah patung-patung berhala, tetapi dikala susah dan ketakutan, mereka akan memurni dan mengikhlaskan jiwa mereka memohon pertolongan dari Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya" (Surah Luqman ayat 32)

dan lagi firman Allah swt tentang orang-orang musyrik yang bermaksud,

"Apabila engkau ditimpa bahaya di lautan, tidak ada yang engkau seru selain Dia, tetapi tatkala Dia menyelamatkan engkau di daratan, tiba-tiba engkau berpaling. Manusia memang selalu tidak berterima kasih." (Surah Al-Isra' ayat 67)

Tetapi sayang, orang zaman sekarang, mereka mengaku beragama Islam tetapi mereka melakukan kesyirikan yang lebih teruk daripada orang-orang musyrik yang asli tersebut. Lihatlah orang pada zaman kita, bila mereka ditimpa kesusahan, ada dikalangan mereka yang memanggil-manggil nama orang-orang soleh seperti Nabi Ibrahim, Nabi Khidir, Syaikh Abdul Qodir al-Djailani dan tok syaikh mereka yang dianggap wali.

Ketahuilah! Perbuatan mereka itu telah menjatuhkan mereka dalam kekufuran! Kerana mereka telah menyekutukan Allah dalam memohon perlindungan.

Penutup

Oleh itu, hendaklah kita semua sedar akan hakikat tauhid dan hakikat syirik supaya kita dapat membezakan yang mana kebenaran dan yang mana kebathilan. Bukanlah tujuan kita mempelajari tentang syirik itu sebagai tanda kita ingin terjun ke dalamnya, tetapi kita mempelari sesuatu kebathilan itu supaya kita dapat mengenal dan menjauhkan diri darinya.

Segala kekurangan di dalam penyampaian ilmu ini mohon diperbetulkan. Semoga kalian mendapat manfaat dari penjelasan ini.

Wallahua'lam.

Untukmu guru tercinta....

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:12 PTG 2 komen


Oleh A.Humaizi


Guruku,
Tadi ku terpandang wajahmu,
Lalu mengalir air mataku,
Mungkin kerana merinduimu,
dan mengenang nasihat-nasihatmu.

Guruku,
Aku hanya mengenalmu sebentar,
Ketika aku bertemumu,
Aku telah jatuh cinta padamu,
Kerana ilmu dan nasihat-nasihat mu yang sangat menyentuh kalbuku,

Guruku,
Kami bakal kehilangan guru yang mendidik kami,
Walaupun sebentar kita berjumpa,
Tapi ianya cukup berbekas dalam jiwa.

Wahai guru,
Kami ingin bertanya,
Adakah pengganti sepertimu?
Telah lama kami mencari orang sepertimu,
Tapi sayang, nampaknya Allah menakdirkan pertemuan kita sebentar,
Kami berharap, Allah mengurniakan kami hambaNya seperti mu,
Yang sentiasa mengajarkan kami Kalam Allah,
Yang sentiasa mengajarkan kami Sunnah Rasul,
Yang sentiasa memperingatkan kami jalan salaful ummah yang dijamin kebaikan agama bagi mereka oleh Rasulullah,

Ya, engkaulah guru kami,
Yang sentiasa menaikkan semangat kami untuk mendalami ilmu dienul Islam,
Supaya kami tidak merasa jemu dan merasa puas,
Supaya kami terus menerus menimba ilmu agama ini,
Dan tentunya, nasihat-nasihat mu pasti akan terngiang-ngiang dalam benak pemikiran kami.

Wahai guruku,
Barulah aku tahu nikmatnya berguru dengan guru yang benar-benar mendidik,
Ku harap, Allah mengurniakan aku guru yang dapat membimbingku supaya taat kepada Allah dan Rasulnya,
Ku harap Allah mengurniakan aku sentiasa hidup bersama para ulama yang beramal dengan ilmunya.
Ku harap jiwa ini sentiasa mencintai orang-orang soleh,
Supaya aku pun bisa menjadi soleh seperti mereka.

Semoga Allah menjaga dan memeliharamu wahai guruku,
Semoga Allah merahmati kehidupanmu selalu,
Semoga Allah menggolongkan diriku dan dirimu di akhirat nanti bersama orang-orang soleh.
Amin, ya Rabbal 'Alamin.
Nukian:
Ahmad Humaizi
9 Januari 2010,
Pogung Dalangan, Jogjakarta, Indonesia.