Sebuah Perkongsian

Hasil Karya Abu Muhammad Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

  • Selamat Datang ke Blog Saya. Semoga Sebuah Perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian semua. Semoga berguna di dunia dan di akhirat

    Terima Kasih Kerana Mengunjungi Blog Ini

Dakwah Kepada Sunnah dan Menjauhi Bid'ah

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 2:34 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Saya terbaca satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya dari Jabir Bin Abdillah r.a. dia berkata, 'Rasulullah saw apabila sedang berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya keras, serta amat sangat tampak kemerahannya sehingga seakan-akan sedang mengatur barisan tentera, baginda berkata;

"Ketahuilah oleh kalian dan ketahuilah.!!

Kemudian baginda melanjutkan

"Amma ba'du, sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan, dan setiap bid'ah adalah sesat"

(Pokok-pokok Dakwah Manhaj Salaf, m/s 132 - 133, Fawaz bin Hulail, Griya Ilmu, Indonesia)

Setelah saya baca hadis tersebut, timbul persoalan dalam minda saya,
"Apakah yang menyebabkan Rasulullah begitu tegas dalam menyampaikan khutbahnya sehinggakan digambarkan oleh sahabat seperti Nabi sedang mengaturkan barisan tentera?"

Rupanya, Nabi saw ingin menegaskan tentang tiga perkara penting yang tersebut di dalam hadis di atas.
1. Sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah
2. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad
3. Sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan, dan setiap bid'ah adalah sesat

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam kitab Sunnah dan Tirmidzi dalam kitab Ilmu, Nabi saw bersabda;

"Aku wasiatkan kepada kalian agar kalian bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat, sekalipun kepada seorang budak Habasyi. Sesungguhnya orang yang hidup dari kalian setelahku nanti akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu, berpegangteguhlah kalian terhadap sunnahku dan sunnah para khulafaur rasyiddin yang telah mendapat petunjuk dan bimbingan. Gigitlah ia dengan gigi geraham kalian serta waspadalah terhadap perkara-perkara yang diada-adakan. Sesungguhnya setiap perkara yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat"

Dan juga sabda Nabi Saw,

"Biarkan apa yang telah aku tinggalkan utk kalian. Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum kalian telah menjadi binasa disebabkan banyaknya pertanyaan mereka dan banyaknya penyelisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila sudah aku tinggalkan untuk kalian dengan sesuatu, maka lakukanlah menurut kemampuan kalian. Dan apabila sudah aku larang untuk kalian dengan sesuatu, maka tinggalkanlah! " (HR Muslim dan kitab Haji)

Dari hadis-hadis di atas jelaskan kepada kita bahawa suatu kemuliaan dan keselamatan adalah apabila kita mengikut sunnah dan kebinasaanlah bagi mereka yang menyalahi manhaj ini. Sesungguhnya para sahabat dan tabi'en sgt memperhatikan makna ini dan mereka selalu memberi anjuran untuk berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah saw dan memberi peringatan dari kebid'ahan-kebid'ahan.

Umar r.a. pernah berkata "Waspadalah kalian terhadap orang-orang yang mengikuti ra'yu-nya sebab mereka adalah musuh sunnah. Mereka itu telah diingatkan beberapa hadis agar berpegang kepada Sunnah, tetapi mereka malah berkata "kami ikuti rasional kami', sehingga mereka pun sesat dan menyesatkan" (Sunan Daruquthni dalam kitab Washaya)

Maka sewajibnya bagi para pendakwah yang ingin mengajak dan menggalakkan manusia untuk beribadat, mereka mestilah mengajak manusia tersebut beribadat mengikut cara nabi, bukan mengikut cara-cara ahlul bid'ah yang sesat.

Jika ada amalan-amalan harian nabi terdapat tokok tambah dari golongan-golongan tertentu, maka sewajibnya para pendakwah memberitahu cara yang sebetulnya beramal dengan sunnah nabi.

Wahai pendakwah, apabila ada dikalangan kalian mengajak manusia mendekati sunnah, maka sokonglah ia.

Memang tidak dinafikan dalam ibadat-ibadat fardi tertentu, para ulama ada memberi ruang untuk dilaksanakan secara berjemaah supaya dapat menggalakkan orang mengamalkannya. Seperti contoh;

1. Imam meninggikan suara ketika berzikir selepas solat tujuannya untuk mengajar makmum
2. Baca al-mathurat beramai-ramai
3. Qiamualiail secara berjemaah, dan lain-lain.

Tetapi seharusnya, para pendakwah mesti membiasakan mad'unya dengan sunnah nabi. Keringanan-keringanan yang dibuka oleh para ulama tersebut tidak bermakna ianya perlu diamalkan secara terus menerus. Kerana dikhuatiri ianya menjadi suatu yang bid'ah sebabnya cara amalan itu ditelah ditukar dari amalan yang dilakukan secara sendirian, dan diubah menjadi secara berjemaah.

Perlulah umat Islam sekalian mengetahui, sekiranya anda mengetahui tentang sunnah nabi dan sewaktu itu ada segolongan manusia melakukan amalan-amalan bertujuan utk 'mendidik', maka seharusnya anda yang telah terdidik itu mengamalkan apa yang anda tahu tentang sunnah nabi. Misal contoh, membaca zikir al mathurat, sekiranya anda mengetahui cara sebetulnya adalah secara sendirian, dan ianya menhampiri sunnah nabi, maka seeloknya anda mengamalkan mengikut sunnah nabi.

Hendaklah setiap umat Islam menjadi penggalak kepada umat Islam lain untuk mengamalkan sunnah dan menjauhi perkara-perkara bid'ah.

Umar bin Abd Aziz r.h. berkata "Sunnah itu hanya dijadikan tuntutan oleh orang-orang mengetahui sesuatu yang menyelisihi Sunnah, sedangkan mereka adalah orang-orang yang lebih mampu menolak dan membantah daripada kalian" (al Ibanah)

Jadi di sini, saya ingin menyeru sahabat-sahabat yang MENGETAHUI tentang sunnah , untuk beramal dengan amalan yang mendekati sunnah, adalah diharapkan, masyarakat yang akan kita bina ini tidak perlu lagi "dididik" sepanjang masa, kerana dalam pendidikan, hakikat dari pendidikan itulah yang diperlukan iaitu mengamalkan sunnah dan masyarakat mengamalkan sunnah. Bukan method atau kaedah pendidikan itu menjadi pengamalan kita.

Wallahua'lam.

Sebarang komen dipersilakan.

Kita Ketandusan Kejujuran Ulama dan Keikhlasan Umara

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 10:00 PG 0 komen


Assalamualaikum. Di sini, saya teringin benar sahabat-sahabat sekalian menghayati tulisan SS Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin (Dr MAZA)


Sejarah umat ini bukan sedikit, dahulunya dipenuhi dengan kisah-kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran.

Beberapa buku sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri.

Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada diantaranya ada yang menyanggahi kebenaran. Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.

Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”. Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”. Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”. “Aku mahu pendapatmu”, tegas gabenor itu.

Kata al-Hasan al-Basri: “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

Lalu ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).

Kita sebenarnya merindui kisah-kisah yang seperti ini. Sejarah umat ini bukan sedikit dahulunya dipenuhi dengan kisah-kisah agung yang sebegini. Kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran.

Saya selalu bertanya mengapakah para pemerintah dahulu, setegas mana pun dia, sering menangis apabila mendengar nasihat para ulama. Mengapakah hari ini, kisah-kisah seperti itu hampir pudar? Jawapannya, adalah keikhlasan jiwa yang ada pada kedua-dua pihak. Pihak yang menasihati melakukan nasihat dan peringatan hanya kerana Allah, semata-mata untukNya. Tidak kerana inginkan kerusi politik, atau memenangkan parti yang dipimpin, atau kerusi yang dia bertanding, atau jawatan yang dia pegang.

Jika adapun jawatan mereka, itu tidak pernah membawa mereka merubah hakikat agama Allah. Mereka hidup dalam kezuhudan iaitu jiwa tidak bergantung harap kepada habuan pemerintah. Bebas lagi merdeka jiwa mereka. Namun benar-benar berjiwa hamba di hadapan kebesaran kerajaan Allah Yang Memerintah langit dan bumi.

Dari keikhlasan jiwa pemberi nasihat, Allah anugerahkan penerimaan di pihak yang dinasihati, jika yang dinasihati itu masih wujud keikhlasan dan keinginan untuk kembali kepada Allah. Kita tidak pernah mendengar dalam sejarah tokoh-tokoh ulama terbilang umat ini kempen ‘maki hamun’ yang dilancar terhadap pemerintah. Padahal bukan sedikit jua kejahatan pemerintah dalam sejarah yang lepas pun. Tetapi kita sering dengar nasihat yang ikhlas dan tegas. Bebas dari kepentingan dan keinginan kepada dunia. Maka, sepanjang sejarah lepas –walaupun banyak juga kecacatan dan kelemahan- kekuatan umat ini terus dapat dipelihara.

Namun apabila masa berubah, para pemerintah ramai yang sudah tidak ada masa untuk mendengar nasihat dan bicara ulama atau berdamping dengan mereka. Sekalipun ramai pemerintah yang masih ada masa untuk menghadiri bicara dan dendangan artis. Sementara ada golongan yang cuba memakai gelaran agama pula, cuba bergaya artis apabila muncul di hadapan pemerintah. Bicara atau ceramah mereka samada untuk melucukan hati pemerintah, atau mengampu mereka.

Ramai pemerintah gagal melihat kewibawaan ilmu dan ketelusan prinsip golongan yang berlebel agama di zaman kini. Lalu mereka tidak merasa hebatnya ilmu dan lazat menikmati keindahan Islam. Ini mungkin berpunca dari sebahagian para penceramah agama adalah insan-insan kontang dari ilmu Islam yang sebenar dan hanya mengutip buku-buku jalanan untuk dijadi bahan semasa ceramah atau forum. Dicampur pula dengan kesingkatan akal dan kerendahan lojik sesetengah penceramah sehingga Islam digambarkan bagaikan cerita kartun atau ‘gelanggang raja lawak’ yang memperbodohkan orang ramai.

Hadis-hadis palsu dan cerita-cerita dongeng yang dikaitkan dengan wali atau individu itu dan ini pun dijadikan bahan ceramah agama. Maka ada pemerintah yang hati kecil mereka mula menganggap bicara agama itu hanya boleh didengar jika ada masa lapang. Ceramah agama bagi golongan agama yang seperti ini bukan bertunjang untuk mengangkat imej umat ke arah kefahaman yang betul dan Islam yang tulen. Tetapi tidak lebih sekadar kegiatan seni atau sumber pendapatan sampingan, bahkan ada yang menjadikannya sumber pendapatan utama. Sehingga ada yang sanggup menjadi bahan iklan barangan tertentu.

Kelompok agama yang seperti inilah yang menghilang wibawa agama ini di hadapan mata pemerintah. Kata Salamah bin Dinar di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik: “Telah berlaku di mana para umarak mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung kepada umarak dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umara menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29)

Justeru itu, Allah tidak pernah menyamakan mana-mana golongan dengan anjing melainkan golongan ulama yang menjual ilmunya untuk mendapat habuan dunia semata. Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Suarah al-’Araf: 175-176).

Ulama yang gilakan dunia bukan hanya dengan mengampu pemerintah, tetapi juga mungkin dengan mengampu orang ramai atau kelompok tertentu supaya mendapat nama atau jawatan tertentu di kalangan puak tersebut. Maka wujud kelompok pemaki-hamun pemerintah atau sesiapa yang tidak disukai mereka dengan menyalahgunakan nas-nas agama.

Mungkin mereka ikhlas ingin membetulkan, tapi tersalah cara. Atau tujuannya, untuk menggembirakan perasaan penyokong dan menunjukkan kejaguhan sendiri. Ceramah ala sebegini sebenarnya mempunyai pasarannya yang tersendiri di kalangan pengikut aliran tersebut. Bukan sedikit jua wang yang boleh dihasil dengan ceramah ‘gaya kuak maki-hamun’ ini. Namun, di manakah wajah keindahan Islam hendak dicari di celahan pencemaran yang seperti ini?! Di manakah pula ruang kesedaran yang hendak buka apabila kalimat-kalimat kesat mengambil tempat?!

Para ulama yang zuhud dahulu, mereka hadir dengan keikhlasan jiwa bertemu dengan pemerintah dan memberikan pandangan dan nasihat yang berfaedah. Kata-kata mereka bagaikan mutiara yang berharga. Ungkapan mereka indah dan bermakna. Mereka hidangkannya di atas dulang keikhlasan jiwa ilmuwan yang mengharapkan redha Tuhan.

Namun para pemerintah pun telah banyak yang berubah. Sesetengah mereka hanya inginkan ulama bagaikan patung yang hanya dipacak tanpa fungsinya. Hadir sekadar untuk menghiasi majlis supaya orang nampak ada ulama yang hadir. Kemudian pandangan dan pendapat mereka tidak ditanya.

Ulama pula ada yang memang seronok dengan majlis-majlis kebesaran, menikmati hidangan-hidangan hebat dan hotel-hotel mewah lalu memandulkan peranan kewujudan diri mereka yang sepatutnya. Ada pula yang dilantik sekadar untuk membaca doa dalam majlis. Apa yang dia fikirkan hanyalah skrip doanya yang diubah-ubah sedikit sebanyak berdasarkan perubahan majlis.

Barangkali majlis berlangsung berjam-jam, doanya sekadar lima minit dan selebihnya dia hanya menjadi penonton yang setia. Jika dia hanya berfungsi demikian, maka doa hanya upacara yang dibaca tanpa makna dan baki hayatnya banyak yang sia-sia. Tiada hasil ilmiah yang dikeluarkan, tiada pemikiran kebaikan yang dilontarkan dan tiada umat yang dipimpinnya.

Peranan ulama tentu lebih dari itu semua. Saya amat dukacita apabila ada yang cuba membataskan peranan saya dengan berkata mufti tidak patut menulis dalam akhbar, atau berbicara tentang politik, ekonomi, kebajikan awam, hak bukan muslim, seni, artis dan berbagai. Demikian pemikiran menyempitkan agama menguasai kelompok agama itu sendiri.

Saya ingin beritahu orang sebegini bahawa saya tidak memiliki jubah khas seperti yang dimiliki oleh orang lain. Mungkin kerana saya kurang berkemampuan memilikinya, atau saya belum pandai memakainya. Jika anda ingin merampasnya daripada saya, maaf ianya tiada pada saya.

Namun jika anda ingin mematahkan pena saya, atau menghalang saya berfikir dan merumuskan ilmu berdasarkan kadar pengetahuan yang Allah rezekikan kepada saya, saya akan mempertahankan hak saya. Jika saya gagal, demi sesungguhnya saya akan meninggalkan jawatan ini tanpa sebarang kekesalan. Ketahuilah kemerdekaan minda yang berpaksikan hujah dan dalil lebih berharga dari segalanya.

Saya adalah orang yang tidak percaya bahawa umarak itu semesti terdiri dari golongan ulama. Dalam bahasa semasa, saya tidak berpegang kepada pandangan pemerintah mesti berserban dan berjubah. Tetapi saya berpegang bahawa pemerintah mesti berwibawa memimpin dan amanah.

Tiada nas yang mewajibkan hanya ulama yang boleh menjadi umarak. Walaupun ada buku-buku siasah karangan tokoh-tokoh Islam yang menyebut demikian. Bahkan mereka mensyaratkan seorang pemerintah mestilah mujtahid (ahli ijtihad). Namun itu hanya satu pandangan atau ijtihad.

Nas-nas Islam secara jelas hanya mewajibkan keadilan dan keharmonian hubungan antara tindakan umarak dengan ajaran Allah dan rasulNya. Kebanyakan umarak dalam sejarah umat ini juga bukan ulama. Jika umarak itu bukan ulama pun, keadilan yang dikehendaki oleh Islam dapat dicapai dengan ikatan yang mesra antara dua golongan tersebut.

Tetapi pasti si jahil totok tentang agama tidak boleh memimpin umat. Seperti mana jika seorang yang dianggap ulama sekalipun tetapi jahil atau tidak berwibawa memimpin maka dia tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Lihatlah apa yang berlaku kepada Indonesia apabila ‘Pak Kiyai Gusdur’ memerintah negara tersebut.

Di samping golongan ulama tidak boleh jumud dalam melontarkan pandangan-pandangan berhubung dengan politik islami. Siasah atau politik dalam Islam lebuhrayanya amat luas. Jangan dijadikan ianya lorong kampung yang sempit.

Maka selalulah mengingati apa yang disebut oleh sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Maka fungsi ulama tidak semesti berpolitik secara langsung, tetapi menasihati dan mengingatkan umarak agar negara sentiasa berada atas landasan keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kerja ulama sekadar memacak slogan-slogan agama tetapi tidak membawa makna kepada hakikat keadilan dan kemaslahatan rakyat seperti yang dituntut oleh ruh agama Islam ini.

Atau, tidak salah untuk ilmuwan agama itu sendiri menjadi ahli politik seperti para khalifah al-Rasyidin, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan beberapa orang yang lain, jika mereka mempunyai karisma kepimpinan yang diperlukan. Bahkan inilah yang lebih afdal. Ini kerana kewibawaan dan kesolehan mampu membawa kedamian, keamanan dan keberkatan.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Sumber: http://drmaza.com/?p=185

Sentimen mengatasi kebenaran

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:29 PG 0 komen

Oleh A.Humaizi

"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Maidah: 8)

Wahai pendakwah Islam, jika kamu ingin menilai sesuatu jemaah lain, hendaklah kamu penilai sesuatu dengan adil. Jika sesuatu golongan itu kamu benci, sedangkan mereka melakukan perkara yang benar dan tidak melanggar batas syarak, hendaklah kamu sokong.

Walaupun kamu mencintai sesuatu golongan, tetapi golongan itu membuat kesalahan yang bertentang dengan al quran dan sunnah, hendaklah kamu kata salah.

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." (Al Maidah : 2)

Wahai pendakwah Islam, jika lawanmu melakukan kebaikkan, sokonglah ia. Jika lawanmu melakukan kejahatan, tinggalkan mereka.

Janganlah disebabkan kebencianmu terhadap sesuatu kaum, menyebabkan kamu tidak berlaku adil.

Islam ini bukan dimenangkan dengan menangnya sesebuah jemaah Islam di sesuatu tempat. Tetapi Islam itu dimenangkan dengan dakwah yang berkesan dan konsisten. Tidak perlulah mana-mana jemaah merendah-rendahkan jemaah lain. Kerana pada hakikatnya setiap jemaah-jemaah Islam ini merupakan salah satu dari gelombang gelombang kebangkitan Islam.

Janganlah disebabkan kemarukkan kekuasaan dan pengaruh, kamu menghalangi jemaah lain yang mengajak manusia ke jalan Allah. Sesungguhnya perbuatan tersebut amat dibenci oleh Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah, benar-benar telah sesat sejauh-jauhnya." (An-nisa : 167)

"Dan janganlah kamu duduk di tiap-tiap jalan dengan menakut-nakuti dan menghalang-halangi orang yang beriman dari jalan Allah, dan menginginkan agar jalan Allah itu menjadi bengkok. Dan ingatlah di waktu dahulunya kamu berjumlah sedikit, lalu Allah memperbanyak jumlah kamu. Dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerusakan" (Al-a'raf : 86)

Kita mengajak manusia kepada Allah. Tidak kira mereka berada di jemaah mana sekali pun.

"Dan kita tidak perlu berbalah untuk merebut mad'u. Tidakkah jika suda ada yang berdakwah maka tugasan kita menjadi ringan? Tidakkah jika sudah ada yang ingin memikul amanah, maka kita lebih selamat? Apa yang penting adalah misi dakwah, iaitu kembalinya umat kepada Islam yang tulen, tanpa mengambil pusing siapa pun yang melaksanakannya." (Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Arus Tajdid)

Bila sikap hizbiyah menyerap dalam jiwa dae', mereka akan lebih mementingkan label dan jenama kumpulan mereka lebih dari isi kandungan seruan Islam yang dibawa.

Tahap ukhwah Islamiah diukur dengan jeama berkenaan, apabila berbeza jemaah, maka berbezalah tahap ukhwah. Sehingga ada yang bermasam muka kerana berbeza jemaah atau kumpulan.

Semoga nasihat ini berguna bagi pendokong jemaah Islam semua.


Wallahua'lam

Bila manusia pandai menilai

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:15 PTG 0 komen

Oleh A.Humaizi

Manusia akan menghargai sesuatu sekiranya mereka tahu nilai sesuatu perkara. Misal contoh, jika ada duit RM2 dengan 20 sen diberi pilihan kepada manusia utk mengambilnya, sudah tentu manusia akan memilih duit yang paling berharga. Itu adalah fitrah manusia yang suka dengan sesuatu yang bernilai.

Antara dunia dan akhirat, manakah yang lebih bernilai? Sudah tentu, bagi manusia yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, akan mengatakan hari akhirat itulah yang paling bernilai berbanding manusia.

Ada satu hadis yang menyebutkan bahawa, jika ditimbangkan kalimah syahadah (la ilaha illallah) di sebelah dacing, dan diletakkan langit dan bumi serta apa2 sahaja diantara keduanya di sebelah dacing tersebut, maka akan berat lagi kalimah la ilaha illallah tersebut.

Nabi pun pernah menyatakan bahawa, jika dibandingkan dunia ini seperti sebelah sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi makan kepada orang2 kafir di muka bumi ini.

Nah nampaklah disini, jika hendak dibandingkan sesuatu amalan soleh dengan nilai kenikmatan hidup di dunia, amat jauh sekali untuk disamakan.

Seringkali kita mendengar tentang rendahnya nilai dunia ini berbanding akhirat nanti, tetapi sejauh mana diri kita mengimani perkara tersebut. Masih lagi kita merisaukan sesuatu kehilangan sesuatu nikmat hidup dikala sedang beramal soleh kepada Allah swt.

Ketika solat misalnya, masih lagi fikiran kita meracau-racau tentang hal-hal dunia, tidak kiralah hal itu berfaedah atau tidak. Perkara demikian perlu diubati dengan byknya memikirkan tentang hinanya dunia ini, dan betapa bernilainya ganjaran di akhirat nanti.

Sedang jiwa berzikir kepada Allah, lidah basah menyebut-nyebut nama Allah, fikiran sentiasa memikirkan kebesaran Allah, tiba2 datang pula gangguan syaitan utk merisaukan kita tentang kenikmatan keduniaan, di kala itu, perlu lah diingati, zikir kepada Allah itu lebih utama berbanding nikmat hidup di dunia.

Hinanya dunia ini apabila kenikmatan itu melekakan manusia mengingati Tuhan. Jika kenikmatan itu menggangu manusia ingat kepada Tuhan, ianya suatu musibah. Berhati-hatilah, kerana ia adalah penyakit cinta dunia, maka buanglah ia jauh-jauh dengan byk mengingati perbandingan dunia dan akhirat yang telah digambarkan oleh Allah dan Rasul.

Semoga berjaya di dunia dan akhirat.

Jalan Ujian

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 12:01 PTG 0 komen

Hidup senang tanpa ujian
kerana diamkan perintah tuhan
untuk mengajak kebaikan
dan mencegah kemungkaran

hidup tanpa ujian
ibarat dibiarkan Tuhan
seperti hidup keseorangan

hidup tanpa kesusahan
membiasakan diriku dalam kesenangan

aku takut, aku melupakan Tuhan,
oleh itu, aku memilih jalan,
yang boleh jadi, kita sehaluan,
dan boleh jadi, kita bertentangan,

bukan masanya mulut dibisukan,
tangan dan kaki dikudungkan,
akal pula dibekukan,
hanya menanti perubahan,
tanpa diri melakukan,

usaha dakwah mesti diteruskan,
walau apa jua rintangan
tetap kami perjuangkan,

semoga mendapat keredhaan tuhan
semoga mendapat bantuan tuhan,
semoga Allah selamatkan,
diriku dan kalian,
Amin Ya Rahman.

(Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha, 1 Jan 2008)

Sebuah Perkongsian

Posted by Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha On 11:24 PG 0 komen

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, tergerak juga tangan dan jari jemari ini untuk memulakan satu langkah dalam dunia blogging ini. Walaupun sebelum ini pernah juga saya buat satu blog, tapi tak bertahan lama. Insya-Allah, moga-moga tahun 2008 ini memberi semangat baru untuk memulakan langkah pertama dalam dunia dakwah ini.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah sebab menemukan saya dengan sahabat2 yang berlumba-lumba menulis blog, terdetik dihati saya tentang betapa besarnya nikmat yang Allah berikan kepada mereka untuk berdakwah. Mereka memberikan pendapat mereka, membawa nas-nas al-Quran dan sunnah, membawa fakta yang ilmiah. Sesungguhnya semua ini akan membentuk satu masyarakat yang berbudaya ilmu, dan sudah tiba masanya kita mengucapkan selamat tinggal kepada budaya bertaqlid buta.

"Sebuah Perkongsian". Itulah tajuk yang saya pilih untuk blog ini. Apalah guna jika ilmu yang kita perolehi dan pendapat yang ada tidak dikongsikan bersama. Moga2 ianya akan membentuk satu budaya fikir dikalangan kita yang membacanya.

Wallahua'lam