Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Catatan Perjalanan Ke Jogjakarta (Sambungan)

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 9:18 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Bila berjalan-jalan dan memerhati candi Borubudur tersebut, saya terfikir, mengapa sebuah tamadun yang 'hebat' ini menjadi bahan sejarah? Di manakah masyarakat asalnya? Seumpamanya kaum ini telah dihapuskan dan dilenyapkan dari muka bumi. Ya boleh jadi juga andaian saya ini, kerana mengikut sejarah, Sir Thomas Stamford Raffles yang merupakan Gabenor Jeneral Britania Raya di Jawa, mendengar adanya penemuan candi di desa Borubudur. Lokasi tersebut telah diselidiki oleh H.C Cornelius dan mendapati, lokasi berkenaan berupa bukit yang dipenuhi semak dan belukar (1).

Ditambahi lagi, jika diperhatikan gambar-gambar asal candi tersebut didapati strukturnya tidaklah sebaik yang ada sekarang. Struktur asalnya yang tidak teratur seperti kesan dari gempa bumi yang sering berlaku di Indonesia. Wallahua'lam. Boleh jadi ini suatu musibah yang berlaku kepada kaum musyrik di Borubudur. Dan jika kita perhatikan di kebanyakan peninggalan sejarah manusia, sangat banyak monumen-monumen yang dijumpai dalam keadaan tertimbus dan tidak berpenghuni. Ini menunjukkan kaum-kaum terdahulu telah dimusnahkan oleh Allah kerana tersebarnya kemusyrikan di kalangan mereka. Kerana itulah, kita diperintahkan oleh Allah azzawajalla untuk berjalan di muka bumi untuk menyaksikan sendiri kesan-kesan kemusnahan umat terdahulu. Semoga ia menjadi ibrah untuk kita semua.

Bermulanya Kelas Pengajian

Pada hari Isnin, 21 Disember 2009, maka bermulalah kelas pengajian kami di Jogjakarta yang diselenggara oleh teman-teman dari Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsari. Antara subjek-subjek yang kami pelajari di sini adalah, Nahwu (5.30 pagi - 7.00 pagi), Hadis (8.30 pagi - 9.30 pagi), Akidah (10.00 pagi - 11.00 pagi), Sorof (4.00 ptg - 6.00 ptg). Dan malamnya adalah waktu lapang bagi kami untuk mengikuti kuliah agama di masjid sekitar Universiti Gadjah Mada ini.

Teruja juga bila mendapat guru-guru yang muda. Boleh kata umur mereka lingkungan 25 hingga 29 tahun. Jadi, hubungan kami lebih rapat dan lebih mesra. Kuliah pun 'sempoi' ditambahi lagi dengan kualiti penyampaian mereka yang sangat ilmiah. Susah untuk kita perolehi kuliah agama yang ilmiah di Malaysia. Kebanyakan Ustaz-ustaz yang mengajar di masjid hanya menceritakan hukum tanpa membawa dalil dari Quran, Sunnah dan kata-kata Sahabat. Akhirnya, apa yang berlaku, masyarakat lebih cenderung untuk taqlid buta dalam agama tanpa menilai sesuatu ibadah atau hukum itu benar-benar tepat atau tidak berdasarkan Quran dan Sunnah. Alhamdulillah, dengan pendedahan pendidikan agama seperti ini telah menaikkan semangat sahabat-sahabat yang lain untuk mendalami ilmu agama. Ada antara sahabat-sahabat saya yang mengaku, selama mereka berada di kampus, tidak banyak ilmu agama yang diperolehi. Dan bila mereka didedahkan dengan pembelajaran seperti ini, mereka sangat-sangat bersyukur bila dapat mengenali agama ini dengan lebih mendalam berdasarkan dalil-dalil dari Quran dan Sunnah yang sahih. Semoga kita semua dapat membaiki diri dan mengajak masyarakat kepada amalan dan pemahaman agama yang lebih sahih.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, program ini kebanyakkannya dihadiri oleh mereka yang langsung tidak mempunyai asas bahasa Arab. Malah hendak kira 1, 2 dan 3 dalam bahasa Arab pun tak tahu. Tapi dengan kaedah-kaedah pembelajaran bahasa Arab yang telah dimudahkan oleh ulama-ulama di Indonesia, maka pembelajaran menjadi mudah. Ramai orang mengatakan bahasa Arab merupakan bahasa yang susah untuk dipelajari. Tetapi bila kami belajar bahasa Arab dengan kaedah-kaedah yang mudah ini, kami merasakan ianya tidaklah susah seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. Ya Bahasa Arab memang mudah. Kerana itu ia menjadi bahasa Al-Quran. Dan Allah tidak akan menyusahkan hamba-hambaNya untuk memahami kalam-kalamNya.

Ya memang diakui, ada bahagian-bahagian tertentu dalam pembelajaran kami ini yang akan agak rumit untuk difahami kerana ia bahasa Arab mempunyai disiplin bahasa yang sangat ketat. Dan kami sering diberi motivasi oleh Ust Didik (guru kami) supaya bersabar dan terus belajar bahasa Arab. Kerana itu, dalam setiap pembelajaran kami, Ustaz-ustaz selalu menyelitkan kata-kata para ulama dan peribahasa Arab sebagai satu penaik semangat untuk kami menuntut ilmu. "Yang berusaha pasti berjaya!" , itu lah salah satunya kata-kata yang menjadi pemangkin diri supaya rajin mentelaah bahan-bahan pembelajaran di waktu lapang. Semoga Allah permudahkan kami untuk memahami bahasa Al-Quran dan Sunnah NabiNya sallahua'laihi wa sallam.

Gambar sekitar di Jogja

Seperti yang dijanjikan pada posting yang lepas, saya tunjukkan beberapa gambar kami di Jogjakarta.

(Dari kiri: Gori, Yus Amir, Syafiq, Danish, Abg Aidil, Anas, Fikri, Humaizi)

Pemandangan biasa di jalanan

Sawah di sekitar kawasan kediaman

Rumah penginapan kami

Ni gambar 'lori sampah' di daerah Pogung

Terima kasih Pak Ayob (kanan sekali) kerana banyak membantu kami!














Catatan Perjalanan ke Jogjakarta

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 10:20 PTG 2 komen

Oleh A.Humaizi

Setelah sekian lama merancang bersama beberapa orang sahabat, iaitu Hafizan dan Gori (Khairul Anuar Azahari) untuk mengadakan daurah bahasa Arab di Jogjakarta, Indonesia, akhirnya kami dapat juga mengumpulkan 10 orang sahabat-sahabat lain iaitu 8 orang dari UTP iaitu; Saya, Ahmad Humaizi, Hafizan, Khairul Anuar Azahari, Fikri Wahi, Danish, Syafiq, Anas, Abang Aidil (pelajar Indonesia) dan seorang pelajar MMU iaitu Yus Amir dan seorang lagi bekas pelajar UIA iaitu saudara Ezry.

Pada 18 Disember 2009 (Jumaat), ami telah berkumpul di LCCT pada jam 4 pagi. Pada waktu itu, Yus Amir dan Gori telah terlebih dahulu sampai kemudian tiba pula Abg Aidil dan Danish. Pada jam 5.00 pagi kami telah check-in bagasi yang dibawa kemudian kami terus solat subuh di surau berdekatan. Setelah selesai solat, berjumpa pula dengan Fikri, Anas, Syafiq. Sahabat-sahabat lain iaitu Hafizan dan Ezry masing-masing akan bertolak pada 21 Disember dan 24 Disember.

Kami telah menaiki kapal terbang Air Asia pada jam 7.00 pagi. Inilah pertama kali saya menaiki kapal terbang. Jadi agak teruja la juga!

Setibanya di Jogja pada jam 9.30 waktu Malaysia (8.30 waktu Jogja), ami telah dijemput oleh sahabat-sahabat dari Indonesia iaitu Abu Hasan dari Yayasan Pendidikan Islam Al-atsari. Dan yang lainnya ialah Pak Ayob yang merupakan pelajar Ph-D di UTP serta seorang lagi sahabatnya yang tidak saya ketahui namanya.

Perkara pertama yang menarik di Indonesia ini yang saya temui ialah nama kenderaannya. Boleh kata, nama-nama kenderaannya telah ditukar kepada nama-nama haiwan. Contohnya Toyota, dipanggil Kijang. Dan ada pula jenis kenderaan yang dipanggil Kuda. Jadi saya agak geli hati bila Abu Hasan berkata kepada pak Ayob, "Kami naik kuda!" dan pak Ayob pula berkata, "Saya ada Kijang". Mula-mula saya agak pelik, sebab mereka naik 'kuda' ke airport, rupanya nama kenderaannya ialah kuda.

Setelah itu, kami pun dibawa ke rumah penginapan kami iaitu di Pogung RT10. Kawasan ini boleh dikatakan kawasan penginapan pelajar-pelajar Universiti Gadjah Mada (UGM) kerana kawasannya tidak jauh dari universiti itu. Di kampung ini, kebanyakkan penduduknya membuat perkhidmatan menyewa bilik kepada pelajar-pelajar UGM. Jadi tidak hairanlah, rumah-rumah mereka besar-besar kerana bersambung dengan asrama-asrama untuk di sewa.

Di situ, kami tinggal 3 orang sebilik dan sewanya Rp 315,000. iaitu lebih kurang RM117 seorang.

Jogja ini adalah salah satu negeri di Indonesia. Penduduknya sangat padat. Rumah-rumahnya boleh kata rapat-rapat belaka. Tapi yang hairannya, dalam kepadatan penduduk di Jogja dan kesibukan jalan rayanya, kurang pula kelihatan kes kemalangan berlaku. Semuanya bijak menggunakan hon, lampu dan signal sebagai isyarat semasa di jalanan. Jadi, semua pergerakan mereka walaupun kelihatan bahaya, tapi masih boleh dikawal.

Setelah tiba di bilik masing-masing. Kami pun berehat dibilik dan menunggu masuk waktu Zohor untuk solat Jumaat. Waktu zohor di sini ialah pada pukul 12.00 pm, waktu Asarnya pada jam 3.00 pm, Maghribnya 6.00 pm, Isyaknya 7.15 pm dan subuh pula jam 4.00 pagi. Jika diperhatikan di sini, waktu paginya lebih panjang berbanding waktu lain. Waktu subuhnya pendek sahaja. Pada pukul 5.00 pagi, boleh kata suasana sudah terang. Awal-awalnya agak janggal juga dengan perubahan waktu, tetapi lama-kelamaan jadi biasa. Semua urusan mesti berubah, dari waktu bangun sampai waktu tidur.

Setelah selesai solat Jumaat, saya barulah perasan, yang menjadi khatib solat Jumaat itu ialah Ust Alfir iaitu kawan Ust Abu Ali yang datang ke UTP pada awal semester dahulu. Jadi, kami pun berborak dengan beliau dan berkenal-kenalan dengan sahabat-sahabatnya. Masya-Allah, berseri-seri wajah mereka. Jatuh cinta melihat wajah soleh mereka yang penuh bercahaya. Ditambahi dengan wajah mereka yang ceria dan senyuman yang manis. Ya, Allah mengurniakan wajah yang berseri kepada orang-orang soleh. Tak perlu pun pencuci muka mahal-mahal, tak perlu juga terapi seperti yang dilakukan orang sekarang. Hanya kesan wuduk dan ibadah yang ikhlas telah menghasilkan wajah yang berseri. Semoga Allah mengurniakan kita wajah yang berseri.

Setelah selesai berborak, kami pun balik ke bilik dan menyambung rehat yang masih belum reda. Saya pun tidurla sepuas-puasnya kerana seharian tidak tidur. Lega rasanya dapat merehatkan diri pada hari itu!

Malamnya pula selepas maghrib, kami hadir ke kuliah syarah Bulughul Maram di masjid Pogung. Setelah selesai kuliah kami ke kedai makan disebelah rumah penginapan kerana kami sudah jamak solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib. Juadah kami pada malam itu ialah Indomee. Itulah makanan yang paling popular di sini. Boleh kata, semua kedai makanan menjualnya. Kedai itu dijaga oleh seorang gadis. Di Malaysia, jika kita mahu memanggil perempuan muda, kita panggil dengan panggilan 'kakak'. Tetapi di Indonesia, mereka dipanggil 'Embak'. Jadi pada waktu itu kami belajar satu nama panggilan untuk perempuan muda di Indonesia iaitu 'embak'.

Malam itu kami berborak panjang dengan sahabat-sahabat lain sambil berbincang rancangan yang mahu dilakukan pada hari esoknya.

Ya esoknya kami ingin ke Borubudur! Nak lihat candinya. Adakah candi borubudur adalah kawasan kepupusan umat manusia seperti yang terjadi kepada kawasan pyramid di Mesir? InsyaAllah akan disambung pada posting akan datang!.

Semoga bermanfaat.

p/s:

1. Maaf post kali ini tiada gambar kerana ada masalah teknikal. InsyaAllah posting selepas ini akan disertakan gambarnya.

2. Maaf kalau bahasa penulisan saya ada pengaruh bahasa Indonesia, hehe. Terikut-ikut pula cara percakapan mereka.